15 Dis 2009

Kes Altantuya : Bala Sedia Temui SPRM

Penyiasat persendirian P. Balasubramaniam. yang sedang “diburu” pihak berkuasa berhubung pendedahan rakaman temu ramah terbaru berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesediaan itu dinyatakan dalam surat yang dihantar kepada suruhanjaya itu minggu lalu.

Surat dihantar kepada SPRM beberapa hari selepas Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd. Akin diambil keterangan oleh pegawai bahagian siasatan Penguasa Abdul Rahman Bachok pada Dis 4 lalu.

Surat itu dialamatkan terus kepada Abdul Rahman.

Dalam surat itu, Americk Sidhu yang bertindak sebagai peguam kepada Balasubramaniam (gambar) berkata, Subramaniam telah melahirkan hasrat itu agar dimaklumkan kepada SPRM.

“Saya telah difahamkan bahawa anda mahu menemu bual Balasubramaniam berhubung aduan yang dibuat oleh Shamsul Iskandar Mohd. Akin (Ketua Angkatan Muda Keadilan) pada Dis 3 2009.

“Dalam hubungan ini saya telah diarahkan untuk memaklumkan anda bahawa Balasubramaniam bersedia untuk membantu anda dalam siasatan anda dan bersedia untuk ditemu bual oleh anda sendiri,” kata beliau dalam surat itu yang salinannya diperoleh The Malaysian Insider.

Surat itu turut dimuatkan dalam blog Shamsul Iskandar.

Pada Dis 4 lalu Shamsul Iskandar yang membuat laporan dan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya Shaariibuu dengan Datuk Seri Najib Razak kepada SPRM.

Balasubramaniam membuat pengakuan itu pada satu wawancara dengan tiga peguam terkenal di Singapura baru-baru ini.

Dalam perkembangan terbaru, selepas portal-portal utama menyiarkan temu bual itu selepas Raja Petra Kamarudin menyiarkan secara bersiri beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam surat dihantar kepada SPRM, Balasubramaniam mengenakan enam syarat antaranya temu bual harus dikendalikan di Singapura ataupun di London.

Selain itu, masa dan tarikh temu bual perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak terlibat, kesemua kos penerbangan ditanggung oleh SPRM termasuk yang membabitkan peguam mengiringnya dan begitu juga kos penginapan, sara hidup dan pengangkutan pihak-pihak terbabit.

Dua syarat lain ialah sebarang kenyataan dirakamkan daripada Balasubramaniam hendaklah dikendalikan dalam Bahasa Inggeris dengan satu salinan diberikan kepada anak guamnya dan membolehkan rakaman video dilakukan. -G.Manimaran

Tiada ulasan: