18 Jun 2011

Puting Beliung Melanda Mersing, Sampan Berpusing Di Udara

Mersing – Puluhan sampan mengalami kerosakan dalam satu kejadian angin puting beliung yang berlaku kira-kira lima minit di pesisiran pantai Mersing berhampiran Pulau Setindan, Teluk Buih, Kampung Air Papan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 itu.

Seorang saksi, Sharifah Aini Mohd Zin, 34, berkata, ketika puting beliung itu berlaku, dia berada di jeti Teluk Buih dan melihat angin puting beliung itu bermula daru Pulau Setindan menghala ke arah jeti dia berdiri.

"Melihat angin puting beliung itu menuju ke jeti, saya bergegas lari ke darat untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui semalam.

Seorang pemilik sampan, Mohd Rashid Terang, 47, berkata, peristiwa itu adalah kali pertama dialami dan dilihatnya sepanjang dia menjadi nelayan.

“Saya terkejut apabila melihat salah satu dari puluhan sampan berputar-putar naik ke udara, sebelum jatuh menghempap jeti Teluk Buih. saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri," katanya.

Mohd Asri Jaafar, 55, memberitahu, dia bersama beberapa nelayan dalam menyediakan persiapan untuk turun ke laut pada keesokan harinya.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian angin puting beliung dalam sekelip mata menyebabkan kerugian kerana bot rosak.

"Angin puting beliung datang terlalu cepat sehingga menyebabkan bumbung kedai makan di jeti saya turut rosak.

"Suasana ketika itu memang kelam-kabut dan saya hanya berserah kepada Allah,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, kejadian angin puting beliung itu adalah pertama kali berlaku di kawasan terbabit yang menggemparkan penduduk berhampiran. -SH


Mimpi ngeri dua kampung

MERSING - Keasyikan berehat di waktu petang menjadi igauan ngeri bagi penduduk dua kampung di sini, apabila rumah yang didiami rosak di pukul ribut kira-kira jam 3.45 petang kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, lebih 30 rumah di Kampung Pengkalan Batu dan Kampung Bahagia terlibat, namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang dilaporkan.

Salah seorang mangsa dari Kampung Pengkalan Batu yang juga pemilik bengkel lori di situ, Hamdan Jarakasi, 45, berkata, bengkel lori miliknya runtuh disebabkan angin kencang yang terlalu kuat ketika kejadian.

“Ketika kejadian tersebut, saya tidak berada di bengkel. Saya hanya mengetahui bengkel runtuh apabila seorang penduduk memberitahu selepas keadaan kembali reda.

“Ini kejadian pertama sejak saya membuka bengkel di sini. Alhamdulillah, walaupun bengkel roboh, namun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Setakat ini, saya masih belum mengetahui jumlah kerugian yang dialami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku petang kelmarin, ribut yang berlaku kira-kira 20 minit tersebut merosakkan 30 rumah di dua kawasan terbabit dan enam daripadanya rosak teruk akibat dihempap pokok besar yang tumbang.

Seorang lagi mangsa, Ismail Awang ,73, berkata, ketika kejadian tersebut berlaku, dia bersama ahli keluarganya sedang berehat di rumah.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu akan memusnahkan hampir keseluruhan bahagian bumbung rumahnya.

“Semasa kejadian tersebut, angin sangat kuat dan ditambah pula dengan hujan lebat. Pada mulanya, saya hanya menyangka hujan seperti biasa sahaja. Tetapi ia berubah apabila angin kencang tiba-tiba datang dan terus menerbangkan bumbung rumah.

“Suasana ketika itu memang kelam-kabut. Saya dan keluarga hanya mampu berserah serta berharap tiada kejadian yang lebih buruk berlaku. Syukur tiada kecederaan yang menimpa keluarga dan hanya perkakas rumah sahaja yang rosak,” katanya. -SH


7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tanda PAS nak kuasai Johor PRU13? wallahhualam

aQi + GenGkey berkata...

@Anonymous
apa kaitan dgn PAS pulak ni..

Tanpa Nama berkata...

Apa laa, hang ni itu pun komen ikut politik, hang kartun betul la.....

Tanpa Nama berkata...

anon 7:03 x salah. itu pandangan dia.

misalnya tsunami yg berlaku melanda kedah dan pulau pinang pd 2007.

alih-alih benar-benar berlaku tsunami politik melanda kedua-dua negeri tersebut, terkangkang BN.

PutraRocker berkata...

gelombang besar bakal melanda johor..wakakak

Tanpa Nama berkata...

UMNO/BN akan terkangkang di seluruh dunia... tsunami besar..

PutraRocker berkata...

#thisisbestbro!