23 Mac 2012

Laporan Polis Oleh FELDA Bukti Najib Campurtangan Adalah Benar

Campur tangan Najib dalam kes Felda hina mahkamah

KUALA LUMPUR 22 Mac: Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran berkata, kandungan minit mesyuarat antara Najib dan Felda menunjukkan wujud campur tangan serius dalam proses kehakiman dan boleh dianggap satu jenayah menghina mahkamah.

Menurutnya, kandungan minit mesyuarat itu jelas memperlihatkan kerajaan cuba mempengaruhi hakim dalam kes saman peneroka ke atas Felda.

“Ia perkara yang mengejutkan dan cukup merisaukan. Malah, sehingga hari ini Najib dan pihak kerajaan tidak memberi apa-apa penjelasan berkenaan dakwaan serius yang turut disokong bukti ini.

“Mahkamah harus mengeluarkan notis arahan kepada Najib untuk hadir memberi penjelasan mengapa beliau tidak patut didakwa menghina mahkamah,” kata Surendran yang juga merupakan seorang peguam.

19 Mac lalu, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan dokumen rasmi mesyuarat antara Najib dan pengurusan tertinggi Felda.

Butiran minit 7.9 dokumen tersebut menyatakan Najib mengarahkan pegawainya agar memastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER.

Beliau juga dipetik sebagai mengarahkan agar pegawainya memastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya.

Dalam kenyataan sama, Surendran turut mengulas tindakan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang hanya akan memberi penjelasan di Parlimen 26 Mac nanti berhubung pendedahan tentang campur tangan Najib itu.

“Ini adalah isu serius yang membabitkan kepentingan awam dan melibatkan integriti dan kebebasan badan kehakiman. Mengapa mereka harus menangguh jawapan mereka sehingga 26 Mac?” soal beliau lagi.

Beliau turut menggesa pihak polis dan SPRM untuk menyiasat sama ada wujud unsur salah guna kuasa.

“Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan berkenaan isu ini hanya akan terus menghakis keyakinan masyarakat terhadap mereka,” ujar Surendran lagi. -KD

KEADILAN dedah Najib campur tangan kes mahkamah Felda

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan wujud campur tangan Perdana Menteri dalam perbicaraan kes perahan minyak melibatkan peneroka dan Felda.

Beliau berkata, dalam dokumen rasmi mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Felda yang diperolehinya, Datuk Seri Najib Razak, telah meminta supaya hakim dan peguam yang mengendalikan kes berkenaan diberi kefahaman jelas mengenai Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG).

“Dokumen Mesyuarat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersama Felda, bilangan 3, 2011, tarikh 27 Jun 201, tempat mesyuarat di Bilik Mesyuarat aras 4, Bangunan Parlimen Malaysia. Masa mesyuarat 3 petang.

Butiran minit 7.9 yang menyebut ‘bagi kes melibatkan perahan minyak di mana kedua-dua kes belum ditetapkan untuk perbicaraan penuh. Pastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER. Pastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya’,” katanya ketika membacakan minit mesyuarat itu.

Beliau berkata, arahan Najib seperti terkandung dalam laporan itu menunjukkan campur tangan secara jelas pihak eksekutif dalam badan kahakiman negara.

Dengan campur tangan itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang bimbang hak peneroka mendapatkan keadilan di mahkamah berkaitan kes-kes melibatkan Felda akan dinafikan.

Felda sejak kebelakangan ini terus berdepan ratusan saman daripada peneroka berkenaan kes penipuan KPG.

Antara yang memfaikan saman termasuk 400 peneroka Felda Gugusan Chini, 113 peneroka Palong 9 dan sekumpulan peneroka di Felda Kota Gelanggi, Jerantut Pahang.

Selain berdepan dengan saman KPG, Felda juga berdepan beberapa saman daripada NGO berkaitan bantahan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
-KD


FELDA buat dua laporan polis berhubung kebocoran dokumen sulit

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan FELDA hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kebocoran dua dokumen sulit FELDA yang dipaparkan dalam sebuah portal berita tempatan.

Setiausaha Lembaga FELDA, Asiah Sohit membuat laporan itu di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini kira-kira jam 9.40 pagi.

Beliau berkata, dua dokumen itu ialah minit mesyuarat bil.278 yang bertarikh 8 Januari dan buku mesyuarat pengurusan FELDA bersama Perdana Menteri bil.3 bertarikh 27 Jun 2011.

"Saya mula menyedari pembocoran dokumen ini apabila saya melihat portal berita itu bertarikh 15 dan 19 Mac," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu, katanya, FELDA meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab di atas pembocoran dokumen terbabit.
- BERNAMA





Ulasan GB

Mana Najib mahu lari hah?

Baris Pastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER. Pastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya’” amat jelas dan membuktikan Najib mempunyai peranan di dalam menganggu dan mempengaruhi sistem kehakiman di negara ini.

Sepatutnya ia sudah cukup untuk mengheret Najib ke muka pengadilan dan mahkamah perlu mengeluarkan notis arahan kepada Najib untuk hadir memberi penjelasan mengapa beliau tidak patut didakwa menghina mahkamah.

Jika tidak pastikan rakyat menghakiminya semasa pilihanraya nanti untuk menghumban beliau keluar dan kerajaan BN dari Putrajaya.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Pengundi Pekan patut buang Najib dalam pilihan raya nanti