23 Mei 2012

Anak Ust Hadi Patah Jari Cekup Peragut

Marang - Tindakan berani Ketua Pemuda Pas Kawasan Marang, Muhammad Khalil Abdul Hadi, 35, mengejar seorang peragut membuahkan hasil, apabila dia berjaya menangkap suspek yang cuba meragut beg tangan isterinya di Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.

Gambar: Jari tangan Muhammad Khalil patah akibat pergelutan dengan suspek yang cuba melarikan beg tangan isterinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam, berlaku di sebuah kedai makan di tepi jalan utama Kuala Terengganu ke Kuantan itu, Muhammad Khalil dan isteri, Dr Farhana Hasbullah, 32, sedang menikmati makan malam bersama dua anak mereka, Omar, 3, dan Ali, 9 bulan.

Muhammad Khalil yang juga anak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dia singgah di kedai itu selepas isterinya mengeluarkan sejumlah wang dari mesin auto teller (ATM), di sebuah stesen minyak berdekatan tempat kejadian.

Menurutnya, ketika mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam, dia melihat suspek yang membonceng sebuah motosikal masuk ke dalam kedai makan dan menuju ke arah tempat membasuh tangan sambil memesan lapan bungkus nasi.

“Secara tiba-tiba dia (suspek) menyambar beg tangan milik isteri di atas meja hingga menyebabkan isteri dan anak dalam ribaannya berusia 9 bulan jatuh dari kerusi selepas dia cuba menghalang suspek dari melarikan beg tangannya itu.

“Saya kemudian mengejar suspek dan berlaku sedikit pergelutan tetapi akhirnya berjaya menangkapnya. Pergelutan juga menyebabkan sebatang jari saya patah dan betis kanan tercedera,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rusila, di sini, semalam.

Muhammad Khalil berkata, keadaan kelam kabut itu juga menyebabkan seorang rakan suspek yang menunggu di luar kedai dengan motosikal panik dan melarikan diri, manakala suspek yang ditangkap itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Saya bersyukur kerana isteri dan anak selamat walaupun saya mengalami sedikit kecederaan akibat pergelutan dengan peragut. Saya kemudiannya membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek berusia 20 tahun dari Kampung Seberang Baroh Kiri berjaya ditahan manakala rakannya yang melarikan diri masih diburu.

Menurutnya, dengan penahanan suspek, pihaknya yakin dapat selesaikan beberapa kejadian ragut di sekitar bandar raya ini termasuk kes yang berlaku pada petang hari sama berdasarkan fizikal dan modus operandi yang digunakan.

“Sebelum ini, seorang wanita Cina berusia 40 tahun kerugian hampir RM3,000 selepas beg galasnya dilarikan ketika sedang minum di sebuah kedai kopi di Jalan Ladang, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kes itu dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan,” katanya. -SH

3 ulasan:

Awanama berkata...

Pastikan gambar peragut di ambil dan ambil no kad pengenalan jika ada takut dilepaskan jika peragut ada kena mengena dgn sesorang yg disegani terutama anak polis.

Awanama berkata...

syabas dapat tangkap peragut tu...kurang sorang penjenayah kt terengganu.kalau kena hudud lagi aku suka.kasi ajar sikit pada semua penjenayah kat luar sana.

Awanama berkata...

negara dah tak aman, rakyat sendiri kena tangkap penjenayah....pemimpin UMNO selamat sejahtera, kawalan sentiasa