17 Nov 2013

Suspek Kes AMBANK Akan Didakwa Esok


Suspek utama kes bunuh pegawai AmBank Subang Jaya yang ditahan pada 10 November di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor akan didakwa Isnin ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam khidmat pesanan ringkas kepada Bernama, tidak menyatakan di mahkamah mana suspek akan didakwa.

Dalam kejadian pada 23 Oktober, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu, sebelum suspek melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.

Pada 11 November, polis menemui senjata api jenis 'pump gun' yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu, di dalam sebuah longkang di Jalan Subang 2, Taman Perindustrian Subang, tidak jauh dari bank berkenaan. - Bernama


Pengawal kejam wajah selamba


Suspek utama kes menembak mati pegawai AmBank Norazita Abu Talib muncul di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, semalam, dengan wajah selamba selain penampilan tidak bermaya.

Dia yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa ke mahkamah untuk disambung reman sebelum Majistret Surya Wati Shawal mengeluarkan perintah sambung reman selama tujuh hari sehingga 23 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketika wajahnya mahu dirakam jurugambar media, suspek hanya melontar pandangan kosong dan sedikit pun tidak memberi reaksi menolak gambarnya dirakam seperti kelaziman dilakukan suspek kes jenayah lain.

Lelaki menggunakan MyKad palsu dengan nama Ardi Hamza itu ditahan di jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor dipercayai untuk meloloskan diri ke Batam pada 10 November lalu, selepas 19 hari bersembunyi di rumah dan bangunan kosong sekitar negeri itu.

Polis juga mengesahkan identiti sebenar suspek itu sebagai Laode Ardina Laode Rasila, 35, berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Suspek sebelum ini menggunakan nama dan MyKad palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan di ibu negara dan mengaku membeli MyKad itu daripada seorang lelaki warga Indonesia yang berada di negara ini dengan harga tertentu.
– myMetro


Tiada ulasan: