18 Dis 2011

Anak Hilang Dilarikan Jiran Indon

Kuantan - Sepasang suami isteri hanya mampu berdoa selepas anak angkat yang dipelihara sejak lahir hilang dipercayai dilarikan jiran mereka di Kampung Sungai Ular Darat, di sini sejak 11 Disember lalu.

Bapa angkat kanak-kanak itu, Jamaludin Musa, 50, berkata, Muhamad Arief Idmran, 4, diambil jirannya Ahad lalu dengan alasan mahu bermain-main dengan kanak-kanak berkenaan, namun tidak dipulangkan kembali selepas lapan jam.

Jamaludin berkata, dia dan isterinya, Zaharah Yahaya, 43, mengambil keputusan untuk pergi ke rumah jiran mereka itu untuk mengambil Muhamad Arief.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah jiran mereka dipercayai pasangan dari Indonesia itu, Jamaludin mendapati pintu pagar rumah jirannya itu berkunci dan dia dimaklumkan oleh jirannya yang lain pasangan itu sudah menghilangkan diri.

“Sebelum itu, mereka (jiran) meminta izin membawa pulang Muhamad Arief kerana mahu bermain-main dengan anak saya. Selepas mendapati anak saya tidak pulang, saya mengambil keputusan pergi ke rumah mereka tetapi sudah menghilangkan diri.

“Saya jadi bingung dan cuba mengesan di kawasan berhampiran namun gagal menemui mereka,” katanya.

Jamaludin yang juga pengurus di sebuah resort membuat laporan di Balai Polis Cherating berhubung kehilangan Muhamad Arief.

Menurutnya, kanak-kanak itu dipercayai sudah dibawa lari ke Medan, Indonesia melalui laut.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Polis sedang menjalankan siasatan dan cuba mengesan kanak-kanak terbabit. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.

Jamaludin dan isterinya mendapat hak penjagaan Muhamad Arief selepas ibu bapa kandung kanak-kanak itu menyerahkan Muhamad Arief kepada mereka kerana tidak mampu memeliharanya akibat kemiskinan hidup.

Ibu bapa kandung Muhamad Arief menyerahkannya selepas dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 27 Julai 2008. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Susah nak cari org2 yg betul2 jujur sekarang ni.