30 Jun 2011

Penasihat FOMCA Penipu, FOMCA Sokong Himpunan Aman BERSIH Seperti Pendirian SUHAKAM

Bersih 2.0: Fomca kesal kenyataan penasihatnya

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh penasihatnya, Chua Kim Tee mengenai himpunan aman Bersih 2.0.

Kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Chua Kim Tee kerana ia bukanlah kenyataan rasmi Fomca, sebaliknya hanyalah kenyataan peribadinya sahaja.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman (gambar) menegaskan, Fomca adalah sebuah badan yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan Negara, tetapi kenyataan Chua ternyata telah menimbulkan imej negatif kepada pertubuhan itu.

Menurut beliau, sebagai badan yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan, kenyataan Chua pasti tidak dipersetujui oleh Fomca kerana Fomca sendiri adalah badan yang berkecuali dengan sebarang pertubuhan politik.

Katanya, Fomca seperti yang diketahui umum adalah badan yang hanya mempunyai kepentingan dengan isu-isu pengguna sahaja dan tanpa memihak kepada sebarang parti-parti politik.

"Namun kenyataan Chua Kim Tee telah menyebabkan orang ramai keliru dengan Fomca yang seolah-oleh seperti Fomca telah memihak kepada parti tertentu, pada hal ia hanyalah kenyataan peribadinya sahaja.

"Sesuai dengan kedudukan Fomca sebagai badan yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan, Fomca menyokong penuh kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baru-baru yang menggesa kerajaan membenarkan sebarang perhimpunan aman termasuk Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Semalam, Malaysiakini atas tajuk 'Fomca Mahu Bersih 2.0 Disekat' melaporkan, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), tidak rela perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara berikutan ia bakal mengundang bala petaka buat golongan peniaga.

Penasihat Fomca, Chua Kim Tee berkata, banyak yang akan menerima kesan kerana selain boleh menyebabkan kerugian kepada peniaga, orang ramai di kawasan berhampiran juga terpaksa hidup di dalam kebimbangan.

Justeru, katanya, tindakan tegas wajar diambil kerajaan bagi menyekat penganjuran perhimpunan Bersih yang dirancang pada 9 Julai depan.

Menurut Chua, pihak terbabit sepatutnya menggunakan saluran lain untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, termasuk di dalam Parlimen.

Menurut Mohd Yusof, oleh itu, orang ramai diharap tidak tersalah anggap dengan Fomca berhubung dengan kenyataan Chua yang disiarkan oleh Malaysiakini itu kerana ia tidak sekali-kali membayangkan pendirian rasmi Fomca.

"Sejak dulu, Fomca sudah dilihat oleh orang ramai sebagai badan yang hanya mempunyai kepentingan dengan isu-su pengguna sahaja, tetapi tidak dalam politik.

"Jika dalam politik, kenyataan yang disokong oleh Fomca hanyalah yang dikeluarkan oleh Suhakam sahaja kerana itulah kenyataan yang selaras dengan pendirian Fomca sejak ditubuhkan dulu yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan.

"Sokongan Fomca ke atas kenyataan Suhakam itu kerana perhimpunan yang akan diadakan oleh Bersih pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti adalah perhimpunan aman
.

"Jika perhimpunan aman, ia tidak patut disekat oleh kerajaan kerana ia selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan orang ramai mengadakan sebarang perhimpunan aman tanpa senjata bagi menyuarakan pandangan, pendapat untuk kebaikan negara," tegas beliau. -HD


Fomca mahu BERSIH 2.0 disekat

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), tidak rela perhimpunan BERSIH2.0 diadakan di ibu negara berikutan ia bakal mengundang bala petaka buat golongan peniaga.

Penasihat Fomca, Chua Kim Tee berkata, banyak yang akan menerima kesan kerana selain boleh menyebabkan kerugian kepada peniaga, orang ramai di kawasan berhampiran juga terpaksa hidup di dalam kebimbangan.

Justeru, katanya, tindakan tegas wajar diambil kerajaan bagi menyekat penganjuran perhimpunan Bersih yang dirancang pada 9 Julai depan.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan BERSIH 2.0 kerana ia boleh menimbulkan ketegangan sekiranya tidak dikekang dari awal.

"Perhimpunan ini akan menyebabkan kesan buruk kepada peniaga di kawasan terbabit. Walaupun penganjur ada menegaskan perhimpunan berkenaan adalah aman, namun ia boleh menjadi luar kawalan, terutama apabila ramai menyertainya," katanya.

Golongan pemimpin, tegasnya patut lebih bertanggungjawab terhadap kesan buruk tersebut dan tindakan menghasut orang ramai supaya menyertai perhimpunan itu suatu yang tidak wajar.

"Pemimpin patut tahu dan sedar bahawa mereka tidak sepatutnya menghasut orang ramai menyertai perhimpunan seperti ini. Apa jua perhimpunan, kalau diadakan di jalanan, bukanlah suatu yang baik.

"Sebab itu saya berharap kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab supaya perhimpunan ini tidak diadakan," katanya.

Menurut Chua, pihak terbabit sepatutnya menggunakan saluran lain untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, termasuk di dalam Parlimen.

Katanya, apa jua permasalahan tidak sepatutnya di bawah ke jalanan dan lebih teruk lagi, menggalakkan rakyat menyertainya.

"Apabila sesuatu berlaku, rakyat sendiri yang akan susah kerana pemimpin ini tentu akan hilang entah ke mana. Ini sudah banyak kali kita saksikan di mana-mana," katanya. -mk


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ha,kan da kantoi sebijik tuh.menipu beragak la der

Ninja Glock,Dari Casing Handset Jadi Pistol Sebenar!!