11 Jun 2012

[BONGKAR] Akta Kesalahan Pilihanraya Dipinda Untuk Lindungi Penipuan SPR

Kerajaan BN meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya demi melindungi penipuan yang terdapat dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Demikian menurut Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa apabila ditanya tentang pindaan terhadap seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002) yang menyebabkan daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dibawa ke mahkamah oleh mana-mana pihak.

“Pada 2002 dalam kes Likas di Sabah, di mana hakim membatalkan keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Likas dengan alasan daftar pengundi SPR didapati penuh dengan penipuan.

“Hakim mendapati SPR gagal menyelesaikan isu daftar pemilih dan menganggap SPR cuai dalam menjalankan perkerjaan mereka.

“Selepas itulah kerajaan BN membuat pindaan undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya supaya daftar pengundi tidak boleh dicabar.


“Kita memang tak boleh terima undang-undang ini kerana mana boleh undang-undang digunakan untuk melindungi penyelewengan seperti mana dalam daftar pemilih SPR itu,” ujar beliau yang juga seorang pengamal undang-undang.

Ketika menyentuh ruang tindakan yang ada bagi samada bagi Kerajaan Selangor, parti politik atau orang awam terhadap penipuan dalam daftar pemilih SPR, beliau berkata ruang untuk berbuat demikian masih ada dengan membuat kajian lebih mendalam.

Sivarasa turut menolak pandangan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil tindakan saman terhadap SPR dan Kerajaan Pusat.

“Dalam isu sekiranya daftar pemilih SPR terbukti tidak bersih, pengundi dan parti politik lebih baik kemukakan saman, tetapi Kerajaan Selangor juga boleh sebab ia berbeza dengan prinsip saman fitnah.

“Kalau dalam saman fitnah memang badan kerajaan tidak boleh kemukakan saman fitnah kepada individu, pengamal media atau mana-mana pihak yang mengkritik badan awam itu,” katanya lagi. -selangorku

Ulasan GB

Seperti yang GB ulas sebelum ini, kita sudah tiada pilihan lain.

Sekarang ini mari sama-sama kita berdoa agar Allah menurunkan pengajarannya kepada SPR, JPN, SPRM, PDRM, JPM dan lain-lain yang melakukan kerja-kerja khianat untuk memenangkan UMNO BN di dalam pilihanraya akan datang.

Setelah tuntutan kita supaya daftar pemilih dibersihkan dan Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat task-force pemberian Mykad kepada warga asing tidak diindahkan, maka tiada pilihan lain, selain mengadu kepada Allah swt supaya semua perancangan mereka digagalkan dan mereka diberikan pengajaran sewajarnya untuk tidak berlaku khianat kepada rakyat.


10 Jun 2012

TERKINI: Dua MP BN Sertai PKR

Sekurang-kurangnya dua ahli parlimen dari Sabah sudah mengesahkan keluar dari Barisan Nasional dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), salah satu parti dalam Pakatan Rakyat.

Perkara ini disahkan sendiri Pengerusi KEADILAN Sabah, Ahmad Thamrin Jaini yang mengesahkan perkara itu sebentar tadi.

Dua pemimpin yang dimaksudkan ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Wilfred Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran.

Turut dinamakan ialah Ahli Parlimen Beaufort dan Ahli Majlis tertinggi Umno, Lajim Ukin.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberi jaminan samada pengumuman rasmi dapat dibuat malam ini, ekoran penerbangan pesawat Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Kuala Lumpur tergendala petang tadi.

"Dua MP ini Confirmed (pasti) akan sertai (KEADILAN). Cuma (tunggu) waktu sahaja, kita tunggu saja lah," katanya kepada Keadilan Daily.

Anwar dijadual tiba di Sabah pada jam 1.40 petang dan dijadual menghadiri dua majlis di Sabah iaitu sambutan perayaan Kaamatan di Kota Belud dan satu Majlis Makan Malam di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun penerbangan pesawat beliau ke Kota Belud ditangguh ekoran hujan lebat, sebelum menaiki pesawat ke Labuan untuk tiba ke Kota Kinabalu kira-kira jam 5 petang.

Beliau kini berada di Kompleks Star City, Jalan Asia City untuk menghadiri satu program anjuran Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN (BIPPA).

Jam 10 malam nanti, Anwar dijadual bertemu pimpinan Pakatan Rakyat Sabah di lokasi yang sama.

Selain dua ahli parlimen, beberapa lagi tokoh dari Sabah dikatakan akan turut menyertai KEADILAN sepertimana dilapor beberapa blog.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Amir Kahar Tun Mustapha, Naib Presiden Perkasa, Datuk Yahya Lampong, dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat milik kerajaan negeri, Ibrahim Menudin.

Dengan perkembangan terbaru ini, Barisan Nasional kini hilang lagi dua kerusi, pertambahan kepada pakatan pembangkang setelah satu lagi parti komponennya, Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan bekas Ketua Menteri, Yong Teck Lee mengisytiharkan keluar dari BN dua tahun lalu.

Ia juga menguatkan spekulasi bahawa khidmat Musa Aman sebagai ketua menteri kini terumbang-ambing ekoran gagal memujuk kedua-dua pemimpin berpengaruh yang dikatakan tersingkir dari dicalonkan di parlimen masing-masing.

Sabah mempunyai 25 buah kerusi parlimen yang menjadi sasaran Pakatan Rakyat dalam hasrat menumbangkan Barisan Nasional dari kekuasaan di Putrajaya.

Najib Altantuya sudah tentunya akan lebih tertekan dengan perkembangan terbaru ini kerana belum pernah dalam sejarah Umno-APCO dimalukan sebegitu rupa ekoran tindakan Lajim menyertai Anwar Ibrahim memandangkan beliau salah seorang ahli majlis tertinggi (MT) parti reput itu sehingga kini. -KD

TERKINI




akan dikemaskinikan

Nurul Izzah Akan Bawa Isu Kontrak RM30 juta Syarikat Milik Anak Nong Chik Ke Parlimen

Isu kontrak bernilai RM30.8 juta yang melibatkan syarikat Istijuara Sdn Bhd milik anak Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan dibawa ke sidang Parlimen.

Demikian menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kepada TVS ketika ditemui di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya semalam.

“Nilainya RM30.8 juta, tender terus kepada syarikat bernama Istijuara Sdn Bhd, ini tentunya timbulkan banyak persoalan, tetapi kita akan bawa ke parlimen, tentunya,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, isu ini akan dibawa ke parlimen kerana ia menyentuh kepentingan dana kerajaan dan rakyat negara ini.

“Tentunya perkara sebegini yang kita mahu elakkan dalam bercakap tentang reformasi politik, reformasi mengembalikan ekonomi demi rakyat, bukan untuk segelintir kroni dan anak-anak mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa blog dan media portal melaporkan pada 2010, Kementerian Belia dan Sukan menganugerahkan kontrak bernilai RM30.8 juta kepada Istijuara bagi projek memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor.

Anak perempuan Raja Nong Chik, Raja Farhana Raja Nong Chik, merupakan pemilik kepada Istijuara.

Disertakan beberapa dokumen rasmi sebagai bukti, Istijuara juga dikatakan hanya diberikan surat tawaran projek setelah projek tersebut hampir siap sepenuhnya pada Ogos 2010, sedangkan projek itu telah diberikan pada 2006 lagi. -selangorku


Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Sam D’lloyd, Penyanyi "Keagungan Tuhan" Kembali Ke Rahmatullah

Tiada lagi alunan mendayu Cinta Hampa mahupun Oh Di Mana daripada Sam berikutan kematian vokalis utama kumpulan D’lloyd itu, pagi semalam.

Sam, yang nama sebenarnya Syamsuar Hashim, 64, mengidap penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dirahsiakan selama ini, menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Cempaka Putih, Jakarta, Indonesia, sekitar jam 9.15 pagi waktu Malaysia.

Berita kematian Allahyarham dimaklumkan kepada Metro Ahad oleh sahabatnya, komposer Richard Kyoto yang turut menziarahi jenazah Sam di kediaman kakaknya sebelum dikebumikan di Tanah Kuasir, Jakarta. Richard, komposer lagu Kasih, menyifatkan sahabatnya itu seorang yang memendam rasa kerana di sebalik wajahnya yang sentiasa senyum, ramai di kalangan ahli keluarga, teman dan peminat tidak menyedari penyakit kanser paru-paru Allahyarham sudah di peringkat serius.

“Saya terkejut apabila diberitahu penyakit kanser Allahyarham sudah sampai tahap empat. Hairannya bila bertemu, beliau tidak pernah menceritakan perihal penyakitnya itu. Sedih saya mengenangkannya tetapi bersyukur dapat menziarahi jenazahnya,” katanya.

Kumpulan D’lloyd turut dianggotai Bartje Van Houten selaku pemain gitar dan ketua kumpulan, Yuhanny Fatmarida Susilo, Chairul Daud, Candra Casmala dan Ucep Tekol. Lagu lain dipopularkan D'lloyd seperti Keagungan Tuhan, Oh Tak Mungkin dan Semalam Di Malaysia.

Di kalangan anggota D’lloyd, Sam dilihat agak misteri kerana statusnya yang hidup membujang. Bagaimanapun, kata Richard, seingatnya Allahyarham pernah berkahwin dengan seorang perempuan Singapura tetapi jodoh tidak panjang dan mereka juga tidak dikurniakan zuriat.

D’lloyd yang ditubuhkan pada 1969, antara kumpulan muzik berpengaruh di rantau ini pada era 1970-an, julung kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 1978 di Stadium Negara. Sekitar awal 1990-an, Harian Metro membawa D’lloyd untuk satu persembahan khas manakala konsert terakhir D'lloyd di sini, pada 6 hingga 8 Mei tahun lalu di Istana Budaya melalui persembahan Semalam Di Malaysia, bergandingan dengan Datuk Ahmad Jais.

Ketika sidang akhbar, Sam membuatkan pihak media terharu apabila dia tiba-tiba sebak hingga mengalirkan air mata. Kesedihan itu diperjelaskan Sam betapa jiwanya tersentuh mengenang walau sudah setengah abad peminat di Malaysia masih mengagumi D’lloyd.

Apa yang pasti air mata Sam itu, petanda salam perpisahan kepada peminat Malaysia untuk tidak bertemu kembali. -MA



Seluar Muhyiddin Terlondeh, Lupa Siapa Bayar Sewa Rumahnya Semasa Jadi Menteri

Kajang: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kepada rakyat siapakah yang membayar sewa rumahnya ketika dia mula-mula menjadi menteri di Kuala Lumpur.

"Saya nak tanya siapa bayar sewa rumah dia tatkala dia jadi menteri di Kuala Lumpur.

"Saya tahu sebab masa itu saya bos dia, saya timbalan perdana menteri.

"Jawab la...nak lawan sangat," katanya dalam nada mencabar.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah Merdeka Rakyat di Stadium Kajang di sini malam tadi.

Menurut Anwar, selepas menjadi menteri besar Johor, Muhyiddin dilantik menjadi menteri dan ketika itulah sewa rumahnya dibayar oleh orang lain.

Beliau membuat cabaran itu bagi menjawab gesaan Muhyiddin semalam yang mahu Anwar menjelaskan dakwaan yang dihadapinya 13 tahun lalu kononnya mempunyai aset dan wang tunai bernilai RM3 bilion.

Anwar turut mengulangi kesediaanya untuk sedia mendedahkan akaun banknya dengan syarat Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri sedia berbuat perkara sama.

"Muhyiddin Yasin, kamu nak siasat saya tiada masalah.

"Ok, cek akaun kamu, dan cek akaun saya," katanya.

Dalam pada itu, lebih 5,000 orang membanjiri stadium kajang malam tadi.

Biarpun hujan renyai-renyai, mereka tidak berganjak mendengar kupasan isu-isu terbaru dari pimpinan Pakatan rakyat.

Selain Anwar, antara pimpinan utama lain yang turut berceramah malam tadi adalah Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, AJK PAS Pusat Dr. Mujahid Yusof dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pada ceramah terbut juga menyaksikan 150 orang menyerahkan borang menyertai PKR cabang Hulu Langat.

Ceramah malam tadi diakhiri dengan tembakan bunga api sejurus selesai ucapan Anwar. -HD



Ulasan GB

Begitu segera Allah memperkenankan doa GB sebelum ini. Khaled Nordin telah terima "imbuhan"nya terlebih awal apabila terpaksa menarik balik sekatan PTPTN terhadap pelajar UNISEL baru-baru ini. Sekarang giliran Muhyiddin pula. Kita bukan takbur, tetapi demikianlah hukum kebenaran dan keadilan serta janji RasulNya: doa orang yang dizalimi itu tiada hijab diantaranya dengan Allah.

Isu PTPTN: Semuga Allah Segera Turunkan Pengajarannya Kepada Dua Menteri Ini

Sekarang ini mari sama-sama kit berdoa agar Allah menurunkan pengajarannya kepada SPR, JPN, SPRM, PDRM, JPM dan lain-lain yang melakukan kerja-kerja khianat untuk memenangkan UMNO BN di dalam pilihanraya akan datang.

Setelah tuntutan kita supaya daftar pemilih dibersihkan dan Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat task-force pemberian Mykad kepada warga asing tidak diindahkan, maka tiada pilihan lain, selain mengadu kepada Allah swt supaya semua perancangan mereka digagalkan dan mereka diberikan pengajaran sewajarnya untuk tidak berlaku khianat kepada rakyat.

GB yakin Allah akan memperkenankan doa kita. Allah telah memperkenankan banyak doa-doa kita dan salah satu yang terbesar ialah munajat menghalau parasit UG dari PAS dahulu:

Penutup Bagi Isu Hassan Ali: Munajat Yang Diterima Allah


Kematian Koperal Mustaghni, Seorang Anggota Polis Trafik Ditahan Reman

Klang: Polis menahan reman seorang anggota polis trafik berusia 51 tahun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan kes kematian Koperal Mustaghni Tabri, 48, kelmarin.

Gambar: Allahyarham Mustaghni Tabri yang meninggal dunia akibat terkena balingan objek disyaki dari seorang anggota polis lain.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggota trafik yang direman itu berpangkat koperal yang disyaki membaling satu objek ke arah mangsa.

Arwah Mustaghni terbabit dalam insiden itu ketika bertugas dalam operasi mencegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda di sini, jam 1.45 pagi, Ahad lalu.

“Dia direman bermula hari ini (semalam) sehingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes.

“Empat lagi anggota yang ditahan bersamanya kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad di sini, semalam.

Ditanya berhubung perkembangan siasatan terhadap beberapa objek yang dirampas polis dari lokasi kejadian, Mohamad berkata, semua objek terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia, esok.

“Kita belum boleh dedahkan apa-apa maklumat berhubung objek itu selagi laporan siasatan mengenainya belum selesai.” katanya.

Kelmarin, lima anggota polis ditahan jam 4 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Lima anggota polis berusia 45 hingga 51 tahun itu ditahan selepas siasatan terkini mendapati kecederaan parah Koperal Mustaghni sehingga membawa kematiannya berpunca daripada lontaran objek seorang daripada anggota polis terbabit dan bukan akibat libasan topi keledar mat rempit sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, dipetik berkata, punca sebenar kematian mangsa masih disiasat, namun kecederaan disahkan bukan kerana dipukul dengan topi keledar tetapi akibat terkena lontaran objek keras.


“Siasatan dijalankan menjurus pelbagai aspek bagi membongkar kejadian sebenar, termasuk kemungkinan ia dilakukan untuk mempertahankan diri atau terkena pada mangsa.

“Kami merampas beberapa objek yang dipercayai boleh membantu siasatan dan harap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya, semalam. -MA

Ulasan GB

Kebelakangan ini banyak kejadian lemparan batu dan besi berlaku. Ramai yang tidak mengaku melakukan perbuatan tersebut. Dan polis seperti tidak mengindahkan lansung aduan-aduan yang dilakukan mangsa.

Hukum kebenaran dan keadilan pun menjelma. Kes di atas terkena kepada batang hidung anggota polis sendiri dan seorang anggotanya yang tak berdosa menjadi mangsa.

Barulah polis bangkit untuk menyiasat. Tup tup, anggota polis sendiri yang membaling!

Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Apabila UMNO Dibelasah Ahlinya, Ia Petanda Jelas UMNO Di Penghujung Usia

Zam: Kesilapan besar Tunku dan Dr Mahathir

Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa banyak pihak tidak menyedari bahawa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan "kesilapan besar" semasa menyandang jawatan perdana menteri iaitu masing-masing dalam kes Singapura menyertai Malaysia dan membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan dan Umno.

Wartawan veteran dan bekas Menteri Penerangan itu berkata, tindakan Tunku Abdul Rahman membawa masuk Singapura ke dalam Malaysia pada 1963, yang mana turut sama membawa bersamanya dasar 'Malaysian Malaysia' telah memberikan kesan kepada negara.

Singapura keluar dari Malaysia dua tahun kemudian.

Dalam pada itu, Zainuddin juga mendakwa Dr Mahathir membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim juga satu kesilapan kerana tindakannya yang dikatakan memporak-perandakan perpaduan bangsa.

"Ramai antara kita tidak menyedari, dua pemimpin Agung dari Kedah, Tunku Abdul Rahman dan Dr. Mahathir telah membuat dua kesilapan besar yang menjadi masalah kepada negara ini hingga sekarang.

"Tunku membawa masuk Singapura ke dalam Malaysia yang mana turut sama membawa bersamanya Malaysian Malaysia sementara Dr. Mahathir membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudianya telah memporakperandakan perpaduan bangsa," katanya lagi.

Dr Mahathir memecat Anwar pada September 1998. Ketika dipecat, Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Di sebalik kesilapan Tunku dan Dr Mahathir mempunyai terlalu banyak tugu-tugu jasa yang mereka bina bagi melindungi kelemahan mereka," kata beliau yang dipetik dari entri blognya.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam juga berkata, "tercatit sebagai sejarah mulia, dengan sokongan kuat seorang nasionalis rakyat, Allahyarham Tun Ghafar Baba, Dr Mahathir dengan berani menunjukkan kuasa rakyat bila maruah mereka mula terjejas dengan mengingatkan raja-raja tentang Raja Berperlembagaan demi untuk mengikis feudalisme."

Beliau yang turut memuatkan kenyataan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama berkata, walaupun berketurunan diraja, beliau tetap menyedari kuasa rakyat yang disebutkan dalam tulisannya.

"Ketika itu beliau berada dalam krisis dengan Sultan Selangor dan juga dengan abangnya Sultan Kedah. Saya akan mendedahkannya dalam ruangan Z fail di blog ini," katanya.

Zainuddin yang mula aktif sebagai blogger menggunakan moto 'Setiakawan Demi Warisan, Kemanusiaan dan Kerukunan' memaparkan tiga ruang utama pendedahan maklumat untuk dikongsi dengan rakyat sepanjang penglibatan beliau sebagai wartawan sehinggalah menjadi seorang menteri Kabinet.

Antara ruangnya Z fail, Pintas dan cerita Zam merupakan rangkuman daripada pengalaman kewartawanan yang dilalui yang telah diterbitkan dalam bentuk buku pada tahun 1980 bertajuk 'Pertama dan Terakhir'. -SH

Thamrin nasihat ahli tinggalkan Umno

PETALING JAYA: Agak melucukan apabila seorang veteran Umno menasihati ahli-ahli Umno supaya meninggalkan parti yang usang itu dalam ceramahnya.

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Thamrin Ghafar berkata, Umno dahulu dan Umno sekarang sudah tidak sama dan lebih baik ahli- ahli Umno meninggalkan parti itu untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.

“Pemimpin Umno dahulu berjuang dengan ikhlas, kerana bangsa dan agama tetapi pemimpin Umno sekarang lebih berminat untuk menimbun kekayaan dan terlibat dengan rasuah,” katanya dalam satu ceramah di Markas PAS Titi Seorang, Parit Buntar semalam.

Beliau yang masih menjadi ahli Umno meluahkan rasa kesalnya dengan perkembangan mutakhir ini di mana perjuangan Umno jauh menyimpang dari matlamat asalnya.

Menurut Thamrin, banyak penipuan berlaku dalam daftar pemilih di antaranya, dengan membawa masuk warga asing dari Kemboja untuk menjadi pengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti.

“Umno sudah tidak betul, tidak gentleman, banyak penyelewengan dan rasuah serta mereka merasa bimbang untuk berdepan dengan rakyat pada PRU13,” ujar beliau.

Mengenai perhimpunan Bersih 3.0 beliau berkata, Barisan Nasional mungkin boleh jatuh sekiranya lebih ramai rakyat bangkit untuk menentang kezaliman dan kejahatan mereka.

Bersih 3.0 katanya, ialah suatu usaha murni yang harus disokong kerana NGO itu menuntut lapan perkara bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil.

Beliau berjanji untuk mendedahkan lebih banyak lagi keburukan dan kedurjaan Umno pada masa-masa yang akan datang.

Mengenai pendedahan ini dengan menggunakan pentas PAS beliau berkata, ”biar Umno pesat saya, saya tidak hairan.”

Lebih 1,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat hadir pada majlis ceramah itu. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa.
-FMT




[Bergambar] Fenomena Ustadz Azhar Idrus

Ustaz Azhar Idrus, penceramah dari Terengganu yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat khususnya remaja. Setiap kali beliau berceramah, tidak kira dimana, ribuan yang hadir.

Dahulunya Ustaz seorang gitaris dalam satu kumpulan band muzik sekitar Kuala Terengganu “band boy”. Dan sempat membuat beberapa persembahan di stadium-stadium.

Setelah kumpulan muziknya mengambil keputusan untuk buat rakaman, Ustaz menarik diri kerana tujuanya hanya suka-suka sahaja menyertai kumpulan muzik bukannya untuk mencari glamor.

Ustaz yang aktif bersukan dan pernah mewakili Terengganu dalam acara berbasikal pada tahun 1980an. Dan menjadi rutin kelapangan masa waktu malam, Ustaz akan berbasikal meronda sekitar Bandar Kuala Terengganu bersama-sama kawan-kawan. Dan ada juga yang meminta Ustaz untuk merasmikan program berbasikal.

Ustaz Azhar pernah bekerja dengan Utusan Malaysia cawangan Kuala Terengganu sebagai artis grafik. Selepas berkahwin seminggu pada tahun 1990, Ustaz mengambil keputusan berhenti kerja dan bekerja sebagai mencanting batik dan ketika inilah beliau memperlajari bidang ilmu agama secara bersungguh-sungguh.

Tiada alasan baginya hujan dan ribut. Beliau yang pergi mencari guru-guru agama dan belajar dirumah guru berkenaan.

Perubahan diri Ustaz kearah menjadi seorang yang bersungguh belajar agama kerana kawan baiknya seorang ketua “Punk” menghilang diri selama 5 tahun dan apabila muncul kembali kawannya ini satu perubahan yang amat ketara daripada pemakaian dan tingkahlakunya. Tahulah Ustaz bahawa kawannya ini belajar di Patani.

Apabila melihat kehebatan kawannya ini, timbul rasa ingin menjadi sepertinya juga.

Berikut adalah butiran biodata mengenai beliau yang ditemui di beberapa blog.

# Bersekolah di Sekolah Inggeris Sultan Sulaiman Kuala Terengganu hingga Tingkatan 6.
# Pernah menjadi seorang guru muzik pada tahun 1985
# Mulai belajar agama sekitar tahun 1990.
# Belajar secara talaqqi lebih kurang dengan lapan orang guru dalam tempoh 12 tahun.
# Antara guru beliau ialah Tuan Guru Haji Muhammad Zin Pondok Lubuk Pandan Wakaf Tapai.

Boleh tengok video ceramah kat bawah ni yang diambil dari salah satu kuliah beliau, Ustaz Azhar Idrus cerita sendiri sejarah dan riwayat hidupnya:




Lampiran:







S: Saya masih muda, mana patut saya pilih dulu, haji atau kahwin?
Ust:Kalo kamu tengok tiang lampu nampak macam awek, wajib kahwen dulu.

S: Selepas dengar ceramah ustaz malam ini apa patut dibuat?
Ust: Balik rumah makan nasi la, tanya aku plak, mana aku tau.

S: Ular dan Kala jengking sunat dibunuh, boleh ustaz terangkan tentang haiwan ini?
Ust: Buka channel Astro "Animal Planet". Aku bukan pakar hewan.

S: Apa hukum besarkan payudara?
Ust: Adoi macam-macam, guna bahan kekal seperti silikon haram, tp dgn cara bersenam, nak besar mana pon boleh..

S: Bolehkah bergambar bersama dengan makwe?
Ust: Boleh jika bertiga, dan bapak makwe tu duduk ditengah-tengah.

S: Apa hukum asyik teringat kekasih lama?
Ust: Ini soal hati, x berdosa,sedangkan selipar jepun yang hilang pon kita teringat2

S: Ketika berwudhu' saya selalu terasa nak terkentut,Tolong saya ust..
Ust: Nak kentut pon mintak tolong aku..Kentut kena tahan sendirilah.

S: Betul ke ustaz kata pakai tudung tu xwajib?
Ust: Betul, boleh tutup rambut pakai baldi asalkan x nampak..tapi tebuk sikit lubang untuk mata..

S: Dimana ustaz beli kopiah?
Ust: Mentang2 boleh tanya soalan, itupon tanya, nasib baik xtanya kat mana aku beli underware..


9 Jun 2012

Rafizi Terbit Filem ‘Lembu NFC 2012′

Dalam usaha memberi tekanan dan memastikan rakyat mengingati skandal National Feedlot Corporation, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menerbitkan sebuah filem yang menyindir projek berkenaan.

Kartun karya kartunis Zunar ini mungkin boleh dijadikan 'poster' untuk filem terbaru Rafizi

Selaku penerbit tidak rasmi filem itu, kata Rafizi, filem komedi bercorak satira itu merupakan kaedah baru yang digunakan untuk memberi tekanan kepada kerajaan dan pihak yang terlibat dalam penyelewengan NFC.

“Kita akan umumkan secara terpeinci dalam masa terdekat. Kita sudah bersetuju tentang nama-nama pelakon dan tajuk filem yang boleh mengingatkan rakyat tentang sandiwara NFC,”

“Kita nak filem lembu ini menjadi filem top untuk tahun 2012,” katanya ketawa ketika dihubungi keadilan Daily.

Rafizi berkata, ‘skrip’ bagi filem itu sudah siap dan dijangka bakal menjalani pengambaran tidak lama lagi.

Berbeza dengan video-video klip di internet sebelum ini, katanya, filem berkenaan bakal menampilkan kelainan baru di ruang maya, selain sesuai dijadikan tayangan dalam program atau ceramah anjuran KEADILAN.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberitahu nama pengarah dan pelakon terlibat sebelum pengumuman dibuat, yang dijangka pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, Rafizi berkata pihaknya akan terus mendedahkan penyelewengan pinjaman mudah oleh kerajaan itu ketika perbicaraan saman yang difailkan Datuk Seri Shahrizat Jalil bermula Ogos ini.

“Bila kita disaman, kita akan gunakan peluang di mahkamah dan pastikan segala penyelewengan ini dibawa kepada rakyat,” katanya.

Skandal NFC menggemparkan negara apabila pendedahan demi pendedahan dilakukan KEADILAN berhubung penyelewengan dana sebanyak RM250 juta dilakukan NFCorp yang dimiliki keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Hasil tekanan KEADILAN, suami Shahrizat yang juga pengerusi Esekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan pecah amanah dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat.

Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan pinjaman RM250 juta digunakan untuk tujuan selain penternakan lembu. Antaranya membeli dua unit kondominium mewah di Kuala Lumpur, tiga unit kondo di Singapura, dua lot tanah di Putrajaya dan kereta Mercedez Benz selain sebuah apartmen mewah di Kazakhstan. -KD

Pelajar Kolej Ditahan Khalwat Di Pangsapuri

Beri alasan tumpang tidur

AMPANG - Seorang pelajar wanita memberi alasan menumpang tidur di rumah teman lelakinya ketika ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, di sebuah pangsapuri di sini, awal pagi semalam.

Pasangan yang ditahan disoal siasat oleh penguat kuasa Jais.

Pasangan berusia 20 tahun itu ditahan bersama tiga lelaki lain di rumah sama pada jam 12.40 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, selepas mendapat maklumat penduduk, beliau bersama anggota penguat kuasa pergi ke rumah berkenaan.

“Difahamkan jiran berkenaan mahu menegur kerana keadaan bising di rumah sewa lelaki itu sehingga mengganggu ketenteraman awam sebelum mendapati terdapat seorang wanita di rumah tersebut

“Ketika disoal siasat, wanita itu yang merupakan penuntut sebuah kolej itu memberi alasan menumpang tidur kerana tandas di asramanya rosak.

Difahamkan wanita berkenaan sudah seminggu berada di rumah tersebut,” katanya.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. -SH

Ulasan GB

Dasyat betul kehidupan remaja masakini. Boleh tumpang tidur di rumah "teman".

Sudah terlalu jauh dengan nilai keagamaan.

Sama Macam Lembu NFC, Nong Chik Diberi Projek Pada 2006 Tetapi Ditandatangani 2010

Nong Chik tak jawab persoalan kontrak anak RM30 juta- Zuraida

KUALA LUMPUR 9 Jun: Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak menjawab persoalan berhubung kontrak RM30 juta diterima anaknya, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Beliau mengulas jawapan Raja Nong Chik yang tidak menafikan kontrak kepada Istijuara Sdn Bhd milik anak perempuannya, seperti dilapor portal Malaysiakini hari ini.

Nong Chik dalam jawapannya berkata projek bagi memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor itu diberi pada 2006. Manakala kontrak tersebut pula dimeterai pada 2010.

Zuraida berkata, isu utama bukan tahun kontrak itu dimeterai, tetapi wujud konflik kepentingan atas sebab penganugerahan kontrak berkenaan.

“Malah, jawapan Raja Nong Chik menimbulkan banyak persoalan lain. Mengapa kontrak hanya dimeterai pada tahun 2010 sedangkan projek diberi pada tahun 2006?

“Bagaimana jika terdapat masalah dari segi mutu dan prestasi (ketika projek berjalan)?” soalnya lagi yang mengaitkan isu sama dengan National Feedlot Corporation (NFC) yang menerima pinjaman mudah RM250juta sebelum kontrak rasmi dimeterai.


“Justeru kalau kerajaan Umno BN benar-benar telus dan mahu berubah, perkara ini mesti disiasat supaya nama beliau dapat dibersihkan,” katanya ketika dihubungi.

17 Mei lalu, Keadilan Daily melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan menganugerahkan kontrak bernilai RM30 juta kepada Istijuara Sdn Bhd bagi projek memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor.

Turut dilampir salinan surat tawaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Istijuara bertarikh 24 Ogos 2010. Anak beliau, Raja Farhana Raja Nong Chik adalah salah seorang daripada dua pengarah syarikat itu. -KD


Anak Raja Nong Chik Diberi Kontrek Bernilai RM30.8 Juta Oleh Kem Belia Dan Sukan!

Syarikat milik Raja Farhana Raja Nong Chik, anak kepada Dato’ Raja Nong Chik Bin Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar diberikan kontrek memasang dan penyelenggaraan bernilai rm30.8 juta oleh Kementerian Belia Dan Sukan. (sila lihat dokumen dibawah)

Syarikat tersebut adalah Istijuara Sdn Bhd dimana Raja Farhana memiliki 399,999 dari sejumlah 400,000 saham. Syarikat ini ditubuhkan 20 tahun dahulu semasa Raja Farhana masih bersekolah di darjah satu.

Ini menunjukkan bahawa Raja Nong Chiklah yang selama ini menguruskan syarikat tersebut.


Syarikat Istijuara Sdn Bhd juga dikatakan menanggung beban hutang sebanyak rm400,000 dan dipercayai dengan kontrek bernilai RM30.8 juta ini, syarikat milik anak Raja Nong Chik dapat menyelesaikan semua hutang-hutangnya.

Dari dulu lagi Raja Nong Chik adalah seorang kontraktor kerajaan yang sangat berjaya dan apabila beliau dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan maka terbuka luaslah peluang bagi beliau mengembangkan karier beliau sebagai kontraktor kerajaan!

Raja Nong juga sebelum ini pernah diberi rm1.5 bilion oleh Najib bagi membantu penduduk yang gagal mendapat pinjaman bank bagi membeli rumah dan dikatakan bantuan ini telah pun ditawarkan kepada penduduk di Lembah Pantai.

Raja Nong Chik dikatakan berminat bertanding sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Lembah Pantai pada Pililihanraya Umum ke13 akan datang.

Setelah seorang menteri yang salahguna wang rakyat rm250 juta dalam skandal NFC bertanding dan kecundang di Parlimen Lembah Pantai pada PRU ke12 , kini seorang lagi menteri yang memang sudah terkenal dengan salahguna kuasa dan duit rakyat dijangka akan mewakili UMNO/BN.

Apakah calon jenis ini yang dimahukan pengundi di Lembah Pantai bagi mewakili mereka?








Polis Meninggal Dunia Akibat Lontaran Objek Anggota Polis Lain, Bukan Oleh Mat Rempit

5 polis ditahan untuk siasatan

KLANG: Berlaku kejutan dalam siasatan membabitkan seorang anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang koma sejak awal pagi Ahad lalu sebelum disahkan meninggal dunia semalam, apabila lima anggota polis ditahan kira-kira jam 4 pagi semalam.

Gambar: SUASANA MURAM...ahli keluarga menguruskan jenazah Allahyarham Mustaghni di rumah mayat HTAR, semalam.

Lima anggota polis berusia 45 hingga 51 tahun itu ditahan selepas siasatan terkini mendapati kecederaan parah Koperal Mustaghni Tabri, 48, sehingga membawa kematiannya berpunca daripada lontaran objek seorang daripada anggota polis terbabit dan bukan akibat libasan topi keledar Mat Rempit, sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Mustaghni terbabit dalam kejadian itu ketika bertugas dalam operasi mencegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda, di sini, jam 1.45 pagi, Ahad lalu sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.45 pagi, semalam.

Allahyarham meninggal dunia selepas lima hari koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata punca sebenar kematian mangsa masih disiasat, namun kecederaan disahkan bukan kerana dipukul dengan topi keledar, tetapi akibat terkena lontaran objek keras. -hm

SPR Mansuhkan Pamer & Bantah Untuk Elak Bakal Calon UMNO/BN Ditolak

Mansuh pamer bantah elak calon BN disabotaj?

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses pamer dan bantah adalah kerana bimbang calon-calon BN disabotaj ahli mereka sendiri.

Menurutnya, gerakan sabotaj itu wujud sejak 2008 lagi dan lebih ketara sejak kebelakangan ini sehingga Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan amaran keras kepada pihak yang beniat melakukan tindakan itu.

Malah katanya, kenyataan pimpinan Umno bahawa calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini tidak semestinya Ketua Bahagian, mampu menjuruskan sabotaj itu akan benar-benar berlaku.

"Tindakan SPR itu menjelaskan bahawa wujud satu gerakan sabotaj kepada calon BN yang akan bertanding pada pilihanraya nanti dalam bentuk teknikal yang akan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada calon Pakatan Rakyat.

"SPR cuba melindungi kemungkinan besar berlaku gerakan sabotaj dalam Umno-BN yang sememangnya telah berlaku sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat proses pamer dan bantah perlu bagi memastikan calon yang mewakili setiap parti itu bersih dari perkara-perkara yang menjejaskan diri sebagai calon.

"Proses pamer dan bantah itu adalah satu tindakan untuk kita melihat bahawa calon yang bertanding itu bersih terutama dari segi bankrup serta tidak mempunyai rekod jenayah.

"Apabila proses itu ada, kita boleh membantah kerana kita tidak mahu calon yang bertanding itu mempunyai rekod yang boleh menjejaskan beliau sebagai calon apatah lagi bila memenangi pilihanraya," katanya.

Keputusan terbaru SPR itu juga kata Azmin, jelas menunjukkan badan pilihan raya itu hanya berminat kepada isu-isu serpihan sedangkan perkara besar seperti daftar pemilih yang bersih, kebebasan media mahupun kerajaan sementara tidak diberi keutamaan.

"Kenapa tidak memberi tumpuan kepada perkara yang menjaminkan pilihanraya bersih dan adil.

"Ini yang kita dalam Pakatan Rakyat hadapi, SPR sepatutnya menyenangkan keadaan bukannya menyulitkan keadaan," tegasnya. -HD


Ulasan GB

Bermacam-macam cara dilakukan SPR untuk berpihak kepada UMNO BN.

Tetapi semuanya itu akan menjadi sia-sia.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan.

Pengerusi dan Timbalan pengerusi SPR akan tetap menerima hukuman di atas segala kepincangan dan penyelewengan yang telah dilakukan.

Liow Boleh Dapat WWW15 Secara Percuma Bukti Wujud Kong Kalikong

Kuala Lumpur 8 Jun: Pemberian nombor pendaftaran WWW15 kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai secara percuma membuktikan tender terbuka kerajaan Umno BN tidak telus, kata Wong Chen.

Pengerusi Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN itu berkata, tender tersebut mudah dieksploitasi Menteri dan kroni mereka.

“Ia menimbulkan persoalan tentang tadbir urus kerajaan dalam tender terbuka. Menteri boleh memberi apa-apa arahan sesuka hati.

“Jadi bagaimana rakyat boleh mempercayai tender terbuka kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiong Lai merupakan salah seorang yang berjaya membida ‘nombor panas’ berharga RM24,200 melalui tender terbuka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bidaan nombor kenderaan rasmi kerajaan itu didakwa diurus oleh kementeriannya.

Bagaimanapun, setelah dikritik pelbagai pihak, Tiong Lai mengakui ia diperoleh secara percuma kononnya atas hak istimewa Menteri.

Chen berkata, JPJ perlu menjelaskan kepada pembida lain yang terpaksa membayar dengan harga penuh.

Beliau turut mendesak JPJ menjelaskan jika wujud arahan dalam urusan tersebut daripada Kementerian Pengangkutan.

Perdana Menteri juga katanya, perlu menjawab dakwaan Tiong Lai berkenaan hak istimewa menteri mendapatkan nombor pendaftaran khas.

Kontroversi ini bermula selepas Tiong Lai menjadi sasaran soalan pemberita dengan berkata tidak membayar satu sen pun untuk mendapatkan nombor tersebut.

Tiong Lai dalam tweetnya berkata, beliau telah dimaklumkan oleh JPJ bahawa beliau tidak perlu membayar harga bidaannya kerana nombor itu ‘percuma’.

Bagaimanapun, ini bercanggah dengan laporan akhbar China Press sebelum ini yang memetik jurucakap JPJ Wilayah Persekutuan sebagai berkata, setiap orang yang membida nombor plat, perlu membayar untuk mendapatkannya. -KD

Liow Boleh Dapat "WWW 15" Secara Percuma - JPJ

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mempunyai tiga pilihan, termasuk mendapatkan nombor pendaftaran 'WWW 15' secara percuma, sesuai dengan kelayakan yang diberi kepadanya oleh kerajaan iaitu sebagaimana yang dipohon dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam satu kenyataan, Jumaat, Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata Liow juga mempunyai dua pilihan lain iaitu membayar dengan harga tertinggi yang ditawarkan iaitu RM24,200 untuk mendapatkan nombor pendaftaran itu atau menolak tawaran tersebut jika tidak berminat.

Solah berkata JPJ menerima permohonan untuk mendapatkan nombor 'WWW 15' daripada Liow untuk kegunaan kenderaan rasmi melalui surat permohonan bertarikh 14 Mei 2012, iaitu pada hari terakhir nombor pendaftaran 'WWW' dibuka untuk bidaan.

Katanya Jawatankuasa Penilai Tempahan Nombor Pendaftaran Siri 'WWW' seterusnya memutuskan bahawa nombor pendaftaran itu ditawarkan kepada Liow dengan harga tertinggi iaitu RM24,200.

Beliau berkata JPJ juga memaparkan nama pembida berjaya kepada umum selaras dengan prinsip ketelusan yang diamalkan dalam pengurusan tempahan nombor pendaftaran.

"Ia juga kerana bidaan telah dibuat oleh orang ramai, sudah tentu mereka ingin tahu siapa yang memenangi nombor yang dibida. Pemenang bagi siri-siri sebelum ini juga kita paparkan," katanya.
- BERNAMA


Ulasan GB

Tiba-tiba kini dikatakan wujud surat permohonan untuk mendapatkan nombor 'WWW 15' daripada Liow untuk kegunaan kenderaan rasmi melalui surat permohonan bertarikh 14 Mei 2012, iaitu pada hari terakhir nombor pendaftaran 'WWW' dibuka untuk bidaan.

Dan atas hak istimewa menteri yang juga dari MCA, Liow boleh diberikan nombor bidaan itu secara percuma.

Lansung tak menasabah.

Itu sebab GB sudah menyatakan bahawa ianya perlu disiasat. "Surat berkenaan" muncul dan tak mustahil ia dilakukan selepas isu ini meletup dan surat itu telah di back-datedkan.

Rakyat mengesyaki wujud kong kalikong di dalam urusan tender ini dan hukum kebenaran dan keadilan menetapkan, pengarah JPJ dan Menteri Pengangkutan termasuk Liow Tiong Lai akan jatuh tergolek akibat perbuatan "menipu" rakyat. Semuga ia menjadi kenyataan.

Rakyat Dah Lupakan BR1M Yang Pertama, Kena Buat Round Kedua

Najib timbang beri BR1M kedua

KULIM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau sedang mempertimbangkan cadangan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua.

"Saya sedang pikiaq (fikir), pikiaq," katanya kepada lebih 30,000 pengunjung pada Program Jelajah Janji Ditepati di Taman Teknologi Tinggi Kulim di sini hari ini.

Dipetik Bernama, Najib berkata, BR1M adalah antara janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

Semalam,Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan kepada Kabinet supaya kerajaan memberikan lagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat.

Bulan lalu, Sinar Harian ada membawa laporan memetik beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengesyorkan agar pemberian BR1M dilanjutkan buat kali kedua sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berpendapat bahawa pemberian BR1M kali kedua akan mengurangkan beban rakyat dan bentuk bantuan tunai sedemikian lebih digemari rakyat.

Naib Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, cadangan itu akan disuarakan oleh BNBBC pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 11 Jun ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga melahirkan pandangan agar BR1M diberi untuk kali kedua. -petikan SH

Ulasan GB

RM500 akan diagihkan lagi, buat kali kedua.

Begitu terdesaknya kerajaan UMNO BN hari ini untuk memenangi hati rakyat... kerana apa? Pakatan Rakyat semakin hari semakin kuat...

Pengumuman tarikh pilihanraya yang lambat menyebabkan pemberian kali pertama telah dilupakan rakyat. Oleh itu kena bagi pusingan kedua, lepas itu cepat-cepat umum pilihanraya. Taktik memancing undi.

Kita sama-sama tunggu dan lihat.