5 Jun 2012

[PINCANG] Dua Anggota Panel Siasatan BERSIH 3.0 Tarik Diri

Dua anggota Panel Penasihat Bebas yang dilantik oleh kerajaan untuk menyiasat dakwaan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0, yang diadakan akhir April lalu, telah memutuskan untuk menarik diri daripada menganggotai panel tersebut.

Mereka ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim (kiri) dan Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah (kanan).

Pengerusi panel, Tun Mohammed Haniff Omar berkata, Shim menarik diri atas sebab-sebab kesihatan manakala Mohammad Medan pula disebabkan beban tugas semasa.

"Kerajaan akan menentukan pengganti kedua-dua mereka ini dalam tempoh yang terdekat. Bagaimanapun ia masih lagi belum diputuskan siapa yang akan dilantik untuk menyertai panel bebas ini," katanya.

Pembentukan panel itu diumumkan oleh kerajaan awal bulan lalu.

Selain Shim dan Medan serta Hanif sebagai pengerusi, anggota lain panel terdiri daripada Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat undang-undang Media Chinese International Liew Peng Chuan dan ahli psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikaikan pelantikan Hanif sebagai pengerusi panel tersebut.

Bagaimanapun Hanif mempertahankan bahawa beliau akan bertindak secara profesional sebagaimana telah diperlihatkan sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel itu akan diberi kebebasan dalam pelbagai aspek, termasuk soal tempoh masa, serta pihak yang akan dirujuk bagi membantu siasatan mereka.

Katanya, beliau ada mendengar syor sesetengah pihak untuk mendapatkan bantuan kepakaran pihak luar, contohnya jabatan polis New York atau polis United Kingdom bagi membantu siasatan, namun menurutnya akhirnya ia terpulang kepada keputusan panel berkenaan.

“Harapan kita adalah untuk orang ramai ketahui apa yang sebenarnya berlaku, hari ini ada bermacam-macam saluran, banyak tuduhan dan ada kecenderungan pihak tertentu hanya melihat kepada satu aspek sahaja terhadap apa yang berlaku pada hari itu, jadi cerita menyeluruh mesti dikemukakan panel ini.

“Kalau ia dikemukakan pihak Kementerian Dalam Negeri atau polis, mungkin ada pihak yang dah begitu prejudis, hingga apa yang kita cakap pun mereka tidak akan percaya, jadi panel ini ditubuhkan bagi tujuan itu,” katanya.

Hishammuddin berkata, penubuhan panel itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang merasakan menjadi mangsa pihak tertentu pada hari kejadian, dan merasakan seolah-olah tidak ada saluran yang telus untuk mendengar luahan serta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku.

Beliau berkata pada pandangannya penemuan panel itu juga dapat membantu kerajaan untuk melihat ke hadapan, khususnya dengan penampilan rang undang-undang berhubung perhimpunan aman, hasil transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terma rujukan (TOR) panel itu yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan sebahagian daripadanya menjurus kepada insiden keganasan polis terhadap perusuh termasuk juga petugas media yang turut dikasari pihak berkuasa terbabit.

Antara TOR yang menjurus kepada pihak polis tersebut adalah untuk memastikan sama ada penguatkuasaan agensi-agensi mematuhi prosedur perundangan dan tindakan setiap masa terutamanya ketika penggunaan kekerasan, gas pemedih mata, dan meriam air.

Antara terma rujukan lain berkaitan polis adalah untuk menyiasat sama ada terdapatnya keganasan fizikal secara rawak digunakan pihak polis terhadap orang awam dan petugas media, menyiasat sama ada terdapatnya rampasan tidak mengikut undang-undang terhadap gambar dan rakaman video dan peralatan mereka dimusnahkan.

Selain itu panel juga menyiasat sama ada terdapatnya antara mereka yang ditangkap tidak menurut lunas perundangan dan mengalami kecederaan serius semasa dalam tahanan polis, dan juga menyiasat Prosedur Operasi Standard (SOP) polis dalam menghormati peserta dan kawalan perhimpunan berdasarkan cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau masyarakat yang mengamalkan demokrasi.

Selain itu, berdasarkan TOR, panel juga akan mengadakan penyiasatan terhadap penganjur perhimpunan Bersih 3.0. -SH

Ulasan GB

Awal-awal sudah pincang sekaligus menggugat integriti dan kredibiliti panel siasatan perhimpunan BERSIH 3.0 yang dipengerusikan oleh Tun Mohammed Haniff Omar.

Awal-awal lagi juga rakyat sudah pertikaikan perlantikan Hanif sebagai pengerusi panel.

Dengan penarikan diri dua anggota panel berkenaan, maruah Menteri KDN, Hishamuddin Tun Hussein tercalar sama kerana beliau lansung tidak mengindahkan bantahan rakyat terhadap perlantikan Hanif.

Tetapi seperti kebanyakan pemimpin UMNO yang lain, mereka ini jenis tak bermaruah, sekalipun menyedari rakyat telah menolak mereka, tetapi masih terus dengan keputusan mereka dan tidak melayan bantahan rakyat.

Maka hukum kebenaran dan keadilan: rakyat tidak akan melayan mereka dan apa juga keputusan mereka.

Air di hilir tidak akan jernih jika sudah keruh di hulu.

3 ulasan:

Nurfanthoun berkata...

Asas rumah di tanah lapang
cerucuk diguna tidak seimbang
sudah pasti tiang kan bergoyang
mana mungkin rumah tak tumbang.

Awanama berkata...

Ambil Brahim Ali sebagai ganti. Brahim pun professional jugak.

Awanama berkata...

Dicadang ambil bekas Ketua Pengarah BPR.