28 Nov 2011

Gadis Kisahkan Dia Diikat Oleh Perogol Bersiri

Fina kini trauma dengan lelaki

Seorang gadis yang hampir menjadi mangsa ke-20 perogol bersiri tidak menyangka penjenayah terbabit sudah menunggu untuk merogolnya ketika dia keluar dari bilik air dalam keadaan berkemban dengan kain batik di sebuah asrama pekerja di sini kelmarin.

Gambar: FINA menunjukkan kesan kecederaan pada lengannya akibat diikat dengan wayar seterika.

Gadis berusia 20-an itu yang dikenali sebagai Fina menegaskan, dia berasa sangat terkejut kerana sebaik sahaja terserempak, penjenayah terbabit terus mengacu pisau di leher sambil mengikat tangannya dengan wayar seterika.

Lebih mencemaskan, gadis yang berasal dari Tumpat itu berkata, lelaki itu terus menarik dia ke arah biliknya yang terletak paling hujung di asrama berkenaan sambil berkata: “Diam-diam saya cuma nak cari budak nama Yati.’’

Keadaan asrama pekerja tempat dia tinggal ketika itu sangat sunyi kerana penghuni lain sudah pergi bekerja manakala jarak tandas dari biliknya kira-kira 30 meter.

“Selepas sampai ke bilik, dia suruh saya duduk atas tilam dan ikat tangan saya lebih kuat.

“Saya meronta dan bergelut dengannya sampai terbaring sehingga terlucut separuh kain batik,’’ katanya kepada Kosmo! ketika menceritakan semula kejadian yang menimpanya kelmarin. -kosmo

Berita sebelum ini

Perogol bersiri licik tumpas

KOTA BHARU - Hasrat seorang perogol bersiri yang ingin melampiaskan nafsu serakahnya tidak kesampaian apabila dia diberkas oleh orang ramai selepas cuba merogol seorang jurujual, kelmarin.

Tindakan licik perogol bersiri yang diburu polis dipercayai terlibat hampir 20 kes itu akhirnya kecundang setelah dia ditangkap antara jam 12 tengah hari.

Suspek yang tidak bekerja itu juga difahamkan dikehendaki polis selepas dipercayai menjalankan kegiatan terkutuk berkenaan di beberapa jajahan lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek berusia 29 tahun itu dikatakan memasuki bilik yang disewa oleh jurujual tersebut terletak berhampiran sebuah pasar raya di Lembah Sireh, dekat sini.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 20-an itu tidak sempat dirogol oleh suspek selepas salah seorang daripada rakan mangsa menyedari terdapat bunyi bising seolah-olah ada lelaki bergaduh di dalam bilik berkenaan.

Seorang penjaga bilik yang enggan dikenali memberitahu, dia mengetahui kejadian terbabit selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada salah seorang penyewa bilik menyuruhnya naik ke tingkat tersebut kerana mendengar suara lelaki.

“Pada mulanya saya mengingatkan penyewa ini membawa masuk teman lelaki masuk bilik tanpa pengetahuan saya, namun dalam masa sama saya mendengar bunyi suasana tegang berlaku dalam bilik tersebut.

“Setelah bimbang dengan keselamatan wanita tersebut, saya memberitahu dua pekerja lelaki yang lain dan setelah lelaki terbabit menyedari kedatangan kami, dia cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis,” katanya ketika ditemui, semalam.

Penjaga terbabit juga menceritakan dia tidak dapat melihat kejadian itu secara jelas dan hanya melihat tangan mangsa diikat dengan wayar, yang ketika itu memakai tuala kerana difahamkan baru selesai mandi.

Suspek yang berasal dari Kampung Dusun Muda, dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan Majistret, Muhammad Hafiz Mohd Noor mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tempoh lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Pada 25 Ogos lalu, media menyiarkan laporan mengenai seorang perogol bersiri dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam 19 kejadian rogol dan cubaan merogol sejak tahun lalu menggunakan modus operandi mengikat tangan dan mengacukan pisau sebelum merogol. -SH


Tiada ulasan: