29 Sep 2011

Lagi Berita Terengganu Dihentam Ribut

Ribut 'serang' Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU – Beratus-ratus rumah di sekitar Kuala Terengganu di sini rosak teruk akibat dipukul ribut dan angin kencang dalam kejadian malam kelmarin.

BEBERAPA orang pekerja memotong dahan pokok yang menimpa sebuah kenderaan di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Turut terjejas adalah kawasan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyebabkan lebih 10,000 penonton yang menyaksikan perlawanan Piala Malaysia bertempiaran lari.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu menyebabkan bumbung-bumbung rumah rosak teruk sementara lebih sepuluh kereta milik penonton yang diletakkan di luar stadium rosak dihempap pokok.

Selain itu, puluhan papan iklan turut diterbangkan angin manakala beberapa keping zink di kawasan stadium tercabut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang turut berada di stadium berkenaan ketika kejadian berkata, bencana ribut itu berlaku mungkin disebabkan perubahan cuaca.

Bagaimanapun kata beliau, laporan awal mengesahkan beratus-ratus rumah telah rosak selain beberapa pokok besar di tengah bandar tumbang.

“Kita belum mendapat angka sebenar rumah yang terjejas tetapi antara tempat yang teruk dilanda bencana ini ialah di Seberang Takir dan beberapa kampung sekitar Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengenai kejadian di stadium, beliau menjelaskan tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan setakat ini dan semua kerosakan akan dibaik pulih dengan segera.

Sementara itu, seorang penonton, Nurul Huda Hussain, 26, berkata, ribut dan angin kencang itu berlaku ketika perlawanan bola sepak baru memasuki minit kesepuluh. -kosmo


Ribut landa Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Ribut dan hujan lebat melanda bandar raya ini selama kira-kira 10 minit malam kelmarin, memusnahkan pelbagai harta benda awam, premis perniagaan, kedai dan gerai makan serta kediaman mengakibatkan kerugian dianggarkan ratusan ribu ringgit.

Gambar kanan: PINTU gerbang Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu tumbang.

Malah, kejadian ribut pada jam 8.45 malam itu menyebabkan perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, yang menyaksikan Terengganu menentang Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan kira-kira 40 minit selepas enam minit perlawanan bermula, berikutan angin kencang dan hujan lebat menjejaskan aksi pemain.

Tinjauan Berita Harian mendapati, antara kawasan terjejas teruk kesan ribut ialah Dataran Shahbandar, Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Pejabat dan jeti bot penambang bersebelahan pasar payang serta beberapa lokasi yang terdedah sekitar bandar.

Kejadian ribut itu memusnahkan jeti Shahbandar yang baru siap dibina awal tahun ini apabila bumbungnya runtuh, selain bumbung beberapa kedai di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) tercabut, cermin pusat beli-belah Astaka musnah, pintu gerbang Dataran Shahbandar tumbang dan khemah peniaga di Dataran Shahbandar dan Medan Selera Tanjung roboh dibadai angin kencang.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff, berkata kejadian ribut itu memusnahkan lapan unit kedai di PBKP yang bumbungnya tercabut, menyebabkan peniaga kain sutera dan songket, kedai cenderamata dan tembaga mengalami kerugian apabila barang jualan rosak akibat terkena serpihan bumbung dan hujan.

"Kejadian ini turut menjejaskan 30 peniaga lain apabila premis mereka rosak. Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membantu membersihkan kawasan terjejas supaya peniaga boleh memulakan perniagaan semula," katanya.
Peniaga kedai makan di Medan Selera Tanjung, Samad Ali, 31, berkata, kejadian sekelip mata itu menyebabkan pelanggan dan pekerja yang menjamu selera di situ lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila bumbung kanopi runtuh.

"Mujur tiada kemalangan jiwa. Namun, ada pelanggan dan pekerja cedera ringan ketika masuk ke dapur untuk berlindung,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengarahkan semua rumah yang rosak akibat kejadian ribut malam kelmarin dibaiki segera.

"Saya mendapat laporan kira-kira 100 rumah di Kampung Seberang Takir rosak teruk selepas bumbung rumah berkenaan diterbangkan ribut," katanya selepas mesyuarat Exco, semalam.

Ahmad berkata antara daerah yang teruk terjejas akibat kejadian ribut itu ialah Kuala Terengganu, Besut dan Dungun.

"Jumlah kerugian belum diketahui dan kerajaan negeri masih menunggu laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia ketika dihubungi berkata, kejadian ribut itu bukan kesan daripada taufan Nesat yang melanda Filipina, sebaliknya disebabkan penumpuan angin yang menyebabkan berlaku pergolakan di kawasan terbabit.-BH



Berita sebelum ini
klik untuk baca


ribut terengganu




Tiada ulasan: