21 Ogo 2011

Kawasan Tol Senawang Makan Orang? Terbaru, Bayi Tercampak Keluar Dari Kereta

Seremban - Sepasang suami isteri meraung selepas melihat bayinya tidak lagi bernyawa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 252.8 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Plaza Tol Senawang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kereta jenis Toyota Camry dinaiki pasangan terbabit bersama bayi lelaki dan seorang lagi penumpang dalam perjalanan menuju ke utara, sebelum dikatakan terbabas akibat hujan lebat.

Dalam masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda turut terbabas ke tepi jalan dan merempuh kenderaan dinaiki keluarga berkenaan.

Akibat kemalangan itu, bayi berusia setahun itu yang dikenali sebagai Lin Isaac yang ketika itu dipercayai sedang dalam pangkuan ibunya, tercampak ke luar dan terhumban ke bawah kereta.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri dan pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku berikutan jalan licin akibat hujan lebat menyebabkan Toyota Camry dinaiki keluarga berkenaan terbabas.

Menurutnya, bayi berkenaan kemudian ditemui tersepit di bawah Toyota Camry dan sudah meninggal dunia.

“Bapa dan ibu mangsa serta seorang lagi penumpang dipercayai anggota keluarga pasangan berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, dua jentera bomba membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba Senawang dan Rembau tiba ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat mangsa.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri berkenaan mengelak daripada wartawan kerana masih terkejut dengan kejadian menimpanya dan ibu mangsa juga kelihatan meraung dan menangis ketika melihat bayinya yang sudah tidak bernyawa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari bawah kereta.

Mayat bayi kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat.

Ulasan GB

Berpuluh-puluh kejadian kemalangan berlaku di kawasan yang berdekatan dengan Tol Senawang.

GB cuba membuat carian di Google dengan menulis "kemalangan tol senawang", maka dipaparkan pautan kepada berpululoh-puloh laporan kemalangan, yang sebahagian besarnya kemalangan maut berlaku di jajaran 20KM-30KM di sepanjang Tol Senawang dan Tol Simpang Ampat.

Jangan lupa insiden pada tarikh 10.10.10 dimana seramai 12 orang maut dan lebih 40 lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di kawasan yang berhampiran di Kilometer 223.

Sebelumnya pada 27.09.10 lima sekeluarga menempuh detik ngeri apabila kereta dinaiki terbabas dan terbalik hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 254.5

Dan 6 sekeluarga, Pengarah Urusan Fadhilat Herb, Suhaimi Ghazali, isteri dan empat anak mereka disahkan rentung dalam kemalangan di Kilometer 252 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat Senawang pada bulan Februari 2010.

Pada 16.07.11, seorang wanita dan bayi lelakinya maut manakala suaminya cedera apabila lori yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Km252.9

Ia menunjukkan kawasan lebuhraya di sepanjang 20KM-30KM Tol Senawang adalah kawasan kemalangan maut.

Kita ingin tahu samada pihak Lebuhraya PLUS sudah membuat kajian terperinci mengenai keadaan lebuhraya di situ dan sebab-sebab terlalu banyak kemalangan maut berlaku di tempat yang hampir sama.

Kepada pemandu, berwaspadalah tatkala melalui kawasan berkenaan.

4 ulasan:

Admin berkata...

Salam GB,mungkinkah juga ada kaitan dengan sabotaj pihak tertentu untuk mengaut keuntungan dari kes kemalangan.Curah minyak hitam ke misalnya.

Tanpa Nama berkata...

salam..sy setiap pergi kerja bekerja dgn melalui tol senawang..dari pemerhatian sy,sy dapati susur masuk ke tol senawang mempunyai laluan yg sempit dan dinasihatkan supaya tidak memandu laju dilorong susur masuk itu krn jarak susur masuk dgn tol agak pendek dan tidak sesuai utk kelajuan tinggi..menukar arah dlm laluan sebegini akan mengundang risiko dimana keluasan lorong2 tol yg dibahagikan tidak selari dgn saiz lorong susur masuk..
Wallahualam..

Tanpa Nama berkata...

aku setuju ngan admin...kawasan diantara tol exit rawang sehingga exit bukit beruntung juga perlu diawasi...

Tanpa Nama berkata...

Lebuhraya tidak salah, para pemandu yang cuai. Kebanyakan kemalangan berlaku semasa kenderaan dipandu melebihi had laju dibenarkan. Kalau kawasan tu 90 km/j bawala dengan halaju tersebut. Kalau di kawasan 110km/j banyak kenderaan dipandu melebihinya bahkan kenderaan berat seperti bas yang mana had lajunya 90 km/j pun dipandu melebihi 110 km/j.

fikir-fikirla..