8 Dis 2011

Tony Pua Bidas Hipokrisi Najib Mansuh 29,000 Jawatan

Tony Pua: Mansuh 29,000 jawatan ekoran laksana SBPA bukti hipokrasi Najib

KUALA LUMPUR, 8 Dis — DAP hari ini menuduh Datuk Seri Najib Razak memperlihatkan hipokrasi “teramat tinggi” sedangkan pentadbirannya semalam mengumumkan mengenai pemansuhan 29,000 jawatan, di bawah pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mulai Januari 2012, hanya beberapa hari selepas perdana menteri menyerang Pakatan Rakyat kononnya mahu membuang separuh kakitangan awam.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, perkembangan terbaru ini menunjukkan presiden Umno dan pemimpin-pemimpin partinya adalah oportunis politik, yang hanya mahu menggambarkan Pakatan Rakyat sebagai parti antiperkhidmatan awam.

Pemimpin-pemimpin Umno melakukan serangan bertubi-tubi ke atas perikatan itu sejak Pua mengesyorkan idea mengurangkan tenaga kerja sektor awam yang kini telah mencecah 1.4 juta orang, bulan lalu.

“Najib telah membuktikan dirinya (pemimpin yang) bersikap hipokrit tahap tertinggi,”
kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Malah, Pua mendakwa Najib sanggup mencetuskan sentimen perkauman di kalangan orang Melayu dengan menuduh pembangkang mahu mengurangkan saiz perkhidmatan awam sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memulakan langkah ke arah itu.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah memberi jaminan SBPA akan membantu mengawal bilangan kakitangan kerajaan dan bukannya bertujuan mengurangkan tenaga kerja semasa.

Sambil berkata sekitar 29,000 jawatan dimansuhkan di bawah SBPA, kata beliau, sistem saraan baru ini yang diperkenalkan untuk menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), pemegang jawatan-jawatan yang dimansuhkan akan ditempatkan di skim dan gred lain mengikut keperluan semasa.


Saiz tenaga kerja semasa dianggarkan 1.4 juta orang dengan penduduk Malaysia adalah 28 juta orang.

“Bermakna ia tidak sampai 10 peratus,” katanya merujuk kepada nisbah tersebut.

“Sukar hendak mengatakan bahawa saiz tenaga kerja sektor awam kita terlalu besar atau terlalu kecil. Kita tidak boleh membuat perbandingan antara satu negara dengan negara lain.

“Dan, saya tidak mengatakan sama ada tenaga kerja perkhidmatan kita terlalu besar ataupun kecil... sehingga kami menyelesaikan kajian berdasarkan enam strategi merealisasikan inisiatif perkhidmatan awam yang kejat iaitu kawalan saiz perkhidmatan awam atau ‘right-sizing’, kajian pertindihan fungsi antara agensi, penjajaran fungsi utama perkhidmatan, perkhidmatan yang boleh diserah urus (‘outsourcing’), perekayasaan proses kerja (‘business process reengineering’) dan kajian semakan skim perkhidmatan.

Abu Bakar juga berkata beliau tidak boleh memberi jaminan saiz tenaga kerja semasa akan kekal sama sepanjang masa pada masa depan jika diambil kira kemungkinan akan ada pertambahan atau pengecilan kementerian.

Saiz tenaga kerja pernah dikurangkan daripada 1.2 juta orang sehingga sekitar 800,000 ekoran dasar penswastaan pada 1990-an iaitu ketika pentadbiran Dr Mahathir, tetapi ia meningkat kepada 1.4 juta sekarang.

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno minggu lalu, Najib sambil berkata orang Melayu akan hilang kuasa dan hak mendakwa, “ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung.”

“Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200,000 orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

“Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?”
kata presiden Umno itu.

Sebelum ini kepimpinan Pakatan Rakyat berkata pengurangan tenaga kerja awam bukan dasar mereka, sebaliknya akan mengurangkan kos dengan menjadikan perkhidmatan awam lebih cekap, yang majoritinya orang Melayu.

Dalam kenyataan hari ini, Pua berkata Pakatan Rakyat tidak pernah mengesyorkan untuk mengecilkan saiz sektor awam dan beliau hanya mengesyorkan persaraan awal dan membuang penjawat yang melanggar disiplin dan peraturan seperti mereka yang membeli binokular RM1,940 pada harga RM56,350.

Sehubungan itu wakil rakyat penggal pertama ini menekankan matlamat Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi juga mahukan kerajaan yang bersaiz kecil dan pengurangan tenaga kerja dan pemfokusan semula.

“Umno yang membunuh perkhidmatan awam hari ini, tetapi tanpa rasa malu mendakwa bahawa Pakatan Rakyat dan diri saya sebagai rasis,” katanya lagi. -TMI

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Itulah dasar orang yang mabuk kuasa.