22 Mac 2012

Bayi Berusia 2 Minggu Ditemui Pintu Masuk Masjid Di Pekan Pahang

PEKAN - Seorang bayi lelaki berusia dua minggu ditinggalkan di pintu masuk ruang solat sebuah masjid di Kampung Lamir di sini, hari ini. Gambar oleh Mohd Rafi Mamat

Bayi yang dalam keadaan sihat dan lengkap berpakaian itu ditemui oleh seorang penduduk kampung itu, Khasli Mohd Razali, 48, ketika mahu membuka pintu masjid untuk solat Subuh pada pukul 5.20 pagi.

Sebuah beg berisi lampin pakai buang, beberapa helai baju, tisu basah dan botol susu yang masih berisi susu turut ditinggalkan berhampiran bayi itu.

"Masa saya ingin membuka pintu, saya terdengar bayi menangis lalu mencarinya di sekitar perkarangan masjid. Saya kemudian terlihat seorang bayi diletakkan di perkarangan pintu ruang solat dan meminta pertolangan jiran yang tinggal di sebelah masjid untuk mengambilnya," kata Khasli.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, Khasli berkata beliau memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan dan polis kini menjejaki ibu bayi itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Dengar tangisan bayi ketika masuk kawasan masjid

PEKAN: “Saya dengar tangisan ketika memasuki kawasan masjid untuk menunaikan solat subuh kira-kira jam 5.30 pagi dan selepas menyuluh menggunakan lampu motosikal, saya lihat bayi berada di atas hamparan tepi pintu masjid.

“Bayi itu lengkap berpakaian diselimut kain pelikat dan disisinya ada botol susu serta beg plastik berisi lampin pakai buang, sekotak susu dan pakaian,” kata Khasli Mohd Razali, 48, jemaah Masjid Baru Kampung Lamir di sini, yang menemui bayi lelaki malang itu, semalam.

Khasli berkata, dia memanggil seorang penduduk yang tinggal bersebelahan masjid untuk melihat bayi berkenaan sebelum imam masjid menghubungi polis. Katanya, terdapat kesan gigitan nyamuk pada muka bayi berkenaan yang mungkin ditinggalkan di situ antara dua hingga tiga jam sebelum ditemui.

“Saya percaya bayi berkenaan menangis kerana sejuk dan lapar.

“Perbuatan meninggalkan bayi yang tidak berdosa ini tindakan tidak berperikemanusiaan,” katanya yang bertugas dengan syarikat membuat kenderaan di Peramu Jaya, di sini. Menurutnya, dia tidak menyangka akan berdepan dengan situasi pilu seperti ini dan sebak melihat bayi tidak berdosa diperlakukan seperti itu.

“Tergamak ada insan bergelar ibu bapa bertindak kejam meninggalkan bayi itu,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata bayi seberat 2.9 kilogram dan dipercayai berbangsa Melayu itu kini ditempatkan di Hospital Pekan.

Menurutnya, bayi lelaki itu dipercayai dilahirkan dua minggu lalu sebelum ditinggalkan di tepi pintu masjid dan polis sedang mengesan mereka yang meninggalkan bayi lelaki berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
-hm


Bacalah artikel ini
klik untuk baca



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perbuatan membuang bayi oleh manusia adalah lebih kejam daripada binatang.

Tanpa Nama berkata...

saya nak ambil bayi ni jadi anak angkat saya. nak hubungi siapa? or hubungi saya di 019-2758390

Tanpa Nama berkata...

alhamdullilah sekurang-sekurangnya kepal otak mak/bapak bayi yg tak berdosa ini ini masih rasional walaupun akal kurang dengan tidak mencampakkan kedalam tong sampah sungai, dlm lubang tandas dsbnya. semoga bayi ini mendapat perlindunganNya serta memperolehi keluarga yg benar2 inginkan anak angkat.

Tanpa Nama berkata...

tidak ada jenayah sebab BN perintah? yang teraniaya hanya rakyat bukan pemimpin UMNO