14 Dis 2009

Institusi Pentadbiran Negara Tidak Wajar Disalahguna

Institusi pentadbiran negara seperti institusi kehakiman, keagamaan dan Kesultanan Melayu di Negara ini tidak seharusnya disalahgunakan untuk kepentingan politik hingga menggugat kebenaran dan keyakinan rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, tindakan itu dilakukan Umno apabila mereka gagal mengalahkan Pakatan Rakyat (PR) sekali gus menggunakan segala pendekatan yang ada untuk mencapai matlamat tersebut.

Menurutnya, akibat tindakan itu kebanyakan institusi pentadbiran Negara rosak dan menyimpang daripada matlamat sebenar.

“Insititusi kehakiman rosak kerana Umno, institusi keagamaan, Jais rosak kerana Umno. Nak buat baik kena ada tauliah. Tak boleh mengajar agama, tak boleh cakap pasal agama kalau tak ada tauliah,” katanya.

Sehubungan itu, Khalid berkata beliau berhasrat menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah untuk menyuarakan beberapa isu supaya Institusi Kesultanan Melayu di negeri Selangor dapat dipertahankan dan tidak dilibatkan dalam politik.

Khalid berkata, Umno juga sering memainkan isu perkauman bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Beliau sebaliknya menjelaskan PR mempunyai matlamat perjuangan murni memenuhi kehendak rakyat dalam membentuk keamanan.

“Kita dengan DAP dengan PKR, kita boleh kerjasama. Kita tak setuju rasuah kerana zalim. Kita tak setuju penyelewengan. Kita tidak setuju undang-undang yang menzalimi rakyat jelata,” katanya.

Khalid juga meminta supaya rakyat negeri Selangor lebih bijak dalam membuat keputusan dan tidak terpengaruh semata-mata dengan pengaruh media yang sentiasa menyimpang daripada kisah sebenar. FANSURINA ABDULLAH (TVS)



1 ulasan:

Awanama berkata...

selagi BN perintah malaysia, tiada kebebasan dalam semua agensi dari tangan ghaib UMNO dan BN...