28 Jan 2012

Penutup Bagi Isu Hassan Ali: Munajat Yang Diterima Allah

PAS: ‘Lupakan Hasan Ali, fokus PRU-13’

KUALA LUMPUR, 27 Jan — PAS meminta pemimpin Pakatan Rakyat agar "melupakan" Datuk Dr Hasan Ali dan memberikan tumpuan kepada persiapan pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor sudah tiada kaitan dengan parti Islam itu dan segala tindakan pemimpin kontroversi itu tidak akan dipedulikan.

"Bagi kita beliau (Hasan) bukan ahli PAS, jadi ikut beliau mahu lakukan apa...beliau boleh adakan siri jelajah, ia tidak kaitan dengan kita.

"Lebih baik tumpu kepada perkara yang lebih besar iaitu pilihan raya ke-13 dan juga isu-isu yang melibatkan kepentingan awam bukan isu Hasan Ali...kita juga tidak akan beri komen tentang beliau," katanya kepada The Malaysian Insider.

Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dipecat daripada PAS awal bulan ini kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.

Sehari selepas dipecat Hasan mendakwa pemecatannya berpunca daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah Hasan mengambil inisiatif untuk mengadakan siri jelajah untuk memberi penjelasan tentang pemecatannya dan mendedahkan "parasit" di dalam parti Islam itu.

Sejak itu Hasan dikritik pemimpin Pakatan Rakyat, terbaru Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menegaskan, disebalik dakwaan terdapatnya "parasit" di dalam parti perikatan oleh Hasan, Azmin menegaskan Hasan adalah parasit dan merupakan musuh dalam selimut yang sebenar dalam gabungan tiga parti komponen itu.

Tambah Tuan Ibrahim, walaupun dihimpit dengan isu pemecatan Hasan namun segala persiapan pilihan raya tetap berjalan.

"Kita fokus kepada pilihan raya kerana ia semakin hampir dan ia adalah medan sebenar yang kita harus bersiap sedia untuk menghadapinya," katanya.

Jelas beliau, bagi PAS gerak kerja pilihan raya sudah bermula dan bersedia menghadapinya pada bila-bila masa.

"Saya lihat semua negeri sudah berada di tahap maksima, gerak kerja juga sudah mula bergerak," katanya. -TMI

Ulasan GB

GB bersetuju.

Setelah sekian lama isu Hassan Ali dibincangkan, kini Hassan Ali itu sudah pun tiada lagi di dalam jemaah PAS. Maka sewajarnya kita tidak hiraukan lagi sekalipun ada saki baki pengikutnya yang masih bersimpati terhadap nasibnya.

Sebenarnya, bagi mereka yang mengikut tulisan-tulisan GB selama ini, GB telah lama membuka kisah Hassan Ali ini - seawal 21 Nov 2009 apabila GB menulis, mengenai kisah Ikan Berkepala Buaya - Ada Bersama Kita

Petikan:

GB, seperti sebahagian sahabat-sahabat semua, suka merenung tentang "hakikat" sesuatu yang tersurat.

Ikan berkepala buaya - satu isyarat dari Allah tentang kehadiran makhlukNya yang luarbiasa.

Ikan adalah manusia-manusia di lautan syariat sementara buaya adalah reptil bertubuh besar menghuni habitat perairan tawar seperti sungai, danau, rawa dan lahan basah lainnya. Buaya dapat bergerak dengan sangat cepat pada jarak pendek, bahkan juga di luar air. Buaya menyerang mangsanya dengan cara menerkam sekaligus menggigit mangsanya itu, kemudian menariknya dengan kuat dan tiba-tiba ke air.

Ikan berkepala buaya - sungguh dasyat. Dia ada di kalangan manusia. Ada di dalam kalangan kita juga. Badannya bersama-sama jemaah, tetapi kepalanya tak sama dengan kita. Kepalanya serupa musuh yang suka membaham. Dan kisah ini tidak jauh, di negeri Selangor adanya.

Anda kajilah sendiri di dalam politik kontemporari ini tentang petunjuk yang Allah bagi itu.. sepastinya dengan meminta petunjuk dariNya juga.


Tetapi tidak ramai yang mampu "membaca" petunjuk Ilahi itu. Ayat "manzurah" adalah untuk orang yang tajam mata hatinya melalui "ainul-basirah" kurniaanNya bagimengetahui rahsia di sebalik setiap sesuatu yang didedahkan di atas permukaan bumi ini.

GB tidak mahu mengaku GB mengetahui kesemuanya, dan tidak pula mahu bersikap sombong dan takbur namun hakikatnya bahawa apa yang GB telah tuliskan hampir 3 tahun lalu adalah benar.

Kemudian oleh kerana GB agak sedikit kecewa kerana tiada apa yang dilakukan oleh pimpinan PAS terhadap manusia yang bernama Hassan Ali itu, maka pada 29 Nov 2009, GB telah terbitkan satu munajat kepada Allah agar memberikan bantuan untuk dibersihkan parti kita dari "kepala parasit" itu. Memperingatkan Pimpinan PAS : Doa Seorang Hamba Yang Da'if. Petikan munajat:

Ya Allah Ya Tuhan kami
Selamatkanlah parti kami
dari mereka yang sengaja merosakkan
perpaduan di antara kami

Ya Allah Ya Tuhan kami
bersihkanlah parti kami
dari mereka yang berpura-pura bersama kami
sedangkan hati mereka bersama dengan
musuh Engkau dan musuh kami
hantarkanlah pukulan keras Engkau
kepada mereka yang berpura-pura itu dan
pancunglah mereka untuk kami serta
hantarkanlah mereka ke lembah suuq (buruk)

Ya Allah Ya Tuhan kami
beradalah Engkau dipihak kami
bukan di pihak mereka yang menyebabkan
jemaah parti kami berada di dalam keadaan huru-hara
dan kacau-bilau

Ya Allah Ya Tuhan kami
tolonglah kami dan jangan Engkau beri pertolongan
kepada mana-mana pemimpin yang cuba
mengkhianati dan menyesatkan kami dan jemaah ini


Dan syukur kepada Allah akhirnya pada 8 Januari 2012, Hassan Ali secara rasminya dipecat.

Maka dengan ini GB sekali lagi merafakkan kesyukuran kepada Allah yang telah memakbulkan doa dan munajat hambaNya ini dan lantaran itu, isu Hassan Ali dengan ini dikuburkan dengan rasminya.

GB juga bersyukur kepada Allah yang "telah mengembalikan" beberapa orang pimpinan tertinggi kepada saf perjuangan kita walaupun satu ketika tindakan-tindakan mereka amat menggusarkan kita seperti Mustafa Ali, Nasharuddin Mat Isa dan Tuan Ibrahim sendiri. Rahmat Allah menyebabkan mereka masih berhak untuk diberikan kemaafan dan terus berada di dalam jemaah kita.

Dan kita serahkan kepada Allah untuk mentarbiyah saki-baki mereka yang masih seperti Hassan Ali sifat dan sikapnya yang masih berlegar di dalam parti kita. Tak usah GB sebutkan nama mereka tetapi cukuplah mereka yang sedar itu bertaubat dan memberhentikan kerja-kerja jahat mereka sebelum menerima pukulan dasyat Allah seperti yang Hassan Ali sudah terima.

Yang utama selepas ini kita akan memohon kepada Allah memperkuatkan saf perjuangan kita untuk kita hancurkan UMNO BN sehancur-hancurnya dan untuk kita tawan Putrajaya!

GB amat yakin Allah akan perkenan juga doa kita. Hanya menunggu detik dan masa yang bersejarah itu adanya. Marilah bersama GB untuk yakin dengan bantuan dari Allah ini.

Mungkin sdra-sdri ingin membacanya semula. GB berikan pautan-pautannya:

Laporan sebelum ini
klik untuk baca






1 ulasan:

yes berkata...

Teras jadi platform Hassan Ali kali ini, kalau Hassan Ali nak berhujah mengaitkan politik dan untuk kepentingan diri berdirilah atas platform sendiri. Dg menggunakan platform teras dia sebenarnya memecahbelahkan orang Islam. Kalau nak hujah pasal ugama ok, jangan kaitkan isu politik. TERAS jg biarkan Hassan Ali jadikan TERAS kuda tunggangan. Ramai Melayu Islam respect selama ini.