6 Okt 2011

BN Boleh Kalah Dalam PRU13 - Chandra Muzaffar

Barisan Nasional (BN) bukan sekuat yang disangka. Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar yang berkata demikian menjelaskan, BN boleh dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) jika pembangkang menggunakan strategi yang betul.

Pada 2008, pembangkang sudah berjaya menafikan penguasaan dua pertiga BN dalam Dewan Rakyat. Ini kali pertama berlaku dalam sejarah negara, BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga.

“Pada saya, kekalahan BN di banyak kerusi pada masa itu bukan atas sebab pembangkang kuat tetapi kerana berlaku masalah dalam BN sendiri,” katanya.

Antara sebab itu, kata Chandra yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar kepada PKR) ialah kerana pemimpin BN sering menganggap mereka berada dalam zon selesa dan akan sentiasa mendapat sokongan rakyat.

“Mereka terlupa pada masa itu faktor ekonomi tidak berpihak kepada mereka. Kenaikan harga minyak menyebabkan hidup rakyat semakin terhimpit, menyebabkan mereka marah kepada kerajaan. Undi protes banyak membantu memenangkan calon pembangkang pada pilihan raya itu,” katanya.

Chandra berkata, pemimpin BN bagaimanapun kini dilihatnya sudah tersedar bahawa mereka perlu sentiasa mendekati rakyat untuk memastikan apa yang berlaku pada PRU-12 tidak lagi berulang.

“Kita dapat lihat keadaan semakin baik bagi BN yang dibuktikan menerusi kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini,” katanya.

Menurut Chandra, undi orang Melayu yang kembali semula kepada BN semakin meningkat, begitu juga orang India.

“Ini menunjukkan BN berada di landasan yang betul,” katanya.

Berbanding kerusi Parlimen yang menurutnya BN berpeluang untuk kembali menguasai majoriti dua pertiga, Chandra bagaimanapun mengakui sukar untuk meramal keupayaan BN merampas semula pemerintahan negeri yang kini di bawah PR.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan meramalkan peluang BN untuk menang dan kekal berkuasa jika PRU-13 diadakan dalam masa terdekat, boleh dianggap tipis.

Katanya, ini berikutan masih wujud pelbagai gejala negatif dalam parti komponen utama BN, Umno seperti budaya cantas mencantas yang kini berada pada tahap kritikal.

2 ulasan:

pena marhaen berkata...

Tak payah ramal pun orang dah tau..Bukan orang lain pun yang tahu, puak Umno ni pun sedar hakikat yang bakal mereka hadapi..

Tanpa Nama berkata...

Kalau SPR dan lain-lain agensi kerajaan berlaku jujur sudah lama BN tersungkur.Tidak perlu tunggu PRU 13 lagi.

Soalnya sekarang bagaimana Pakatan Rakyat perlu bertindak supaya pilihanraya negara kita adil dan bersih