29 Sep 2011

Isu Kg. Baru: 93.8% Pemilik Setuju Penubuhan PPKB? Penduduk Bantah Nong Chik

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) didesak mendedahkan butiran mengenai jumlah borang soal selidik berhubung cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampungh Baru (PPKB), yang telah dipulangkan oleh penduduk.

Ketika membuat desakan tersebut, Dewan Pemuda PAS kawasan Titiwangsa (DPPKT) ingin tahu, daripada jumlah itu, berapakah jumlah keseluruhan penduduk asal Kampung Baru yang perlu diserahkan borang soal selidik berhubung cadangan penubuhan PPKB.

Timbalan ketua DPPKT, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, kenyataan bahagian komunikasi KWPKB semalam menyebut 93.8 peratus pemilik setuju dengan penubuhan PPKB.

"DPPKT mempersoalkan adakah jumlah ini menggambarkan majoriti penduduk menyokong penubuhan perbadanan tersebut, sedangkan daripada maklumat yang diperolehi, hanya 30 peratus penduduk memulangkannya," katanya dalam satu kenyataan.

DPPKT, tegasnya berpendapat, kementerian perlu mendedahkan jumlah keseluruhan borang soal selidik yang diterima.

"DPPKT juga berpendapat kementerian sepatutnya berusaha mendapatkan persetujuan penduduk, paling tidak 80 peratus daripada penduduk keseluruhannya.

"Ini kerana mereka adalah pemilik asal tanah Kampung Baru dan kerajaan berhasrat membangunkan tanah tersebut. Amat wajar kerajaan mendapatkan persetuju mereka dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jika tidak ia dianggap sebagai mengambil hak penduduk tanpa kebenaran," tegas Mohd Shahir.

Menurutnya, pihak kementerian sendiri mengakui bermasalah untuk menghubungi pemilik kerana pelbagai faktor seperti pemilik yang telah meninggal dunia, pewaris yang tidak membuat tuntutan pusaka kecil, pemilik berada di luar Kuala Lumpur, pemilik sukar dihubungi serta kesukaran mendapatkan persetujuan sesama pemilik dalam satu lot.

"Jika demikian, apa perlunya rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru dibacakan kali kedua di Parlimen pada bulan Oktober nanti?

"Bukankah ini menggambarkan cadangan kerajaan dibuat dalam keadaan terburu-buru sedangkan masih ramai pemilik belum dihubungi.

"Sepatutnya kerajaan bersabar sehingga majoriti penduduk dihubungi dan seterusnya mendapatkan persetujuan mereka dahulu, baru dibentangkan cadangan rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru," katanya.

Mohd Shahir berkata, DPPKT tetap berpendirian bahawa kerajaan perlu membatalkan atau setidak-tidaknya menangguhkan usaha membawa rang undang-undang tersebut ke Parlimen Oktober nanti.

"Berikan ruang secukupnya buat penduduk Kampung Baru memberikan keputusan berhubung cadangan pembangunan ini," tambahnya. -mk

PAS bawa isu Kg Baru ke global jika Putrajaya ‘berdegil’

KUALA LUMPUR, 28 Sept — PAS akan membawa perkara isu kedudukan Kampung Baru di ibu negara ke peringkat antarabangsa jika kerajaan terus berdegil tidak mahu memulihara Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

“Jika kerajaan terus bersikap keras kepala dengan keengganannya untuk memulihara Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu, banyak lagi yang akan dilakukan dalam pelan tindakan bersama-sama Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) termasuk membawa perkara itu ke peringkat dunia dan bukan setakat isu nasional sahaja,” kata Salahuddin.

Bukan setakat perjuangan demi mengekalkan warisan bangsa Melayu yang semakin pupus, tegas beliau sambil memberitahu, “tetapi kami yang terlibat membantu bantahan penduduk Kampung Baru terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 menyifatkan perjuangan itu sebagai pejuangan peribadi kami sehingga dapat diselamatkan Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu.”

Menurut Salahuddin, para pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru menyifatkan kandungan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 jelas cuba memanipulasi mereka dan mereka membantah dengan menaikkan kain rentang di rumah-rumah mereka.

Hasilnya, bacaan kedua rang undang-undang berkenaan telah ditangguhkan pada sesi Mac 2011.

“Tetapi, jika kerajaan terus berdegil dan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 akan dibaca bagi kali kedua di peringkat jawatankuasa, PAS dan SPKB akan menggunakan semua saluran yang sah di sisi undang-undang untuk mempertahankan Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga kesal dengan kegelojohan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melihat Kampung Baru dari sudut keuntungan komersial dan ekonomi semata-mata.

“Pemuliharaan warisan bangsa tidak sepatutnya ditangani secara komersial tetapi ia adalah tanggungjawab sosial kerajaan untuk memulihara warisan bangsa.

“Jika perkampungan Portugis di Ujong Pasir, Melaka boleh dipulihara, mengapa kerajaan BN menunjukkan sikap yang luar biasa rakus terhadap Kampung Baru yang menjadi khazanah warisan Melayu?” kata beliau.

Beliau mengingatkan kerajaan supaya jangan terus mengabui mata orang-orang Melayu dengan apa yang didakwa sebagai persetujuan sebahagian mereka yang telah mengembalikan borang referendum yang diedar oleh kerajaan kepada mereka.

“Jangan gunakan suara minoriti untuk menekan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru supaya tunduk dan menyerah kalah kepada taktik pulas tangan kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” katanya.

Salahuddin menyifatkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak bersikap jujur kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Menurut beliau, borang referendum itu diedarkan pada Jun 2011 oleh kementerian dengan janji bahawa ia akan dijadikan asas utama untuk menentukan sama ada Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 akan diteruskan.

“Pada 17 September menteri mengumumkan sekali lagi bahawa bacaan kali kedia akan diteruskan pada sesi Parlimen kali ini.

“Bagaimanapun beliau langsung tidak menyatakan perkembangan referendum yang telah dijalankan,” katanya. -TMI


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PAS Titiwangsa,elok adakan demo dimesjid Kg.Baru selepas solah Jumaat.Raja Nong Chik ni bukan reti bahasa.Dia boleh tunjuk bukti yang tipu untuk menunjukkan ramai Kg.Baru setuju.Siapa pulak nak buat kaji-selidik?Waspada! penduduk Kg.Baru berhadapan dengan penyangak tanah yang dilindungi oleh Putrajaya.Bantah,demo,bantah,demo, ini sahaja cara yang penyangak ini faham.