22 Jul 2011

BERS✔H 2.0: SUHAKAM Minta Orang Awam Serah Bukti

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta orang awam menyerahkan bukti dan maklumat berhubung dakwaan, antaranya, penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak berkuasa sebelum dan semasa perhimpunan 9 Julai.

Ia ekoran keputusan suruhanjaya itu untuk mengadakan Siasatan Awam berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan tersebut.

Panel siasatan akan dipengerusikan oleh naib pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suhakam berkata orang awam yang menyaksi perbuatan atau insiden dakwaan tersebut, atau mereka yang boleh memberi maklumat, dokumen serta bukti, termasuk rakaman video/gambar, diminta menghubungi suuruhanjaya dengan segera.

Tarikh akhir untuk mereka berbuat demikian ialah 2 Ogos 2011. Untuk pertanyaan dan penyerahan awam, orang awam boleh menghubungi Ameer Izyanif Hamzah atau Encik Shahizad Sulaiman di Suhakam, Aras 13, Menara TH Perdana, 50250 Jalan Sultan Ismail - Tel: 03 2612 5669 /5623; Faks: 03 2612 5620 / 5694 dan Emel: complaints@suhakam.org.my / humanrights@suhakam.org.my

Menurut kenyataan itu lagi, terma rujukan siasatan awam itu adalah:

1. Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011;

2. Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan:

i. Bagaimana pelanggaran itu terjadi;

ii. Apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut;

iii. Individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.


3. Untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Menurutnya, suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Sapina pada masa yang sesuai kepada saksi-saksi yang berkaitan termasuk orang awam, media dan pihak polis.

"Kuasa ini adalah menurut seksyen 14 (1) (a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mendapat dan menerima segala keterangan, bertulis atau lisan, dan untuk memeriksa semua orang sebagai saksi sebagaimana yang Suruhanjaya merasa perlu atau patut diperoleh atau diperiksa," katanya. -mk

Ulasan GB

Alhamdulillah, gesaan GB semalam mendapat riaksi positif SUHAKAM hari ini. Di dalam ulasan semalam GB menyatakan:

Memang benar beberapa pendapat menyatakan mereka masih berfikiran kuno dan kolot. TG Nik Aziz menyifatkan ia era zaman pemerintahan purbakala.

Kebenaran tidak dapat ditutup dengan sergahan dan ugutan. Ini bukan zaman batu!

SUHAKAM, cepatlah sikit kerja. Bawa polis-polis ini ke muka pengadilan. Kesian rakyat, setelah dizalimi, diperbodohkan pula sedemkian rupa.


Malah sebelum perhimpunan BERSIH lagi GB sudah ulas meminta SUHAKAM pro-aktif di dalam mempertahankan hak rakyat. Petikan:


SUHAKAM perlu dihormati, kerana ia sebuah Suruhanjaya Bebas yang ahlinya dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Jika gesaan SUHAKAM itu tidak dipatuhi, jelas pihak polis dan Kerajaan tidak menghormati Yang Dipertuan Agong.

Dan jika perhimpunan BERSIH 2.0 dihalang juga, saya meminta pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM letak jawatan mereka sebagai protes kerana kehadiran mereka tidak dihormati oleh polis dan kerajaan yang ada.

Biar satu dunia tahu polis dan kerajaan BN tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberikan hak rakyat untuk berhimpun.


Tiada ulasan: