3 Nov 2011

Ancaman Baru Banjir Thailand: 50 Maut Kena Renjatan Elektrik

Bangkok: Banjir dilaporkan semakin buruk di ibu negara Thailand berikutan lebih banyak kawasan tenggelam manakala jalan raya tidak dapat dilalui.

Lebih 50 penduduk dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik sewaktu memindahkan barangan mereka ketika meredah banjir.

Ketua Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Pornthep Siriwanarangsan melahirkan kebimbangannya berikutan semakin ramai penduduk yang terbunuh terkena renjatan elektrik.

Beliau berkata, walaupun angka rasmi kematian akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir masih lagi 17, lawatan beliau ke penempatan dan pertemuan dengan penduduk terjejas mendapati jumlahnya 50 kes.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan Bang Phai, berikutan banjir semakin buruk. Bang Phai berada di daerah Bang Khae di Bangkok.

BMA menyenaraikan kawasan daerah Bang Chan di daerah Klong Sam Wa di Bangkok sebagai kawasan dalam pemerhatian.
Gabenor Bangkok, MR Sukhumbhand Paribatra turut bimbang mengenai zon barat di ibu negara itu.

“Sistem saliran air di sana tidak baik seperti di zon timur,” katanya.

Kawasan yang dilanda banjir, Bang Khae dan Thawee Watthana adalah antara daerah di zon barat.

“Paras banjir kini melebihi satu meter,” kata Samart Khemthong, seorang daripada mangsa di sana. Kampungnya, Sakunthip berada berhampiran dengan terusan Thawee Watthana.

Katanya 30 daripada 350 keluarga berkhemah di luar perkampungan mereka bagi menghalang harta benda mereka dicuri.

“Kami sangat memerlukan sebuah bot sekarang ini,” kata Samart.

Sanya Sheenimit, yang mengetuai Jabatan Saliran dan Pengairan BMA berkata bahawa pegawai BMA menggunakan bot di kawasan barat yang dilanda banjir.

“Kami sudah memasang lebih banyak pam dan meletakkan penghadang air,” katanya.

Sukhumbhand berkata, banjir menjadi ancaman di zon timur Bangkok selepas kerajaan mengarahkan pintu air di terusan Klong Sam Wa dialihkan.

“Lebih banyak tempat di zon timur termasuk kawasan perindustrian Bang Chan berisiko dilanda banjir,” katanya. – Agensi

Banjir di barat Bangkok semakin buruk

Kawasan di barat Bangkok sekali lagi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tinggi berikutan keadaan banjir di kawasan itu semakin buruk ekoran Sungai Chao Phraya melimpah dan kerosakan pada dinding tebatan banjir.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata paras air adalah satu meter lebih tinggi daripada dinding tebatan banjir di situ.

Beliau berkata pihak berkuasa juga mengesan kerosakan di 11 tempat pada dinding tebatan banjir dan kerja-kerja membaik pulih keseluruhan kerosakan itu dijangka siap pada 10 Nov.

Banjir di beberapa daerah di barat Bangkok iaitu Thawi Wattana, Taling Chan dan Bang Phlad telah merebak ke Bang Kae dan Thon Buri, semalam.

Pengarah Pusat Operasi Bantuan Banjir Plodprasop Suraswadi yang juga Menteri Sains dan Teknologi hari ini memberi amaran bahawa keseluruhan barat Bangkok boleh dilanda banjir dalam tempoh 15 hingga 20 hari kerana terdapat kira-kira tiga bilion meter padu air banjir di kawasan itu.

Yingluck berkata pihak berkuasa berdepan masalah untuk mengalirkan keluar air banjir di kawasan barat Bangkok akibat terusan yang tersumbat dan sempit.

Dalam langkah yang mengejutkan, Yingluck semalam mengubah keputusannya Selasa lalu mengenai menaikkan paras di pintu air sluis di Klong Sam Wa.

"Kami akan kurangkan pembukaan pintu air," katanya tanpa menyatakan secara spesifik paras baru dan alasan berbuat demikian.

Dua hari lalu, beliau mengarahkan Dewan Bandaraya menaikkan pintu air kepada satu meter daripada 80sm ekoran bantahan keras penduduk di situ.

Pada awalnya, penduduk di daerah Klong Sam Wa di timur Bangkok mendesak pihak berkuasa membuka pintu air daripada 0.6 meter kepada 1.5 meter kerana kawasan mereka telah ditenggelami banjir kira-kira tiga bulan.

Mereka mengadakan protes di pintu air sluis itu pada Isnin dan bersetuju dengan paras 0.8 meter selepas berunding dengan pihak Dewan Bandaraya pada Isnin.

Bagaimanapun, penduduk mengadakan satu lagi protes Selasa lalu dan mendesak paras dinaikkan kepada 1.5 meter, mendorong campur tangan daripada Perdana Menteri yang mengarahkannya dinaikkan lagi kepada 1 meter.

Beberapa penduduk malahan merosakkan pintu air itu dalam protes semalam yang dikawal oleh kira-kira 200 anggota polis.
Tindakan Yingluck itu telah dikritik oleh pentadbiran Bangkok Metropolitan dan pembangkang.

Timbalan Gabenor Bangkok Thirachon Manomaipiboon berkata menaikkan pintu air sluis itu kepada 1 meter akan mendedahkan seluruh Bangkok kepada ancaman banjir walaupun 19 daerah lain di tengah kota Bangkok terselamat daripada bencana alam itu buat masa ini.

Parti Demokrat menyelar tindakan Yingluck kerana kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan semasa mengendalikan krisis banjir.

Jurucakap parti pembangkang itu, Chavanond Intarakomalyasut mahu kerajaan melaksanakan dekri darurat bagi memudahkan usaha kerajaan menangani banjir serta mengawal penunjuk perasaan.

Konfrontasi antara pihak berkuasa dan penduduk mengenai isu pintu air sluis turut dilaporkan berlaku di wilayah-wilayah lain tetapi situasi keseluruhannya adalah terkawal.

Dalam kes tertentu, pekerja telah meminta perlindungan polis semasa membaik pulih dinding tebatan banjir dan pintu air sluis dan dalam satu kes, tembakan amaran dilepaskan di udara oleh seorang penduduk yang cuba menghalang pekerja menjalankan kerja mereka.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih ditenggelami banjir dengan 2.1 juta orang dari lebih 10,000 kampung di 26 wilayah terjejas oleh banjir yang melanda negara ini secara berperingkat bermula 25 Julai. Angka kematian meningkat kepada 427 orang hari ini. - Bernama


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apabila negara diperintah pemimpin tidak rasuah, tapi jatuh kerana nak pilih pemimpin yang rasuah,memang menang dengan beri rasuah kepada pengundi, akhirnya kena bala dari allah, wallahualam

Tanpa Nama berkata...

Menteri2 di malaysia x ambik iktibar ape yg berlaku di thailand...dah lah dekat dgn malaysia..
mohon didoakan dijauhi malapetaka spt ape terjadi di thailand..