15 Dis 2009

Kes Altantuya : Bala Sedia Temui SPRM

Penyiasat persendirian P. Balasubramaniam. yang sedang “diburu” pihak berkuasa berhubung pendedahan rakaman temu ramah terbaru berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesediaan itu dinyatakan dalam surat yang dihantar kepada suruhanjaya itu minggu lalu.

Surat dihantar kepada SPRM beberapa hari selepas Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd. Akin diambil keterangan oleh pegawai bahagian siasatan Penguasa Abdul Rahman Bachok pada Dis 4 lalu.

Surat itu dialamatkan terus kepada Abdul Rahman.

Dalam surat itu, Americk Sidhu yang bertindak sebagai peguam kepada Balasubramaniam (gambar) berkata, Subramaniam telah melahirkan hasrat itu agar dimaklumkan kepada SPRM.

“Saya telah difahamkan bahawa anda mahu menemu bual Balasubramaniam berhubung aduan yang dibuat oleh Shamsul Iskandar Mohd. Akin (Ketua Angkatan Muda Keadilan) pada Dis 3 2009.

“Dalam hubungan ini saya telah diarahkan untuk memaklumkan anda bahawa Balasubramaniam bersedia untuk membantu anda dalam siasatan anda dan bersedia untuk ditemu bual oleh anda sendiri,” kata beliau dalam surat itu yang salinannya diperoleh The Malaysian Insider.

Surat itu turut dimuatkan dalam blog Shamsul Iskandar.

Pada Dis 4 lalu Shamsul Iskandar yang membuat laporan dan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya Shaariibuu dengan Datuk Seri Najib Razak kepada SPRM.

Balasubramaniam membuat pengakuan itu pada satu wawancara dengan tiga peguam terkenal di Singapura baru-baru ini.

Dalam perkembangan terbaru, selepas portal-portal utama menyiarkan temu bual itu selepas Raja Petra Kamarudin menyiarkan secara bersiri beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam surat dihantar kepada SPRM, Balasubramaniam mengenakan enam syarat antaranya temu bual harus dikendalikan di Singapura ataupun di London.

Selain itu, masa dan tarikh temu bual perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak terlibat, kesemua kos penerbangan ditanggung oleh SPRM termasuk yang membabitkan peguam mengiringnya dan begitu juga kos penginapan, sara hidup dan pengangkutan pihak-pihak terbabit.

Dua syarat lain ialah sebarang kenyataan dirakamkan daripada Balasubramaniam hendaklah dikendalikan dalam Bahasa Inggeris dengan satu salinan diberikan kepada anak guamnya dan membolehkan rakaman video dilakukan. -G.Manimaran

Najib cuba pulih imej di persidangan Islam antarabangsa?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang terpalit dengan dakwaan rasuah dan pembunuhan akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-2 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Disember ini

Di samping Najib, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mewakili Malaysia pada persidangan itu dan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dijangka hadir.

Para ulama’ tersohor telah disenaraikan dalam website persidangan sebagai penceramah termasuk beberapa individu yang terkenal, yang sebenarnya tidak akan hadir.

Kami dapat tahu Syeikh Dr Tawfik Ramadan Al-Bouti, pensyarah kanan di Universiti Damsyek tidak hadir. Begitu juga dengan ulama’ Sunni berwibawa, Habib Ali al-Jifri, pengasas dan pengarah Yayasan Tabah.

Walaupun kedua-duanya tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, individu-individu yang rapat dengan para ulama’ itu melahirkan rasa prihatin mereka tentang kaedah dan penajaan persidangan itu.

Hubungan rapat di antara Yayasan Kepemimpinan Perdana dengan persidangan itu, penyertaan ahli-ahli politik kanan Umno berprofil tinggi dan tempat itu sendiri, memberi gambaran bahawa terdapat motif politik yang terselindung disebaliknya.

PWTC dikenali ramai sebagai ibu pejabat Umno, dan tempat di mana perhimpunan agung tahunan parti itu di adakan, yang sarat dengan perbincangan bercorak rasis dan hujah retorik.

Yang nyata tidak ada penyertaan dari dua tokoh agama utama di negara ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Nik Mat dan bekas timbalan perdana menteri dan juga ketua pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua Nik Aziz dan Anwar telah disenaraikan di antara 500 tokoh Muslim paling berpengaruh dalam satu penerbitan baru-baru ini, yang dikeluarkan oleh Pusat Pengajian Islam Diraja di Jordan. Anwar termasuk dalam senarai 100 tertinggi tokoh Muslim dalam majalah Time pada tahun 2008.

Ketidakhadiran kedua-dua tokoh ini daalam program persidangan ini, yang mempelopori keamanan dunia dan memupuk perpaduan, telah dibangkitkan untuk pengetahuan pihak penganjur, Muhammad Umar, seorang warga Britain dan pengerusi Yayasan Ramadhan.

Jawapan yang diperolehi memberi gambaran bahawa “Yayasan Ramadhan adalah sebuah organisasi bebas dan dasarnya tidak mahu terlibat dengan politik dalaman sesebuah negara.”

Perbalahan di antara para pemimpin Umno berhubung isu modul latihan Biro Tata Negara di mana ahli-ahli Pakatan Rakyat mendedahkannya sebagai alat mempromosi semangat kebangsaan Melayu yang melampau telah menenggelamkan mesej perpaduan yang dibawa oleh persidangan ini. -FMT

Pakatan Rakyat Tewas 1 Undi. Salah Siapa Kali Ini?

Pakatan Rakyat tewas tipis 1 undi apabila Pakatan Rakyat memperolehi 63 undi berbanding BN 64 undi dalam proses pengundian meluluskan Bajet 2010 bagi Kementerian Dalam Negeri semalam.

Setelah berakhir perbahasan penggulungan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk wira Abu Seman, Usul Belah Bahagian dijalankan atas permintaan MP PKR Subang dan Speaker Dewan Rakyat membenarkan Belah Bahagian tersebut.

Difahamkan, Lima Ahli Parlimen PAS tidak hadir. Seorang ke luar negara. Seorang lagi balik ke kawasan atas urusan di kawasan Parlimen yang diwakilinya dengan kebenaran Presiden PAS (Tok Guru Presiden tunggu sampai malam begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang). Tak diketahui apa terjadi kepada tiga orang lagi Ahli Parlimen PAS yang lesap (mungkin ada alasannya tersendiri) dan tidak ada dalam Dewan itu.

Syabas juga kepada MP Pasir Puteh yang bergegas ke Kuala Lumpur apabila dipanggil jam 2.00 petang (masih berada di Kuala Krai) sempat berada di Parlimen pada jam 10.35 malam.

15 lagi yang tidak ada dalam Dewan adalah dari PKR dan DAP. Belum dapat disahkan lagi berapa dari PKR dan berapa dari DAP.

Di sebelah pihak BN pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup berkejar ke Dewan Rakyat untuk menyelamatkan partinya dari mengalami kekalahan dalam pengundian.

Ada orang kata kekalahan memalukan itu menyebabkan Tok Guru Presiden marah. Tidak dapat dijangkakan adakah beliau akan mengambil tindakan atau tidak.

Saat mendebarkan bagi PM, Najib Razak. Syabas PR atas apa yang terjadi itu. Jangan menyesal dan Buatlah lagi lain kali!

Syabas kepada MP PAS Marang, Bachok, Tumpat, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Kuala Selangor, Titiwangsa, Rantau Panjang, Shah Alam, Bukit Gantang, Padang Terap, Jerai, Kuala Terengganu, Sik, Pasir Puteh, Kota Raja, Pendang dan Kota Bharu.

Senarai PKR dan DAP akan dimaklumkan kemudian. -jiwokelate


Ulasan GB

GB pernah mengulas isu ketidak-hadiran MP-MP Pakatan Rakyat di Parlimen terutama semasa undi belah-bagi dijalankan. Jika kita masih ingat sewaktu undi belah-bagi dilakukan untuk menggantung Gobind Singh Deo dari Parlimen, beberapa ahli parlimen PAS tidak hadir yang akhirnya kemenangan berpihak kepada BN. Anda ingat siapa yang tidak hadir di parlimen pada masa itu? GB cukup ingat. Diharap PR ambil pelajaran hal ini jika benar-benar mahu menjadi "kerajaan yang dinanti" - jika tidak TURUN dari menjadi Ahli Parlimen PR.

Husam Bakal Anjur Rapat Umum Royalti Minyak

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berhasrat mengadakan rapat umum besar-besaran berhubung isu pemberian royalti minyak.

Katanya, rapat umum yang akan diadakan di Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur itu akan menjemput kehadiran Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Satu daripada cadangan kita untuk mengadakan majlis rapat umum ceramah besar-besaran dengan penyertaan Pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah bersama dimulakan dengan Kelantan, Terengganu, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pidato Rakyat bertajuk Antara Royalti dan Ehsan: Siapa Pengkhianat Bangsa, semalam.

Husam berkata, Kelantan berhak menerima royalti minyak yang disumbangkan kepada perindustrian petroleum Negara setelah menandatangani perjanjian pada 1975 selepas Akta Petroleum 1974 dibentangkan.

Katanya, mengikut seksyen 4 akta ini menyatakan bahawa segala hak keistimewaan dan khazanah petroleum yang diserahkan kerajaan negeri kepada Petronas akan menerima bayaran wang tunai.

“Dalam seksyen 4 menyatakan segala hak keistimewaan dan khazanah petroleum ini diserahkan oleh kerajaan negeri kepada Petronas dan Petronas mesti membayar wang tunai kepada kerajaan negeri yang berkenaan,” katanya.

Husam berkata, royalti yang diterima ini juga bukan sahaja untuk Kelantan tetapi juga boleh digunakan untuk membentuk satu model penggunaan wang kekayaan negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

Beliau turut mendesak bakal Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed lebih telus menangani isu rasuah.

“Kita minta pesuruhjaya SPRM yang baru ini lebih adil dalam cara dia menangani isu-isu dalam negara kita dan tidak membiarkan isu-isu yang tebrengkalai,” katanya. - FANSURINA ABDULLAH (TVS)


Dewan Rakyat Tolak Usul Bincang Laporan Kewangan Petronas

Usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) bagi membincangkan Laporan Kewangan Petronas untuk separuh tahun pertama 2009 ditolak Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usul itu tidak mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak mempunyai perkara yang perlu disegerakan.

“Ahli-ahli yang berhormat saya telah menerima usul di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) daripada ahli yang berhormat daripada kawasan Permatang Pauh pada hari Khamis, 10 September 2009, teks usul adalah seperti yang telah dibaca oleh yang berhormat. Bagi membolehkan perkara ini dipertimbangkan oleh majlis mesyuarat pada hari ini, saya sebagai yang Dipertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh yang berhormat itu memenuhi tiga syarat. Perkara perkara ialah perkara itu adalah perkara tertentu, yang kedua adalah sebagai kepentingan orang ramai, dan perkara yang ketiga ialah dikehendaki disegerakan",ujar Junaidi.

Walaubagaimanpun ujar Junaidi, setelah melakukan penelitian, usul Anwar tidak menepati perkara yang ketiga di dalam pertauran tersebut.

“Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa, tertentu bahawa perkara ini adalah tertentu, kepentingan orang ramai, ia adalah kepentingan orang ramai, berkehendak disegerakan,perkara ini tidak perlu disegerakan. Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2)”katanya.

Menurut beliau, perkara itu masih boleh dibangkitkan pada masa akan datang contohnya ketika Dewan Rakyat membahaskan bajet tambahan.

Anwar dalam jawab balas kepada Junaidi berkata, Dewan Rakyat perlu membincangkan segera hal berkenaan kerana jelas peruntukan sebanyak RM 58 bilion yang terkandung dalam Bajet 2010 telah hilang.

“Yang Dipertua, sidang kita akan berakhir minggu hadapan, kalau perkara ini tidak dibincangkan segera, Dewan Rakyat dan rakyat, tidak akan mendapat sebarang penjelasan tentang bagaimana perkara ini boleh dilakukan. Kita boleh tolak ansur yang Dipertua, dalam maksud tidak menolak semua perkiraan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan tetapi kita perlu mendapat penegasan aspek mana yang boleh dikurangkan kerana parlimen tidak boleh diminta terus berbincang manakala kita tahun RM 57 bilion akan dipotong daripada peruntukan yang ada sekarang”.

Suasana di dalam Dewan menjadi kecoh seketika apabila ramai ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat meminta supaya Dipertua Dewan memikirkan semasak-masaknya usul Anwar itu.

Anwar dalam usul tersebut memberikan laporan kewangan Petronas yang menunjukkan kejatuhan purata pendapatan syarikat itu sebanyak RM58 bilion atau 37.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang diumumkan pada 8 Disember lalu.

Anwar berkata, perkara itu menjejaskan kedudukan ekonomi, kewangan dan Bajet 2010 negara yang sedang dipertimbangkan oleh Dewan Rakyat.

Malah menurut Anwar, kebergantungan kerajaan kepada Petronas akan menjejaskan kepentingan semua rakyat yang melibatkan perbelanjaan dan perbekalan oleh kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Dalam masa yang sama, para peniaga yang berurusan dengan Petronas, pengguna hasil pengeluran Petronas dan banyak lagi. -TVS



Jusco Mall Melaka Meletup, I Maut 19 Cedera

Seorang terbunuh manakala 19 lagi cedera apabila kebocoran pada saluran gas di Aeon Jusco Mall di sini menyebabkan satu letupan besar sehingga menjejaskan persiapan untuk pembukaan rasmi gedung membeli-belah itu Khamis ini.

Aeon Jusco Mall Melaka yang terletak di Jalan Lagenda, Bachang itu bakal menjadi gedung Jusco yang terbesar di Malaysia.


Dan persiapan untuk majlis pembukaannya rancak dijalankan dengan para pekerja dan penyewa sibuk menyiapkan lot/ruang kedai masing-masing apabila malapetak ini berlaku sejurus sebelum jam 1 petang tadi.

Letupan yang berlaku di bahagian medan selera aras bawah Jusco Mall itu sangat kuat sehingga meninggalkan lubang sedalam dua meter
.

Kaca dan serpihan yang pecah dari letupan tersebut melayang sejauh 25 meter.

Ketika pihak bomba tiba, terdapat dua orang mangsa ditemui tertiarap di luar bangunan manakala lima mangsa diselamatkan dari runtuhan akibat letupan tersebut.

Bagaimanapun, pihak bomba menemui Tiau See Peing, 25, seorang penyelia Restoran Old Town White Coffee ditemui mati dengan kecederaan teruk pada leher dipercayai terkena serpihan yang terpelanting.

Timbalan Pengarah Operasi Bomba Negeri, R. Ezhumalai ketika ditemui berkata, letupan tersebut kemungkinan disebabkan oleh kebocoran pada saluran paip gas berdasarkan keterangan beberapa saksi yang mengadu terhidu sesuatu seperti bau gas sejurus sebelum letupan itu berlaku.

14 Dis 2009

10 Menteri Gagal Serah KPI, Langkah Najib Hanya Retorik

Kegagalan sepuluh orang menteri untuk memberikan laporan kementerian masing-masing pada tarikh akhir dalam membentangkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), menunjukkan sikap tidak serius kerajaan dalam melaksanakan hal berkenaan.

Penyerahan laporan itu yang sepatutnya tamat November lalu ditunda sebulan lagi bagi membolehkan menteri-menteri yang berkenaan menyerahkan laporan masing-masing.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mukhriz Mahathir yang ditemui media di lobi parlimen berkata, tidak dapat dinafikan adanya perasaan gementar menghadapi hari pembentangan KPI yang akan menentukan prestasi sesebuah kementerian itu.

“Memang lah kita sebagai Timbalan Menteri ada rasa gementar jugalah apabila prestasi kerja kita akan dinilai secara rasmi melalui KPI dan NKRA. Dan kita setentunya mahukan apa yang kita lakukan ini benar-benar menepati cita-cita dan aspirasi rakyat, dan ini akan ditentukan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri”.

Walaupun sebelum ini hasil kerja mereka dinilai secara tidak formal oleh banyak pihak, namun penilaian secara rasmi yang akan dibentangkan pada hari terbuka KPI, akan dibincang dan diperhalusi oleh Perdana Menteri sendiri.

“Walaupun kita telah biasa mendapat maklum balas daripada rakyat melalui blog, melalui perjumpaan, selain daripada maklum balas secraa langsung daripada telefon bimbit kita, tetapi penilaian secara rasmi berdasarkan maklum balas daripada rakyat yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri itu, mahu tidak mahu memberikan kita kesedaran rakyat sudah tentu perlu didahulukan dan prestasi kerja kita itu perlu diutamakan”.

Sementara itu menurut ahli parlimen Titiwangsa, Lo’lo’ Hj. Mohamad Ghazali pula, beliau belum dapat melihat sejauh mana KPI yang diuar-uarkan oleh kerajaan dapat direalisasikan.

Malah beliau berpendapat, kegagalan beberapa orang menteri memberikan laporan dalam tempoh yang telah ditetapkan, menunjukkan kegagalan seluruh pentadbiran Najib.

“Ini yang kita bangkitkan mengenai KPI. Kita bimbang kalau KPI ini hanya sebagai satu mainan atau retorik, kita bercakap sedangkan sebelum ini tindak tanduk atau pun dari segi menteri itu tidak biasa dipantau dan dinilai. Selalunya menteri yang memberi komen orang bawah dan sebagainya. Dan ini memberikan kejutan budaya kepada menteri-menteri itu sendiri” ujarnya.

“Pada saya, ianya satu kegagalan bukan sahaja di peringkat menteri tetapi di peringkat Perdana Menteri sendiri kerana tidak berdaya untuk bersikap tegas kepada menteri-menteri sehingga mereka boleh dikatakan ambil ringan. Sedangkan KPI diuar-uarkan malah ada menteri khas, dua orang lagi sekarang ini”. -TVS



Institusi Pentadbiran Negara Tidak Wajar Disalahguna

Institusi pentadbiran negara seperti institusi kehakiman, keagamaan dan Kesultanan Melayu di Negara ini tidak seharusnya disalahgunakan untuk kepentingan politik hingga menggugat kebenaran dan keyakinan rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, tindakan itu dilakukan Umno apabila mereka gagal mengalahkan Pakatan Rakyat (PR) sekali gus menggunakan segala pendekatan yang ada untuk mencapai matlamat tersebut.

Menurutnya, akibat tindakan itu kebanyakan institusi pentadbiran Negara rosak dan menyimpang daripada matlamat sebenar.

“Insititusi kehakiman rosak kerana Umno, institusi keagamaan, Jais rosak kerana Umno. Nak buat baik kena ada tauliah. Tak boleh mengajar agama, tak boleh cakap pasal agama kalau tak ada tauliah,” katanya.

Sehubungan itu, Khalid berkata beliau berhasrat menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah untuk menyuarakan beberapa isu supaya Institusi Kesultanan Melayu di negeri Selangor dapat dipertahankan dan tidak dilibatkan dalam politik.

Khalid berkata, Umno juga sering memainkan isu perkauman bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Beliau sebaliknya menjelaskan PR mempunyai matlamat perjuangan murni memenuhi kehendak rakyat dalam membentuk keamanan.

“Kita dengan DAP dengan PKR, kita boleh kerjasama. Kita tak setuju rasuah kerana zalim. Kita tak setuju penyelewengan. Kita tidak setuju undang-undang yang menzalimi rakyat jelata,” katanya.

Khalid juga meminta supaya rakyat negeri Selangor lebih bijak dalam membuat keputusan dan tidak terpengaruh semata-mata dengan pengaruh media yang sentiasa menyimpang daripada kisah sebenar. FANSURINA ABDULLAH (TVS)



Menteri Besar Ada Hak Tentu Pilihan Raya Negeri

Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa Kerajaan Selangor berhak menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) negerinya sendiri tidak boleh dipertikai mana-mana pihak.

Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) , Dr. Abdul Aziz Bari berkata dari segi Perlembagaan, sebagai ketua kerajaan Menteri Besar mempunyai hak untuk menentukan sendiri tarikh itu.

Bagaimanapun, Aziz berkata ia terlebih dahulu perlu mendapat persetujuan daripada Sultan.

“Memang betul, memang itu undang-undangnya. Memang betul bahawa Menteri Besar ada hak untuk menentukan bila tarikhnya. Sebab dari segi undang-undang baik dari peringkat Persekutuan atau negeri adalah merupakan satu proses yang bermula dengan permintaan dari ketua kerajaan kepada ketuanya, iaitu Sultan, Yang DiPertuan Agong, atau Yang DiPertua negeri untuk menbubar dewan.

“Memang tidak boleh pertikai, tidak ada kena mengena antara Persekutuan dan negeri kerana ia kuasa Sultan dan bukannya Yang DiPertuan Agong. Itu adalah permintaan Menteri Besar atau Ketua Menteri, memang betulah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khalid bahawa Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghalang sekiranya kerajaan negeri mahu memilih tarikh PRUnya sendiri.

Aziz yang juga pemerhati politik berkata, situasi berkenaan belum pernah terjadi di negara ini kerana secara kebetulan sejak tahun 1959 PRU dilakukan secara serentak di semua negeri.

“Cuma kebetulan dari tahun 1959 itu, pilihan raya diadakan serentak jadi kebanyakan tempoh lima tahun sama. Jika dahulu Dewan Rakyat dibubar sebelum empat tahun, jika ada negeri tidak mahu ikut boleh pada masa itu. Tidak kira negeri BN atau negeri lain,” katanya.

Bagaimanapun, Aziz berpendapat cara ini bukanlah strategi yang taktikal dalam usaha Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan kuasa mentadbir negeri di bawah pemerintahannya.

“Strateginya mungkin tidak begitu sesuai dan tak menguntungkan kerana PR tidak serentak dari segi sumber dan kekuatan ada masa untuk tumpuan, umpanya dari segi pakatan (PR), barisan (BN) ada masa menumpu pada negeri pakatan jadi saya rasa tidak begitu taktikal,” katanya.


PKFZ Bekas Pengurus Projek KDSB Didakwa

Bekas pengurus Projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Law Jenn Dong, 51, hari ini dihadapkan ke Mahkmah Sesyen Klang terhadap 24 pertuduhan membuat tuntutan palsu ekoran skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Law didakwa membuat tuntutan bernilai lebih 116 juta ringgit kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) antara 29 September 2006 hingga Mei 2008.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan selepas kesemuanya dibaca di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Law didakwa bertanggungjawab mendapatkan tuntutan sebanyak 116 juta ringgit dari LPK bagi dua projek PKFZ.

Kesemua 24 pertuduhan yang dihadapinya melibatkan sembilan kerja-kerja elektrik dan infrastruktur manakala 15 lagi merangkumi kerja-kerja sistem.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebas dengan ikat jamin 250 ribu ringgit dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Februari tahun hadapan untuk sebutan kes.

Mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan Law boleh dikenakan hukuman 2 tahun penjara dan sebatan serta denda.

Law merupakan individu keempat diheret ke mahkamah berhubung kes berprofil tinggi itu.

Khamis lalu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datin Paduka OC Phang turut didakwa pecah amanah membabitkan wang 254.85 juta ringgit.

Turut didakwa, Pegawai Ketua Operasi KDSB Stephen Abok yang menghadapi 2 pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai 5.41 juta ringgit dan arkitek Bernard Tan Seng Swee yang menghadapi 26 pertuduhan bernilai 122.3 juta ringgit. - NIZAM (TVS)




Kuala Dipang: Kerajaan Abai Keselamatan Rakyat

TTragedi tiga pelajar mati lemas di Kuala Dipang, dekat Kampar, setelah jambatan runtuh memperlihatkan sikap kerajaan Barisan Nasional tidak mengutamakan keselamatan rakyat dalam projek pembangunannya.

"Peristiwa di Kuala Dipang merupakan satu lagi mala petaka dan kerajaan nampak tidak serik-serik dengan tragedi demi tragedi yang mengorbankan nyawa," kata Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Kata beliau, "seperti juga kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Disember 2008, kerajaan nampaknya tidak belajar dari kesalahan masa lalu.

"Malahan kerajaan cuba menyembunyikan sebab-sebab kejadian dari diketahui oleh orang ramai. Ini merupakan satu sikap yang tidak bertanggungjawab," jelas beliau.

Setelah kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendeklasifikasi maklumat tentang kejadian itu, baru pihak kerajaan, melalui Kementerian Kerja Raya, membuka laporan itu kepada orang ramai.

Tiga pelajar K Mageswaran, K Vasudevan dan T Nathan mati lemas dalam kejadian di Kuala Dipang itu pada 20 November lalu.

Ibu bapa mereka menyaman dua guru besar dari SJK (T) Mambang Diawan dan SJK (T) Gopeng, Kementerian Pelajaran, penderma jambatan GS Synergy Sdn Bhd dan kontraktor CWL Enterprise kerana kecuaian. Mereka menuntut ganti rugi lebih RM35 juta termasuk kos, kerugian umum dan yang berkaitan. -FMT

Pahang Bakal Dapat MB Baru?

Defisit belanjawan untuk 12 tahun berturut-turut sekali lagi menggoyah kedudukan Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar Negeri Pahang. Sumber maklumat dalaman Umno menyebarkan khabar bahawa Datuk Adnan Yaakob mungkin “dipindah” ke pusat untuk mengosongkan jawatan yang disandangnya lebih daripada satu dekad, lantas diisi oleh calon yang dilantik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada hakikatnya, sudah tiba masanya untuk menukar MB. Pimpinan kerajaan negeri oleh Adnan kini terperangkap dalam kebuntuan. Beliau melihat dasar dirinya sebagai dasar terbaik, malah bermegah dengan dirinya kerana tidak meluluskan lesen pembalakan yang baru.

Namun, beliau bukanlah seorang yang baik dalam pengurusan, bukan sahaja tidak bijak dalam berniaga, malah mengakibatkan defisit belanjawan negeri Pahang untuk 10 tahun berturut-turut.

Pemimpin baru dengan gaya barunya sekurang-kurangnya akan menyuntik sesuatu yang baru untuk negeri Pahang. Dari kaca mata peniaga, MB ini tidak berwawasan, hanya menjaga sumber dan harta yang sedia ada. MB ini juga dilihat gagal memikirkan dasar yang terbuka untuk menarik lebih ramai pelabur.

Sebagaimana yang diketahui, Pahang sebuah negeri yang kaya dengan sumber semulajadi. Seandainya diterokai dan digunakan dengan sebaik-baiknya, maka ia bakal menarik pelaburan, lantas mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Hubungan Najib-Adnan

Hubungan Najib dengan Adnan umpama “mentor” dan “musuh”. Adnan diangkat oleh Najib seketika dahulu. Namun, tiada kemestian yang selama-lamanya dalam politik. Semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjawat PM, Adnan mengalih menjadi pendukung Abdullah sehingga mengabaikan Najib.

Maka, selepas Najib menjawat PM, desas-desus tersebar bahawa kedudukan Adnan akan digantikan pada bila-bila masa. Biarpun begitu, bukan senang untuk menggoyah kedudukan Adnan. Adnan memiliki kelebihan, iaitu hubungannya yang baik dengan Institusi Raja di Pahang. Najib mungkin tidak ingin menimbulkan masalah yang baru buat sementara ini.

Walaupun ini bukan kali pertama tersebarnya khabar bahawa Adnan akan dipindah ke pusat, dan ia mungkin berakhir seperti apa yang berlaku dahulu. Oleh itu, tidak menolak kemungkinan bahawa khabar ini diulangi kerana dua faktor.

Pertamanya, ia disebarkan oleh orang Umno yang tidak berpuas hati dengan Adnan; atau keduanya, ia disebarkan oleh Adnan sendiri untuk menguji siapa yang bermotif untuk mendaki ke atas tangga kuasa untuk menggantikannya, agar beliau boleh memancung kepalanya dengan serta-merta tanpa apa-apa persediaan dari pihak musuh.

Pengganti Adnan

Mereka yang pernah berkesempatan untuk bangkit menggantikan Adnan termasuklah Hasan Arifin dari Rompin, Shahirudin dari Raub, Omar Othman dari Kuala Lipis dan sebagainya. Namun, mereka “ditamatkan” dengan begitu sahaja. Shahirudin gagal mengancam Adnan lagi apabila terlibat dalam politik wang.

Kini, ADUN Lanchang, Mohd Sharkar Shamsudin memiliki peluang yang paling cerah untuk menggantikan Adnan. Mohd Sharkar bukan sahaja seorang Exco kerajaan negeri, malah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pahang. Lebih penting, Sharkar adalah orang rapat Najib.

Selain itu, mereka yang berpeluang untuk naik ke mercu kuasa termasuklah Shafik Fauzan Sharif dari Inderapura, Mohd Soffi Abdul Razak dari Benta dan Ishak Muhamad dari Bebar. Demikianlah politik. Walaupun Adnan diangkat naik oleh Najib seketika dahulu, namun “pengkhianatan” terhadap Najib telah menggadaikan kepercayaan Najib terhadap dirinya. Najib tidak lagi melihat Adnan sebagai orang rapatnya. Untuk memperkukuhkan kuasa dirinya di Pahang, Najib perlu meletak orangnya agar boleh dijadikan kubu dirinya di negeri asalnya.

Najib tidak akan menggunakan seorang “pengkhianat”, lebih-lebih lagi Adnan bukan satu-satunya orang yang berbakat dalam negeri Pahang. Adnan juga menyedari keadaan sedemikian. Menurut orang dekat Adnan, beliau telah mencari jalan keluar untuk dirinya. Rumah kediamannya yang lama tidak diduduki itu mula dibaiki semula. Ini menjadi bukti bahawa Adnan telah mengandaikan sesuatu yang buruk mungkin menimpa dirinya.

Pancung dengan KPI

Sumber dalaman Umno berkata, Najib bakal merampas kerusi Adnan dengan alasan bahawa prestasi Adnan sebagai MB selama lebih 10 tahun, bahkan defisit belanjawan untuk 10 tahun berturut-turut gagal menjangkau KPI yang ditetapkan. Ini alasan yang terbaik, malah institusi Raja Pahang mungkin mengangguk kepada pertukaran MB.

Mengikut gaya Adnan,beliau yang selama ini bersikap acuh tak acuh tidak akan memberi penjelasan jikalau keadaan tidak genting. Kali ini, ketika menggulung dalam sidang mesyuarat DUN ketika pembentangan belanjawan, beliau mengumumkan stastistik belanjawan dari tahun 2000 hingga 2008, menjelaskan bahawa kerugian hanya berlaku pada tahun 2008, tetapi membuat keuntungan untuk tahun-tahun selainnya.

Mengapa Adnan memberi penjelasan, malah sekaligus mendedahkan perangkaan 8 tahun yang lalu? Tindakan Adnan boleh dikaitkan dengan spekulasi baru-baru ini, iaitu “masanya sudah sampai”.

Satu lagi faktor yang mendorong agar Najib menukar MB adalah kesungguhan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan negeri ini. Sememangnya, Pahang memerlukan pimpinan seseorang yang berpotensi dan berbakat secara menyeluruh, malah direstui institusi Raja. Apakah Adnan bakal dipindah ke pusat? Kita tunggu dan lihat!

Sesungguhnya ekonomi Pahang sememangnya berada di dalam keadaan yang tenat. Keadaan ini berlaku kerana “mismanagement” atau ketidakcekapan didalam menguruskan ekonomi.Malah saya curiga samaada MB memahami prinsip asas ekonomi makro didalam kerangka menyediakan Belanjawan.

Eksploitasi berlebihan terhadap sumber alam khususnya balak yang bukan sahaja memberikan impaks besar kepada alamsekitar malah lebih teruk dari itu bagaimana sumber alam itu diperlakukan sebegitu lupa yang tidak memberikan pulangan yang menguntungkan. Korupsi dan nepotisme didalam penganugerahan konsesi balak yang meragukan, saya kira menyebabkan kerugian yang besar.Telah didedahkan kepada umum betapa premium balak dikenakan dengan nilai yang tidak masuk akal.

Dan kepada saya jika benar ada pertukaran didalam pimpinan Pahang,saya tidak percaya ianya akan memberikan impaks positif. Sebarang pertukaran jawatan MB hanyalah perubahan kepada kulit semata-mata sedangkan isinya tetap sama. Ertinya kerangka yang sedia ada akan dipertahankan atau sekurang-kurangnya akan terus diikuti tanpa ada upaya untuk melakukan reformasi menyeluruh.

Yang bertukar hanya individu yang menduduki kerusi MB namun sistem dan kerangka atau status quo sedia ada,nescaya akan dikekalkan seperti dulu, kini dan selamanya. — Sidang Online

Konvensyen Blogger PAS Untuk Mem"BTN"kan Blogger?

Menjelang Konvensyen Blogger PAS yang akan diadakan pada 20 hb Disember ini bertempat di Markaz Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, ramai yang tertanya-tanya apa pendirian GB.

Konvensyen ini dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat yang diketuai oleh Ustaz Idris Ahmad dan idea penganjuran konvensyen ini berlaku beberapa hari selepas para blogger telah tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat itu yang telah "menghentam" Prof Abd Aziz Bari. Malah Idris pernah menamakan dan menyerang para blogger sebagai penabur fitnah di dalam satu seminar di Gopeng.

Senarionya bermula apabila Prof Abd Aziz Bari melakukan kritikan terhadap pimpinan PAS Pusat, dan ianya disanggah hebat oleh Idris yang tidak berlapang dada untuk menerima kritikan. Diperburukkan lagi dengan tulisan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ust Nasruddin Hassan Tantawi yang melabelkan Abdul Aziz sebagai agen musuh.

Di dalam Seminar Memperkasakan Parti yang diadakan pada 7 Nov 2009 pula, keberadaan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut memberikan pandangan di dalam forum, disifatkan oleh Ust Zolkharnain Abidin adalah bias dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Tatatertib.

Ketiga-tiga pimpinan PAS tersebut - Idris, Nasruddin Hassan Tantawi, Tuan Ibrahim, telah dikrtik hebat oleh para blogger - termasuklah GB :)

Dan kini ketiga-tiga pimpinan PAS tersebut terlibat secara terus di dalam Konvensyen blogger yang hendak diadakan pada 20 Disember ini yang menurut kenyataan dikeluarkan:

PAS memandang positif kewujudan blog sebagai medium bagi menghadapi peperangan siber disamping menyebarkan dakwah. Namun kebanyakan blogger PAS yang ada, tumbuh meliar tanpa panduan dari peringkat kepimpinan PAS hingga menjadikan dunia blog sebagai medan yang mendatangkan kerugian kepada PAS.

Maka satu konvensyen Blog dicadang untuk diadakan bagi mengenal pasti blogger sebenar PAS dan memberikan perkongsian maklumat serta panduan berguna untuk mereka memberikan sumbangan yang lebih bermakna buat PAS.

Objektif

1. Menghimpunkan dan mewujudkan Kelab Blogger PAS yang aktif
2. Memberikan kefahaman tanggungjawab dan hala tuju Blogger PAS

Tentatif Program

8.00-Pendaftaran Perserta.
8.30-Ucapan Aluan Oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust Idris Ahmad
8.45-Ucaptama Perasmian & Pelancaran Kelab Blogger PAS Oleh Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
"Harapan dan Cabaran Buat Blogger PAS"
9.30-Rehat
9.45-Pembentangan Kertas Kerja 1-Ust. Ghani Shamsuddin
"Memahami Potensi Blog dan Media Baru Dalam Gerakan Dakwah dan Politik PAS"
9.45-Pembentangan Kertas Kerja 2-Ust. Nasaruddin Hassan Tantawi
"Blog Sebagai Medan Dakwah Bukan Fitnah"
10.45-Sesi Diskusi kumpulan
11.45-Pembentang Cadangan /resolusi terhadap aktiviti Kelab Blogger PAS
12.45-Makan Tengahari
Bersurai


Jelas bukan? Ketiga-tiga pimpinan yang dihentam para blogger kini cuba untuk menindoktrinasikan pemikiran blogger melalui apa yang dipanggil Konvensyen Blogger yang tak ubah seperti langkah untuk "memBTNkan" mereka supaya patuh, akur dan jangan mengkritik pimpinan dengan alasan ia "merugikan PAS". Sedangkan kebanyakan blogger melihat pendirian dan kenyataan ketiga-tiga pimpinan yang telah dikeluarkan itulah yang telah banyak merugikan PAS.

Konvensyen dikatakan untuk "mengenal pasti blogger sebenar PAS" dan salah satu objektifnya "Memberikan kefahaman tanggungjawab dan hala tuju Blogger PAS".

Persoalan kini mengapa setelah kamu-kamu tidak berupaya menerima kritikan tiba-tiba cuba pula untuk "mengenal-pasti blogger sebenar PAS" dan dengan beralasan untuk "Memberikan kefahaman tanggungjawab dan hala tuju Blogger PAS" supaya ianya seiring hanya dengan pandangan dan pendirian ketiga-tiga pimpinan tersebut yang gagal menghargai kritikan orang lain. Apakah itu yang hendak ditanamkan ke minda para blogger?

Rumusan: GB adalah ahli PAS yang berdaftar, bernombor 2579xx, (telah mengikuti program PAS sejak dibangku sekolah sekitar 60an dan 70an mengikuti ayahanda yang merupakan pengasas dan Ketua Pas Cawangan di tempat GB, tetapi hanya disahkan menjadi ahli berdaftar PAS pada 80an) bererti layak sangat menghadiri konvensyen berkenaan, tetapi GB mengambil keputusan untuk tidak menghadirinya setelah GB gagal untuk melihat adanya kejujuran dan ketulusan di dalam penganjuran konvensyen berkenaan.

Kalau tak terima GB sebagai blogger PAS pun nanti, GB tak berkecil hati. Muga ada yang masih mahu membaca tulisan-tulisan GB.


Ia Tidak Menjamah Sebiji Jua Pun

Tidak lama si pengembara mengambil masa untuk membuat keputusan. Dari raut wajah si penjual ternyata barangan niaganya bukan alat propaganda atau alat untuk menunjuk petah berbicara. Lagipun si penjual, ketika bercerita tentang barangan jualannya, matanya juga turut bercerita, turut sama berbicara. Mata si pengembara ditatap bersahaja, dijalur pandangannya dikirim keikhlasan hatinya, keikhlasan tentang keistimewaan barangan jualannya. Di sinilah hati si pengembara menyerah menyeberangi kepada yang bernama persetujuan. Persetujuan untuk membeli.

Sebagai pengembara, hatinya sangat mengerti bahawa sepohon benih rambutan yang dibeli boleh menambat dirinya dari terus menjadi pengembara. Akan sunyilah lembah dihujung dataran, anak sungainya terus berirama sama, merbuk dan merbah tika menyanyi tidak lagi dari sanubari lagi, kerana akan tiada lagi yang mahu mencecah kaki dan mandi manda di anak sungainya dan lembah di hujung dataran akan suram, sunyi dan sepi. Semuanya kerana pengembara tak akan kembara lagi.

Boleh jadi si helang jantan yang sering mematainya ke mana saja dia mengembara akan terfikir telah tiba masa untuk dirinya mencari helang betina sebagai pasangan dan kemudian beranak pinak di pohon meranti yang tinggi. Tentu sekali Si pengembara membelek-belek benih rambutan yang diberli lalu hatinya tersenyum.

Dia terus mengembara. Tiba di sebuah kampung terpencil, dia membuat keputusan untuk tinggal di situ. Si helang jantan turut berhenti lalu merencanakan hidupnya dan yang seronok hatinya terdapat pula sepohon meranti yang tinggi di kampung permai itu.

Benih rambutan ditanam. Dibajai dan dijaga. Hatinya puas melihat rambutan yang ditanam kian membesar dengan suburnya.

Satu ketika, hujan lebat sekali, angin bertukar menjadi ribut lalu melanda patah beberapa pokok di kampung itu. Satu dari dahan pokok tertimpa rambutan pengembara. Si pengembara melihat kejadian ini dari pondoknya dan dalam suasana hujan ribut itu dia keluar lalu merawat cabang utama rambutannya yang telah terkulai, bersamanya di bawa tali dan pisau lalu dahan utama rambutannya yang telah terkulai itu diikat kembali kepada induknya.

Melakukan rawatan di dalam hujan ribut bukan perkara mudah, seluruh tubuh pengembara kuyup malah matanya juga turut bergenang dek air hujan dan penglihatannya kekadang menjadi pudar. Ketika dia mahu memotong tali sebagai penyudah kerja, dia terpotong jarinya lalu darah membuak-buak keluar. Giginya berketip menahan kesakitan, tapi kerja akhir disudahkan juga tanpa apa-apa reaksi dari hatinya.

Empat hari pengembara terlantar demam. Demam kerana berhujan merawat rambutannya. Ramai jirannya yang datang melawat. Semasa bercerita asal usul demam dan luka di jarinya, si pengembara tidak pernah bersungut menyesali diri dan tiada tanda-tanda sesal langsung terhadap rambutannya yang manja atau cuaca yang gila pada waktu itu.

Rambutan terus membesar. Suatu petang sang kambing bersama pasangannya yang hampir di pondok pengembara lalu terlihat anak rambutan yang subur. Apa lagi dedaun rambutan menjadi pembelai kasih antara keduanya. Kerana terlalu enak, daun-daun rambutan itu habis dimakan oleh kedua pasangan kambing itu. Memang rambutan pengembara daunnya sangat enak, tidak pernah pasangan itu menjumpai daun rambutan yang seenak itu!

Terkejut juga si pengembara melihat, lalu dihalaunya kambing tersebut dari pokoknya. Kambing tidak mahu pergi kerana masih ada sisa-sisa daun untuk dimakan. Si pengembara menolak kambing itu pergi. Akhirnya setelah sedemikian payah menolak, kambing-kambing pun meninggalkan pengembara dengan pokok rambutannya yang telah parah.

Si helang jantan hitam memerhati dari meranti yang tinggi. Hatinya terbakar kerana pengembara tidak memarahi kambing yang memakan anak rambutanny, apa lagi memukul, walau di sekitar si pengembara terdapat berpuluh-puluh kayu yang boleh jadi pemukul.

Lebih dari itu pengembara hanya menolak dengan menggunakan tangannya akan kambing-kambing yang tak punya hati perut itu. Malam itu helang tak dapat tidur. Dia marah kepada si pengembara walaupun bininya mendodoikan pantun seloka yang baik-baik untuknya tapi matanya masih tetap terbuka.

Belajar dari sebuah kejadian, pengembara mencari buluh untuk dijadikan pagar buat memagar anak rambutannya. Dia memotong, membelah dan mengerat buluh dan ketika itu dia teringat akan pesan datuknya bahawa sembilu buluh terlalu berbisa. Jangan lama bermain dengan buluh! Pesan datuknya.

Kata-kata orang tua bukan sekadar pengisi masa! Telapak tangan pengembara diraut oleh buluh. Aduh ! Bisanya! Selumbar buluh menghiris daging telapak tangannya dan kemudian meninggalkan beberapa kerat selumbar di dalam isi daging itu. Sakit sungguh terasa oleh pengembara.

Semasa dia menarik keluar selumbar dari dalam daging telapak tangannya, waktu itulah dunia menjadi kelam, mentari seperti padam. Demikian penangan sembilu buluh.

Meskipun demikian pengembara meneruskan kerja-kerja memagau tanpa menyesali diri, tanpa bersungut-sungut dan tanpa menyumpah-nyumpah akan pasangan kambing yang telah memakan anak pokok rambutannya, atau menyumpah buluh yang buta tak bermata. Dengan telapak tangan yang berbalut, kerja-kerja memagar disudahkan.

Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun meskipun beberapa kali pagar-pagarnya patah dirempuh kambing, meskipun tangannya berkali-kali diraut buluh namun pokok rambutan telah membesar dan sampai masanya untuk berbuah. Dan berbuahlah rambutan itu akhirnya. Buah yang pertama, yang sulung. Terjawablah asasi kelahirannya sebagai rambutan.

Di satu pagi yang cantik, ketika sang helang belum bangun dari tidur, si pengembara mengemaskan barang-barangnya yang tak seberapa, setelah siap dia mengatur langkah meninggalkan pondoknya untuk selama-lamanya kerana dia adalah pengembara.

Ketika langkahnya hampir dengan rambutan kesayangannya dia memerhati puas akan buah-buah rambutan yang sedang masak ranum, matanya silih berganti melihat antara rambutan-rambutan yang masak ranum dengan parut-parut luka di jari dan di telapak tangannya. Berkali-kali dia melakukan sebegitu. Ia tersenyum… lalu melangkah pergi.

Ketika buah masak ranum, ia tak menjamah sebiji pun!


13 Dis 2009

Karpal Desak Peguam Negara Serah Fiat Dakwa VK Lingam

Peguam terkenal negara, Karpal Singh mendesak Jabatan Peguam Negara menyerahkan sijil perintah untuk memberi kuasa kepadanya mendakwa VK Lingam mewakili pihak kerajaan.

Peguam yang mempunyai syarikat guaman sendiri ini juga mendakwa kerajaan telah menghina Raja kerana gagal mengambil tindakan terhadap Lingam meskipun Suruhajaya Siasatan DiRaja mencadangkan ia perlu dilakukan.

Karpal berkata, selepas sebulan beliau menerima cabaran daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz untuk mendakwa Lingam, namun sehingga kini Jabatan Peguam Negara belum meyerahkan sebarang sijil perintah kepadanya.

“Nazri Aziz dan Peguam Negara harus menentukan saya dapat sijil itu. Dalam fikiran saya ada beberapa kesalahan yang dilakukan VK Lingam semuanya dibuktikan dalam pita video yang disiarkan kepada umum,"katanya.

Sehubungan itu, Karpal memberi tempoh tujuh hari kepada kedua-dua pihak untuk menyerakah sijil berkenaan.

“Saya memberi seminggu untuk sijil itu dikeluarkan. Dan saya akan berjumpa dengan Peguam Negara untuk memberi sebab-sebab tertentu untuk ia dikeluarkan kepada saya,” katanya.

Terdahulu, Karpal bulan lalu menerima cabaran Nazri supaya beliau mewakili pihak kerajaan mendakwa Lingam dan Nazri akan menasihati Peguam Negara supaya mengeluarkan sijil perintah bagi membolehkan Karpal berbuat demikian.

Peguam Datuk V.K. Lingam dikaitkan dengan skandal melobi dan mempengaruhi urusan pelantikan hakim-hakim setelah klip video perbualan telefon beliau tersebar.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu juga mengingatkan bahawa Nazri pernah berjanji untuk menasihati Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail untuk mengeluarkan sijil berkenaan. -TVS



Manikavasagam Cabar Ahmad Said Jawab Pemberian Kontrak Uniform SPRM

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang didakwa memberi kontrak uniform agensi itu tanpa memalui tender terbuka.

Katanya, kontrak pembekalan peralatan pakaian yang bernilai 7.5 juta ringgit itu diberikan kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

Manikavasagam berkata, berdasarkan maklumat carian syarikat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat ini hanya berdaftar sebagai pembuat Medal serta kraftangan berasaskan logam, diberi kontrak secara rundingan terus.

“Dato Seri Hj Ahmad Said bin Hamdan selaku ketua SPRM atau sebelum dikenali sebagai BPR telah memberi satu kontrak pembekalan Head to Toe baju sejumlah nilai hampir 7.5 juta untuk 1,000 orang. Selalu SPRM siasat sama polis, siasat sama Ahli Parlimen, sekarang ketua dia buat, siapa mahu siasat? Saya pun tidak tahu, hari ini saya buat laporan polis, saya ingat menyalah guna kuasa ini, adakah polis mempunyai kuasa tangkap atau siasat ini ketua?”, katanya yang ditemui Tv Selangor.

Beliau bercakap kepada pemberita sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Klang pagi tadi.

Manikavasagam turut mempertikaikan tindakan berdiam diri Kementerian Kewangan yang mengecualikan pemberian kontrak ini melalui tender terbuka kerana seolah-olah menghalalkan pemberian kontrak secara rundingan terus.

Katanya, mengikut prosedur pembekalan kerajaan, mana-mana pembekalan melebihi 200 ribu ringgit hendaklah melalui proses tender terbuka di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau turut mempersoalkan kenaikan lebih 150 peratus harga peralatan yang dibekalkan syarikat itu berdanding harga semasa melalui tender terbuka.

“Masa dulu BPR dia tukar kepada MACC, uniform, beg, tali pinggang, semua ada, jadi satu tali pinggang harga dia markup 150 peratus”, jelasnya.

Ekoran itu, Manikavasagam mencabar Ahmad Said yang akan meletakkan jawatan pada 31 Disember ini untuk menjelaskan mengenai dakwaan berkenaan.

“Jadi punca Ahmad Said nak letak jawatan dua saja, pertama isu Teoh tekanan dia yang meninggal, dan kedua ialah isu ini kontrak ini saya mahu sebelum beliau letak jawatan, bagi tahu saya cabar beliau jawab hari ini saya buat laporan polis ini dan Teoh bagi tahu dalam surat khabar isu Teoh bukan besar, isu Teoh adalah besar. Awak tangkap, awak bawa dia, awak campak mati, itu bukan besar kah?”, tambahnya lagi. - NIZAM (TVS)