10 Ogo 2011

Mahathir Seperti Mengakui Dakwaan Bahawa PENAWAR Hendak Jatuhkan Najib

Petaling Jaya: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa ada usaha sedang dibuat untuk melemah dan menghancurkan Umno dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13.

“Kononnya saya di belakang gerakan untuk menaikkan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) mengganti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian dalam artikel bertajuk ‘Menghancurkan Umno’ di dalam blognya, chedet.cc/blog sebagai ulasan terhadap laporan FMT minggu lalu.

“Strategi pihak tertentu ini ialah dengan membuat tuduhan bahawa perjumpaan NGO ini sebenarnya bertujuan untuk menjatuhkan Najib, dan saya dan Muhyiddin adalah dalang yang bertanggungjawab.

“Tentulah Najib akan mempunyai syak wasangka terhadap kami berdua dan NGO berkenaan,” kata mantan perdana menteri itu merujuk kepada Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) yang dilaporkan mahu Najib meletak jawatan.

Kedudukan Najib tergugat

Menurut laporan tersebut, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Umno tergugat.

Sumber dalaman Umno mendakwa bahawa sokongan ahli parti diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan restu daripada Mahathir.

Mengulas lanjut laporan ini, Dr Mahathir berkata bahawa laporan tersebut akan melemahkan Umno dalam persediaan menghadapi PRU 13.

“Kesan dari laporan ini tentulah kecurigaan Najib terhadap timbalannya. Apabila Najib mempunyai sangkaan buruk terhadap Muhyiddin maka ahli-ahli UMNO pun akan berpecah dan memihak kepada Presiden atau Timbalan Presiden.

Dr Mahathir berkata dakwaan itu sekaligus menakutkan Penawar dan NGO lain kerana akan disyaki oleh Najib untuk menjatuhkannya.

“Mereka juga akan terdedah kepada tuduhan yang mereka adalah orang Mahathir dan Mahathir ingin menjatuhkan Najib,” katanya, menambah laporan sebegitu juga akan menyebabkan orang Melayu takut berpolitik.

Alasan yang diberi beliau: “Mereka akan terdedah kepada dakyah parti lawan yang memang pun ingin melihat mereka berpecah dan menjadi lebih lemah serta tidak dapat mempertahankan kepentingan orang Melayu sama sekali.

“Pergolakan akan berlaku secara serius dalam Umno dan ia akan menjadi lebih lemah untuk menghadapi PRU 13.”

Beliau secara sinis mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak berkenaan yang “begitu cekap mengguna psikologi untuk menghancurkan Umno dengan menimbulkan keraguan dan syak wasangka antara pemimpin-pemimpin Umno serta ahli-ahlinya sesama sendiri dan terhadap kepimpinan Umno sekarang. -FMT

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau Tun Mahathir mendakwa ada usaha sedang dibuat untuk melemah dan menghancurkan Umno dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13..... itu memang betul dan tepat.

Memang ramai orang termasuk ahli UMNO Baru menyimpan cita-cita untuk menghancurkan UMNO Baru ciptaan Tun Mahathir. Sama seperti mana Tun Mahathir cuba menghancurkan kerjaya politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kenapa nak mengeluh ?

Disebabkan UMNO Baru, pasukan polis hari ini sudah mejadi pasukan samseng yang bersikap zalim terhadap rakyat Malaysia.

Disebabkan UMNO Baru, peguam negara dah jadi raja dalam negeri. Menjadikan mahkamah Malaysia setaraf dengan mahkamah kanggaro.

Disebabkan pemimpin UMNO Baru menguasai kerajaan, semua projek pembangunan akan ada unsur rasuah, ketirisan, menjadikan harga projek melambung tinggi tapi hasil kerjanya tidak berkualiti.

Disebabkan pemimpin UMNO Baru jadi perdana menteri Malaysia, percakapannya tidak boleh dipercayai... selalu tipu rakyat, cakap tak serupa bikin.

Tun Mahathir tidak perlu mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak yang “begitu cekap mengguna psikologi untuk menghancurkan Umno kerana UMNO Baru memang perlu dihancurkan.

Tanpa Nama berkata...

Zaman saya sekolah semasa mantan PM ni perkenalkan Dasar Pandang Ketimur, saya sangat menghormati beliau, tetapi kini sebaliknya. Jika benar beliau sangat sayangkan negara kita Malaysia ini, saya menyeru beliau bersama-sama berganding bahu dengan barisan Pakatan Rakyat membentuk Malaysia yang lebih gemilang.