30 Okt 2011

Pakatan Rakyat Jangan Pandang Rendah Usaha UMNO BN Rampas Selangor

Muhyiddin terus `gempur’ Selangor

PETALING JAYA: BN terus menggempur Selangor bagi merampas semula kerajaan negeri yang terlepas kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN Selangor sudah beberapa kali menggempur Selangor dan kali terakhir sehari selepas beliau membentangkan bajet 2011 pada 7 Oktober lalu.

Begitu juga dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat beberapa daerah di negeri itu hujung minggu lalu.

Khamis ini, sekali lagi timbalan perdana menteri akan menggempur Selangor. Beliau akan hadir dalam program yang dinamakan `Nurani rakyat sayangi Selangor’ di Kelang dan Shah Alam.

Jumpa NGO

“Di Kelang, TPM akan menghadiri program mesra rakyat di pangsapuri PKNS Pandamaran Jaya, Pelabuhan Kelang.

“Muhyiddin akan bertemu dengan pelbagai NGO, persatuan belia, ahli JKKK Persekutuan serta sumbangan Aidiladha.

“Sumbangan cermin mata kepada 12 sekolah terplih dan sumbagan kepada tokong Cina,” kata Setiausaha BN negeri, Datuk Seri Mohd Zin Mohamad.

Di Seksyen 17 Shah Alam, Muhyiddin akan menghadiri perhimpunan rakyat, melancarkan projek laman Agro dan menyampaikan sumbangan aidiadha.

Beliau juga akan mengunjugi beberapa rumah pemimpin masyarakat di Shah Alam. -FMT

UMNO Guna Taktik 3R Tarik Sokongan Melayu

Dalam rancangan Umno untuk menawan balik Selangor dan Pulau Pinang, parti itu menumpukan usaha bagi menarik sokongan Melayu dengan bermain sentiment agama, perkauman dan institusi raja.

Sambil menyifatkan pendekatan itu sebagai "3R" (race, religion, royalty) Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata ini dapat dilihat di dalam isu-isu seperti Mat Indera dan kritikan Sultan Johor terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Strategi ini digunakan setelah Umno merasakan yang ia telah hilang sokongan di kawasan bandar dan di antara komuniti bukan Islam, katanya.

"Dalam keadaan politik sekarang untuk memenangi pilihan raya Umno mengharapkan empat komponen iaitu undi Melayu luar bandar, undi peneroka Felda, undi pos dan undi daripada Sabah serta Sarawak.

"Untuk itu strategi mereka mempermainkan isu-isu bersifat 3R iaitu racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja). Manakala negeri utama sasaran mereka ialah Selangor, Pulau Pinang dan Perak," katanya di dalam satu laporan di laman lidah rasmi Pas, Harakahdaily.

Contoh terbaru aplikasi 3R ini adalah di dalam kes pakar perlembagaan Prof Aziz Bari, yang digantung tugas di Universiti Islam Antarabangsa, kata Mohamad, yang lebih dikenali dengan nama "Mat Sabu".

Aziz digantung tugas oleh institusi tersebut selepas sebuah komentar yang beliau tulis dikecam oleh penyokong dan blogger pro-Umno. Beberapa laporan polis juga telah dibuat keatas Aziz berhubung artikelnya.

Di dalam artikel itu, Aziz berhujah yang rakyat berhak mempersoal titah Sultan asalkan mereka tidak menyentuh kedudukan institusi Raja-Raja Melayu sendiri di dalam perlembagaan.

"Nampak macam seolah-olah Umno mendukung raja. Tapi saya nak ingatkan pada tahun 1993 semasa saya menjadi ahli parlimen, pernah speaker menggantung peraturan Dewan yang menghalang menyentuh soal raja-raja. Masa itulah mereka ‘belasah' raja-raja Melayu dalam isu kekebalan raja-raja dulu," kata Mat Sabu. -tvsnews


Ulasan GB

Berdasarkan kepada perkembangan terkini dan juga maklumat-maklumat semasa, UMNO/BN nampaknya akan terus berusaha untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat di dalam PRU ke 13 ini.

Mereka akan berusaha mempastikan matlamat itu dicapai by hook or by crook kerana Selangor merupakan negeri yang peting untuk memperkukuhkan pemerintahan UMNO/BN di bawah Najib dan Muhyiddin.

Limpahan PATI yang diberikan taraf kewarganegaraan dengan menjadikan mereka sebagai pengundi-pengundi adalah diantara langkah yang dijangka menyebabkan hasrat UMNO BN itu seakan menjadi kenyataan.

Dan sebarang kelemahan kerajaan PR Selangor betapa kecil sekalipun akan dimanipulasikan bagi mempengaruhi pengundi atas pagar supaya menyokong BN.

Malah UMNO BN juga sudah berjaya mempunyai proxynya sendiri di dalam barisan exco kerajaan negeri. Begitu juga dengan petadbiran kerajaan negeri di mana proxy UMNO sudah dinobatkan sebagai SUK Negeri.

Ia sebahagian grand design UMNO BN untuk merampas Selangor.

Kemudian, jangan lupa kejatuhan Terengganu ke tangan UMNO BN di dalam 2004 dimana faktor daftar pemilih & pengundi luar memainkan peranan penting. Disamping faktor "royal" menjadi faktor utama rampasan kuasa di Perak. Kedua-dua faktor ini akan digunakan serentak untuk merampas Selangor.

Justeru itu, GB tidak dapat melihat UMNO BN tidak dapat merealisasikan impian mereka untuk merampas negeri Selangor kecuali ada usaha yang bersepadu, tegas dan pantas oleh PR Selangor bagi mempertahankan negeri terkaya di dalam Malaysia ini terlepas ke tangan BN.


5 ulasan:

Awanama berkata...

semoga rakyat bijak dlm mengundi dan menentukan pentadbir selangor yg akan datang..

Awanama berkata...

Sampai bila Pakatan Rakyat nak sedar. Anwar Ibrahim dah macam orang jualan langsung je bila bercakap dipentas. Tak habis-habis jaja hal peribadi dia. Rakyat nak dengar penjelasan dan pemahaman mengapa mereka patut mengundi Pakatan Rakyat dan menolak Barisan Nasional. Negara tidak boleh diperintah melalui mandat cara simpati. Ia tak kekal dan membinasakan. Ia perlukan fakta dan kewajaran yang melangkaui munasabah. Evidennya mesti kukuh untuk rakyat membuat penghakiman.

Awanama berkata...

juga jangan pandang rendah Pakatan Rakyat nak ambil Putrajaya, insyaallah

Awanama berkata...

Amaran ini ada betulnya sebab kurangnya kesan perhubungan awam Pakatan Rakyat.Banyak kejayaan-kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tak sampai kekampong-kampong dan FELDA-FELDA.

Awanama berkata...

anon 3:29 tulis "juga jangan pandang rendah Pakatan Rakyat nak ambil Putrajaya, insyaallah"

ni termasuk gologan yang syok sendiri.... GB menegur bab kerajaan Selangor, dia pusing kata tawan putrajaya, tak mau terima teguran.

sebut insyaallah, tapi tak buat kerja apa-apa, dia suruh Allah buat kerja untuk PR.

kumpulan ni yg menyebabkan pr terlopong dan ternganga bila keputusan pru keluar.