21 Ogo 2011

Keretakan Dalam UMNO Semakin Terdedah

Perkembangan terbaru dalam arena politik negara membuktikan bahawa adanya keretakan dalam pentadbiran Perdana Menteri, Najib Razak dakwa Pakatan Rakyat.

Kenyataan Najib yang menyatakan pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa sahaja membuktikan ada pergolakan dalaman yang gagal disembunyikan gagasan itu.

Malah ia disusuli oleh perkembangan semasa terdapatnya halangan atau bantahan daripada pimpinan di bawah Najib ke atas inisiatif perdana menteri itu yang membabitkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi pilihan raya.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Pakatan katanya yakin, Najib akan melakukan lebih banyak pembaharuan dalam PSC yang akan dilewatkan pelaksanaannya memandangkan beliau perlu mendapatkan sokongan terlebih dahulu dan berusaha mengatasi bantahan dalam pentadbirannya sendiri.

Portal The Malaysian Insider yang memetik Mohamad melaporkan, beliau percaya tindakan Najib yang dilihat berundur ke belakang daripada inisiatifnya, menunjukkan beliau sedang “membeli masa” agar Perdana Menteri keenam itu boleh mendapatkan sokongan kakitangan kerajaan dan pengundi atas pagar menjelang pilihan raya umum.

“Saya tidak fikir Najib dan BN serius untuk membawa pembaharuan,” kata beliau selepas melancarkan kempen antiharga barang naik, menggunakan nama Protes BN, di ibu negara semalam.

“Mereka hanya membuka injap untuk melepaskan tekanan tetapi tidak serius mengadakan pilihan raya bebas dan adil. Ya, mereka cuba beli masa,” katanya lagi merujuk kepada kesan perhimpunan Bersih di ibu negara pada 9 Julai lalu, yang diadakan untuk menuntut pembaharuan pilihan raya.

Kelmarin, Najib berkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Jawatankuasa PSC itu akan dibentuk Oktober ini.

Bagaimanapun kelmarin, Perdana Menteri memberitahu oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan diadakan terlebih dahulu.

“Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, tiada apa-apa kaitan dengan jawatankuasa pilihan khas parlimen. Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Namun menurut Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, tindakan Najib ini menyebabkan beberapa kumpulan dalam Umno tidak berpuas hati dengan pembaharuan Najib dan cuba mewujudkan kebangkitan ke atas kepimpinan beliau dan perikatan yang dipimpinnya.

Beliau menamakan pertubuhan bukan kerajaan seperti Penawar dan Amanah Merdeka yang diketuai oleh veteran-veteran Umno.

Oleh itu kata Mat Sabu, Najib cuba mendapatkan sokongan daripada tempat-tempat lain.

“Saya tidak fikir beliau cuba menyatukan sokongan veteran Umno tetapi membeli masa pegawai-pegawai kerajaan dan menjawab Buku Jingga (dikeluarkan Pakatan Rakyat),” kata beliau.

Sementara itu, ahli parlimen Ipoh Timur memberitahu, Najib kemungkinan cuba untuk mengadakan inisiatif baru susulan perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu tetapi gagal ekoran tentangan daripada Umno sendiri.

“Beliau tidak boleh keluar daripada bangkangan, kritikan jelas daripada pihak berpendirian keras seperti Muhyiddin,” kata Lim merujuk kepada timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selasa lalu, Muhyiddin menegaskan sistem pilihan raya semasa adalah adil dan telus, dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan.

“Mereka tidak boleh gembira dengan idea itu apabila mereka selama ini mempertahankan bahawa tidak ada apa-apa kekurangan dalam sistem semasa,” kata Kit Siang. -tvsnews




1 ulasan:

Awanama berkata...

najib nak buat PRU13 lepas raya, bimbang BERSIH 3 dilancarkan