22 Okt 2011

Ali Rustam Sudah Umpan Wartawan Dengan Pingat Untuk Tulis Berita Palsu

PAS Bukit Katil nafi laporan Sinar Harian

MELAKA, 21 Okt: PAS Kawasan Bukit Katil menggesa akhbar Sinar Harian membuat penafian berita mengenai penyertaan bekas ketua PAS cawangan ke dalam Umno.

Setiausahanya, Ramli Dalip menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan akhbar tersebut hari ini bahawa 30 ahli PKR Ranting Bukit Piatu Parlimen Bukit Katil bertindak membubarkan ranting tersebut dan bertindak menyerahkan borang menyertai Umno kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dalam laporan itu, bekas Ketua Ranting PKR Bukit Piatu, Md Said Abu berkata mereka sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR yang tidak menjaga kebajikan ahli.

Gambar dalam akhbar itu juga menunjukkan bahawa bekas Ketua PAS Cawangan Bukit Piatu, Abdul Samad Mamat ada bersama-sama dengan Mohd Ali dan Md Said.

Menurut Ramli, malam tadi beliau telah bertemu sendiri dengan kedua-dua bekas pemimpin cawangan PAS dan ranting PKR Bukit Piatu itu.

Katanya, mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka telah menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Mohd Ali.

"Gambar itu diambil semasa satu majlis yang melibatkan NGO bukannya majlis Umno atau majlis penyerahan borang Umno, mereka telah manipulasikan program tersebut ambil gambar kata Md Said masuk Umno.

"Cikgu Samad juga menafikan beliau menyertai Umno dan beliau masih aktif membantu Penyelia PAS Dun Kuala Linggi," ujarnya yang juga anggota Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Ramli berkata tindakan media itu menyiarkan berita tersebut adalah berniat jahat dan cuba memburuk-burukkan PAS dan PKR khususnya di Bukit Piatu dan Parlimen Bukit Katil.

"Kita menyelidik berita tersebut sebelum menyiarkannya kepada umum, ianya memberikan impak yang besar kepada imej individu yang ditunjukkan dalam gambar tersebut," jelas Ramli. -HD

30 ahli PKR keluar parti

BANDARAYA MELAKA – Akibat kecewa kebajikan tidak dijaga, selain hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan menyebabkan 30 ahli PKR dari Ranting Bukit Piatu, di sini, bertindak keluar parti.

Tindakan itu yang diketuai Mat Said Abu turut mendakwa kecewa kerana selama tiga tahun bersama PKR, pengorbanan mereka tidak dihargai.

Mat Said yang juga bekas Ketua Ranting Bukit Piatu berkata, mereka adalah antara yang bertungkus-lumus sebagai jentera pilihan raya umum lalu tetapi malangnya jasa mereka dipandang sepi. “Aduan kepada pucuk pimpinan parti gagal menjaga kebajikan ahli juga tidak dilayan.

“Saya sudah hilang kepercayaan daripada pucuk pimpinan sehingga ke akar umbi, maka keputusan keluar parti beramai-ramai diambil. Sehubungan itu Ranting Bukit Piatu juga dibubarkan,” katanya.

Menurutnya, mereka menyerahkan borang kemasukan ahli Umno kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Melaka Mall, semalam. -SH


Ulasan GB

Sebenarnya GB tidaklah merasa pelik sangat dengan berita-berita keluar PR masuk UMNO seperti tersiar di dalam akhbar tersebut di atas.

Yang nyata, Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam, sudah lebih awal "membeli" wartawan-wartawan ini dengan penganugerahan pingat-pingat kepada wartawan ini termasuklah wartawan daripada Sinar Harian.

Wartawan Sinar Harian terima PJK

AYER KEROH - Kerajaan Negeri turut memberi pengiktirafan kepada pengamal media dengan mengurniakan kepada tujuh daripada 12 individu pada sesi pertama istiadat penganugerahan darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran sempena Hari Jadi ke-73 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Pada majlis itu, wartawan Sinar Harian Melaka, Amran Ali turut menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Zulkifli Salleh dan Pengarang Utusan Melayu Sdn Bhd, Othman Mohamad pula menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran datuk. -SH


Bagi sang wartwan, pingat itu walaupun kecil, namun ia amat besar ertinya apatah lagi dianugerahkan di hari yang sama Datuk-Datuk menerima pingat masing-masing dan dapat menghadiri pula majlis-majlis dinner bersama pembesar negeri..

Justeru sebagai "membalas budi", maka sang wartawan itu menulislah hal-hal yang wangi-wangi, yang indah-indah untuk kerajaan/parti Ali Rustam. Dan Ali Rustam boleh pada bila-bila masa mereka-reka majlis dan kemudian memanggil wartawan-wartawan yang dianugerahkan pingat ini untuk membuat liputan.

Hal yang sama berlaku dengan mana-mana pimpinan UMNO Pusat juga. Malah blogger cybertrooper telah diberikan upah dan sogokan yang mahal untuk menulis hal-hal untuk memburukkan Pakatan Rakyat sekalipun terpaksa menulis dan melakukan fitnah.

Sebab bagi UMNO, agama tu terpisah dari politik. Dalam politik boleh buat apa saja sebab tidak ada hukum dosa dan pahala. Maka mereka buat dan tulis apa saja yang mereka mahu. Mencarut, memaki, memfitnah, penyiaran dan penyebaran video dan gambar lucah.... itulah dunia mereka. Jika itu semua mereka boleh lakukan, tentulah berita orang Pakatan masuk UMNO dan seumpamanya lebih mudah untuk ditulis dan direkakan.

Kebenaran akan tetap terserlah jua.


Tiada ulasan: