1 Apr 2012

[UNIK] Pelajar-pelajar Tahfiz Kelantan Khatam Quran Atas Keretapi

Wakaf Bharu – Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Kelantan (Peka Yatim) mencipta sejarah tersendiri apabila pelajarnya khatam al-Quran di atas kereta api.

Seramai 26 pelajar hafiz dari pusat pengajian tersebut menyahut cabaran sempena program Journey By Train ‘Al-Quran Rahmatan Lil A’Lamin apabila mereka perlu khatam 30 juzuk al-Quran di atas kereta api tersebut.

Pengetuanya, Ahmad Hilmy Ahmad berkata, kesemua pelajar menaiki kereta api di Wakaf Bharu ke Johor dan di dalam perjalanan tersebut mereka perlu khatam 30 juzuk al-Quran.

“Mungkin dalam masa dua jam setengah pelajar hafiz ini dapat khatam al-Quran 30 juzuk secara beramai-ramai,” katanya ketika ditemui di stesen kereta api Wakaf Bharu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Md Nor Chik hadir merasmikan perlepasan pelajar hafiz tersebut menaiki kereta api.

Seramai 12 pegawai pengiring merupakan kakitangan pusat tahfiz mengiringi pelajar tersebut.

Ahmad Hilmy berkata, program ini mampu memberi suntikan semangat, merasai perjalanan sambil menikmati pemandangan melalui gerabak kereta api.

Program selama dua hari itu turut diisi dengan lawatan sambil belajar ke negeri Johor apabila mereka dibawa ke tempat yang menarik.

Seorang hafiz, Mohd Idris Mohamad, 11, berkata, dia teruja untuk mengikuti program ini yang ada kelainannya apabila memerlukannya khatam al-Quran di atas kereta api.

“Ini adalah khatam al-Quran yang pertama kali dalam hidup saya, mudah-mudahan saya berjaya menyahut cabaran ini,” katanya yang baru empat bulan mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Peka Yatim yang terletak di Desa Rahmat, Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu.

Menurutnya, dia sempat belajar di Sekolah Kebangsaan Raja Bahar hanya di darjah empat sahaja kerana berminat untuk menjadi seorang hafiz.

“Di sini saya belajar al-Quran, tajwid, dan menjadi seorang hafiz,” katanya.

Bagi Syafiqa Haikal Zulkifli, 13, berkata, dia yakin dapat khatam al-Quran di atas kereta api nanti.

“Sekarang ini saya mengaji al-Quran di juzuk 27, dan berharap dapat khatam 30 juzuk sempena program ini,” katanya yang kematian ayah sejak tujuh tahun lalu. -SH

Tiada ulasan: