8 Jan 2012

Gadis Maut Dihempap Pokok

Johor Bahru - Seorang gadis maut selepas kereta dinaiki bersama rakan lelakinya dihempap sebatang pokok dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, di Persimpangan Jalan Gertak Merah-Jalan Dato’ Menteri, di sini, semalam.

Mangsa, Sintayana Abas, 25, yang juga pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pontian, dipercayai dalam perjalanan dari Plaza Larkin Sentral untuk ke institut kemahiran berkenaan selepas pulang dari rumah keluarganya.

Ibu mangsa, Tuminah Abu Yamin berkata, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu pulang ke rumahnya di Felda Bukit Aping, Kota Tinggi kerana bercuti dan tidak menyangka tragedi itu menimpa anaknya.

“Makcik mendapat panggilan daripada kakaknya, Kartini Abas, memaklumkan Sintayana kemalangan.

“Namun ketika itu, dia tidak memaklumkan bahawa adiknya itu telah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum bertolak dari rumah, mangsa ada memberitahu, rakan lelakinya yang dikenali sebagai Farhan akan menghantarnya ke tempat dia belajar, sejurus tiba ke Johor Bahru dengan menaiki bas.

“Mereka (Sintayana dan Farhan) memang sudah lama berkawan, malah dia pernah memaklumkan saya dan ayahnya, Abas Jantan, untuk berkahwin selepas tamat belajar,” katanya.

Sementara itu, Kartini ketika ditemui berkata, mangsa sempat pergi ke rumah semua adik-beradiknya termasuk yang tinggal di Kuala Lumpur ketika dia bercuti baru- baru ini.

“Saya orang pertama yang mendapat berita tentang kematian Sintayana daripada rakan sekampung.

“Rakan berkenaan mengetahuinya daripada seorang saudara yang tinggal di sini. Saya yang mendapat tahu berita itu terus menghubungi ibu termasuk ahli keluarga lain,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di tanah Perkuburan Felda Bukit Aping, Kota Tinggi, manakala Farhan yang cedera parah di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Zai­nuddin Yaacob mengesahkan kejadian terbabit dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut (SDR).

Orang ramai atau saksi kejadian kemalangan terbabit diminta untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. -SH

5 ulasan:

nana penang berkata...

TAKZIAH BUAT KELUARGA MANGSA.
Pihak berkuasa tempatan kena bayag pampasan la kat waris mangsa.
Awat yang hampa tak pangkas pokok tu awai2, memang la takdir. PBT jangan lepas tangan............

Tanpa Nama berkata...

kes nie mmg boleh jadi 1 dri 10 juta kot.. mcm pokok kelapa... takan nak catas pokok kelapa itu... lainlah jika nak tebang...

nana penang berkata...

Anon 0202, pasai 1 dalam 10 juta la makanya PBT boleh bayag. Amacam kalau pokok tu tumbang atas kepala anak Anon ?

Tanpa Nama berkata...

Pihak berkuasa kena peka thd pokok2 reput,tua & condong. Kasi tebang aja, tak yah le nak simpan2 sbg sentemental value, dsbnya.

Baru le dikatakan dah usaha. Pokok2 muda yg segar bugar tak yag tebang, melainkan yg rosak, condong ke.

Sepanjang jalan Gambang-Muadzam-Segamat tu banyak pokok2 tua, musim2 ribut ni klu lalu di situ, banyak lagi le zikir2 & doa ambe.

Tanpa Nama berkata...

sebenarnya pihak bandaraya boleh di saman. Kalau di negara maju pihak bandraya perlu memastikan bahawa setiap pokok di dalam bandaraya adalah selamat dengan menggunakan khidmat profesional yang dikenali sebagai arborist. Tugas tugas arborist ini adalah memastikan struktur pokok itu adalah selamat dengan melakukan pemeriksaan berkala dan melakukan kerja kerja penyengaraan seperti pangkasan, pembajaan dan kawalan penyakit. Oleh yg demikian kemungkinan tragedi seperti ini berlaku dapat di kurangkan. Ini bukan kejadian pertama di Malaysia dan juga bukan yang pertamadi negara lain... yang menjadi persoalannya..apa yang perlu di lakukan untuk mengatasinya. Tetapi di Malaysia kita lebih cenderung utk menyerahkan segalanya kepada ketetuan ALLAH. Semoga kejadian ini membuka mata pihak berkuasa untuk mengerahkan jabatan lanskap mereka yang asyik tidor itu untuk bekerja.