22 Jul 2011

BERS✔H 2.0: Najib Perkecilkan Kuasa Agong Yang Menitahkan Perundingan

Susulan perhimpunan Bersih 2.0 awal bulan ini, bekas duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia John R. Malott berkata, negara-negara demokrasi perlu menyokong usaha digerakkan rakyat menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bebas.

Dalam tulisan terbaru mengenai kesan dan implikasi perhimpunan Bersih 2.0, Malott berkata, Malaysia sebenarnya bukan sebuah negara demokrasi sepenuhnya.

Kerajaan Malaysia kemungkinan berpandangan sebaliknya, tetapi bukti-bukti amat memihak kepada pihak Bersih. Malaysia bukan negara demokrasi sepenuhnya, malah pilihan rayanya juga bukan sesuatu yang bebas atau adil. Rakyat Malaysia sudah mula bangkit ke arah itu,” kata Malott dalam tulisan terbaru dalam Asia Pacific Bulletin (APB), siri terbitan East-West Center.

Sehubungan itu kata Malott, negara-negara demokrasi dunia “perlu berdiri di pihak yang betul berhubung masa depan Malaysia.”

“Amerika Syarikat mempunyai banyak kepentingan di Malaysia, salah satunya ialah membantu memperkukuhkan demokrasi dan keluhuran undang-undang
,” kata beliau.

Malott yang berkhidmat sebagai duta ke Malaysia antara 1995 dan 1998 berkata kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah mengecam respons dingin kerajaan Amerika Syarikat berhubung perhimpunan 9 Julai.

“Ini adalah detik bagi Amerika Syarikat, yang menamakan pemimpin Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan sebagai Wanita Antarabangsa Berani pada tahun 2009, memperlihatkan keberanian yang sama dan melakukan perubahan dalam kehidupan sebuah negara,” tulis beliau lagi.

Sehari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, Malott mendakwa pentadbiran Najib telah memperlekehkan rakyat yang menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bebas dengan menggunakan segala kuasa untuk mengetepikan hak mereka termasuk angkatan tentera.

Dalam rencana disiarkan menerusi Wall Street Journal, di bawah judul “Running Scared in Malaysia”, Malott mengecam kerajaan Malaysia dengan berkata pentadbiran Najib menggunakan segala ruang yang ada untuk mengelakkan perhimpunan bangkangan.

Malott berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memperkecilkan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang pada 5 Julai lalu telah perkenaan menerima pertemuan kepimpinan Bersih 2.0 dan “meminta agar diadakan penyelesaian menerusi perundingan” umtuk menyelesaikan isu semasa.

Pandangan Malott ini dilihat akan membawa kesan ke atas hubungan Malaysia dan pelaburan di peringkat antarabangsa.

Bekas duta itu juga menggariskan keputusan campur tangan Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan meminta kedua-dua Najib dan Bersih 2.0 mengadakan perundingan bagi menyelesaikan isu yang timbul sekarang.

Malott berkata, tindakan seumpama itu tidak pernah wujud dan diambil oleh mana-mana Agong di negara ini
.

Dalam tulisan terbaru Malott berkata, tekanan Najib dan pentadbirannya telah menarik kecaman antarabangsa dan mengebumikan gambaran sejak dua tahun lalu bahawa beliau seorang “pemimpin yang moden, berfikiran liberal.”

“Lebih penting lagi dan menjadi lebih bimbang kepada Najib dan Umno ialah kebangkitan satu generasi baru rakyat Malaysia,” kata Malott dan menambah, akan diketahui dalam waktu terdekat sama ada gerakan menuntut pembaharuan pilihan raya dan usaha mewujudkan demokrasi tulen di Malaysia akan berkekalan.

“Jika begitu, maka 9 Julai akan diperingati sebagai titik tolak kepada sejarah Malaysia,” katanya lagi.

Malott juga menulis mengapa sebuah kerajaan terlalu bimbang unyuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil.

“Sebagaimana penyandang jawatan sebelumnya, Najib (juga) mendakwa demonstrasi akan membawa kepada keadaan huru-hara, meskipun hak untuk berhimpun dijamin oleh Perlembagaan negara dan ia perkara biasa dalam mana-mana demokrasi yang tulen,” katanya lagi dengan merujuk kepada pandangan diutarakan oleh Najib di London baru-baru ini. -TMI

Tiada ulasan: