18 Dis 2011

Bantah Auku: Mahasiswa Bangkit Tuntut Hak, Turunkan ‘Bendera Najib’ Tanda Protes

Desakan untuk memansuh Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971, memuncak apabila lebih 300 mahasiswa berhimpun dan berarak secara aman.

Protes itu digerakkan Solidariti Anak Muda (SMM) dan disertai Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Gerakan Menuntut kebebasan Akademik (Bebas), Legasi Mahasiswa Agresif (LMA).

Seawal jam 1 petang, mahasiswa berhimpun depan masjid jamek sebelum berarak ke bangunan Maju Junction untuk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ketika berarak, mereka melaungkan slogan mendesak kerajaan menghapuskan Auku dan memberi amaran betapa gelombang mahasiswa bakal menjejaskan hayat politik Umno Barisan Nasional (BN)

Mereka juga menyatakan tidak gentar untuk dipenjara demi memperjuangkan usaha memansuhkan Auku, bukan sekadar memindanya.

Orang awam yang kagum dengan keberanian mahasiswa yang dikawal polis termasuk anggota cawangan khas (SB), turut memberi sokongan.

Depan bangunan Maju Junction, mereka kemudian duduk memegang kain rentang dan melaung desakan supaya mahasiswa diberi kebebasan bersuara dan akademik.

Selepas 10 minit, Pesuruhjaya Suhakam, Shaani Abdullah menerima memorandum daripada mahasiswa dan menyifatkan perarakan itu tidak menyalahi undang-undang.

“Perlu pelbagai cara bagi dapatkan perhatian. Berhimpun adalah satu cara dan mereka berhak melakukannya. Memorandum ini akan dipanjangkan kepada kerajaan,” kata Shaani.

Mahasiswa kemudian berarak ke bangunan Umno – Putra World Trace Centre (PWTC) bagi menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ketika Saifuddin berucap menggunakan pembesar suara, seorang mahasiswa, Adam Adli, 22, dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dilihat menurunkan bendera yang tertera wajah Najib sebagai protes.

Tindakan itu mencuri tumpuan peserta lain sehingga mengakibatkan pengawal keselamatan kelam kabut menaikkan semula bendera berkenaan.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat.

Saifuddin melalui twitter mendesak mahasiswa memohon maaf atas tindakan itu tetapi SMM hanya akan membuat kenyataan seawal-awalnya hari ini.


Mahasiswa bangkit tuntut hak, perjuang kebebasan

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Mahasiswa hari ini bangun mendesak hak kebebasan mereka serta menuntut agar kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta tidak takut ditangkap kerana memperjuangkan kebebasan.

Gabungan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang mengadakan perhimpunan perarakan dari Masjid Jamek ke Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan seterusnya ke bangunan Umno menuntut agar kerajaan hari ini peka dengan hak yang dikehendaki oleh pelajar.

Pengerusi Sigma Gamis, Rohayu Rusli memjelaskan bahawa hari ini anak muda Malaysia mencipta sejarah telah turun ke jalanan menyatakan pendirian hak bersuara serta prinsip bahawa mahasiswa mahasiswi dan anak muda Malaysia.

"Kita tidak akan pernah berhenti menyuarakan kebenaran dan keadilan, menuntut hak yang selama ini dikekang.

"Hari ini juga turut memperlihatkan bahawa partisipasi mahasiswi dalam himpunan, turut bersuara, turut hadir membarisi barisan anak muda, sejarah hari ini memberi amaran kepada pemerintah agar tidak bersenang lenang sedangkan rakyat dan mahasiswa dalam keperitan," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Gamis, Akram Taib Azamudden semasa berucap menberitahu hari ini menyaksikan satu himpunan dan perarakan laungan kebenaran memenuhi Bandaraya Kuala Lumpur.

"Ini bukti bahawa mahasiswa cukup muak dan benci terhadap akta zalim yang kita tuntut untuk dimansuhkan.

"Gamis mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Bebas, Safwan Anang serta seluruh pimpinan front mahasiswa yang telah menggerakkan kekuatan ahli untuk terjun bersama ke lapangan rakyat menyatakan pendirian kebenaran," katanya.

Dalam pada itu beliau agar pihak kerajaan, bebaskan mahasiswa untuk memanfaatkan seluas mungkin daya intelek yg mereka pasak sewaktu di universiti.

Katanya lagi, Gamis akan terus mendokong apa sahaja kebenaran khususnya Bebas dengan menggerakkan seluruh jentera dalam memastikan kebenaran itu tertegak selari dengan tuntutan Islam.

Suhakam teliti memorandum

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah yang menerima memorandum dari gabungan mahasiswa itu menjelaskan pihaknya akan meneliti kandungan memorandum tersebut dan ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa.

"Saya melihat apa yang mahasiswa hari ini bangkit menuntut hak mereka dalam menyuarakan kebebasan dan bagi saya ia bukan satu jenayah jika mereka berhimpun kerana negara ini adalah sebuah negara demokrasi.

"Kita mempunyai pelbagai cara untuk menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab dan apa yang dilakukan oleh mahasiswa hari perlu diambil perhatian oleh kerajaan.

"Kerajaan perlu beri perhatian terhadap isu yang dibangkitkan ini, hak kebebasan bersuara tidak salah di negara ini dan kerajaan sepatutnya perlu meneliti Auku adakah ia perlu dipinda ataupun dimansuhkan terus," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai Persidangan Meja Bulat yang dianjurkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, beliau memberitahu itu adalah cara terbaik bagi menyelesaikan kemelut Auku sekarang.

"Cara perbincangan yang diadakan hari ini adalah satu yang baik, kita perlu mendengar pendapat dari semua pihak sebelum sesuatu perkara itu diputuskan.

"Saya pasti setiap pihak yang dijemput berpeluang menyatakan pendapat mereka terhadap perlaksanaan Auku di sebalik kesannya terhadap pelajar serta pendidikan di negara ini, kerajaan perlu menilai sebelum membuat sebarang keputusan," sambungnya lagi. -HD




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Student Power(Kuasa Mahasiswa) tidak wajar dipandang remeh.Presiden Suharto,diIndonesia jatuh kerana Kuasa Mahasiswa.Sudah agak lama mahasiswa di Malaysia ditekan dan ditindas seolah-olah mereka kanak-kanak TADIKA. Yang berkuasa memikirkan mereka bijak dan lebih tahu dari mahasisawa wal hal ramai dari yang memerintah berotak lembu.Pusat-pusat pengajian tinggi dipenuhi oleh profesor-profesor kangkong yang diternak oleh UMNO.Semua ini mesti dihentikan.Wajar ada transformasi dipusat-pusat pengajian tinggi.

Tanpa Nama berkata...

Menunjukkan rasa tidak puas hati pada sesuatu pihak seperti mahasiswa mendesak hak kebebasan mereka serta menuntut agar kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)bukan pekara pelik kerana telah dilakukan berulang kali.

Tapi yang membuat suasana tunjuk perasaan itu jadi pelik apabila anggota polis tidak bersikap gila babi terhadap kumpulan tersebut malah diiring lagi.

Benarkah polis Malaysia bersikap professional seperti yang diwartakan itu atau ketua polis negara ada agenda tersembunyai disebalik tunjuk perasaan tersebut ?

Sebenarnya bukan kita tidak suka dan menghormati anggota polis Malaysia bekerja secara professional tapi sikap anggota polis dibawah naungan menteri dalam negeri Hishamuddin seperti sedang main wayang.....tiba-tiba bersikap mesra pada rakyat ?

Apakah itu tandanya "Baik ada makna ?"