5 Dis 2011

[Video] A.Samad Said Seru Lakukan "Regime Change" & Koleksi Puisinya

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mahu anak muda di negara ini menolak janji 'game change' yang disebut Datuk Seri Najib ketika Perhimpunan Agung Umno lalu.

Malah menurutnya, apa yang lebih penting pada waktu ini adalah 'regime change' untuk mengubah kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang lebih baik.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) menyebut perlu ada 'game change'. Tapi pada saya game change itu kecil.

“Kita mahukan perubahan rejim (regime change), bukan sekadar ‘game change’," katanya ketika mengetuai himpunan lebih 200 orang membantah Rang Undang-undang (RUU) Himpunan Aman 2011 di KLCC semalam.

Seruan itu dibuat sebagai tanda kecewa dan protes terhadap tindakan kerajaan Umno BN yang telah meluluskan RUU itu pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.

Katanya, tindakan yang cuba menghalang hak rakyat itu tidak wajar dibiarkan dan rakyat perlu membuat perubahan dengan merubah kerajaan yang ada.

“Kalau ini dibiarkan, masyarakat akan jadi masyarakat yang takut, tidak berani bagi fikiran, dan terus di bawah jajahan," katanya.

Najib dalam ucapannya di perhimpunan parti itu sebelum ini memberi peringatan kepada seluruh anggotanya agar besedia menghadapi perubahan permainan politik (game changer) jika mahu terus releven untuk PRU-13.

Peringatan itu dilihat sebagai satu kebimbangan Umno berdepan segala perubahan khususnya di kalangan anak muda yang sekarang ini boleh mendapatkan maklumat yang pelbagai. -HD

Puisi Jadi Senjata Bantah Undang-undang Perhimpunan Awam

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Laungan 'Suara Rakyat' oleh anak muda bergema di Taman Suria KLCC menunjukkan isyarat jelas rakyat membantah undang-undang perhimpunan awam yang baru diluluskan Dewan Rakyat.

Hampir 250 orang hadir untuk bersama-sama mendengar deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said (Pak Samad) sebagai bantahan terhadap Undang-undang Perhimpunan Aman yang telah diluluskan minggu ini.

Pak Samad turut mendeklamasi tiga sajak yang bertajuk Merindu Ruang yang diciptakan khas untuk perhimpunan hari ini, "Unggun Bersih" dan "Jahit Bendera".

Walaupun berlaku sedikit kekocahan yang melibatkan pihak keselamatan KLCC namun tidak menghalang beberapa anak muda yang hadir untuk turut sama mendeklamasikan beberapa puisi yang ditulis Pak Samad dalam buku 'Puisi Jadi Senjata'.

Pak Samad yang ditemui selepas itu berkata, kehadiran beliau hanya untuk meredakan kekangan yang ada memandangkan kerajaan telah meluluskan Undang-undang tersebut.

Jelas beliau, sekiranya masyarakat terus dibiarkan dan ditakutkan dengan jajahan yang menyekat demokrasi, dikhuatiri mereka akan menjadi takut dan tidak berani untuk memberikan idea.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) menyebut perlu ada Game Change. Tapi pada saya Game Change itu kecil yg penting adalah Regime Change.

"Game Change adalah strategi sahaja. Regime change adalah lebih besar," katanya.

Undang-undang yang diluluskan pada 27 November itu telah dikecam oleh Pakatan Rakyat dan aktivis masyarakat sivil kerana didakwa akan mengekang hak untuk berhimpun.

Ia dikatakan lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis sedia ada kerana ia mengenakan lebih banyak sekatan dan memberi kuasa budi bicara kepada pihak polis.

Selain itu, undang-undang itu juga memperuntukan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis.

Pas telah memfailkan semakan kehakiman bagi mengenalpasti adakah akta tersebut bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Dalam saman mereka, Pas menuntut perintah deklarasi bahawa Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri bertindak melebihi kuasa atau menyalahguna kuasa dengan membentangkan rang undang-undang itu. -tvsnews










1 ulasan:

Awanama berkata...

Syabas Pak Samad