3 Jun 2011

Kalah Menang Tetap Setia Pada Parti

Pemilihan PAS yang diadakan ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 memperlihatkan keutuhan parti berusia 60 tahun itu.

Malah PAS kini boleh berbangga dengan kematangan politik dan kesetiaan ahlinya dalam menjayakan demokrasi dan mendapat tempat di hati rakyat negara ini.

Calon Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dilihat tenang dan bersahaja ketika menyatakan situasi itu kepada TV Selangor hari ini.

"Ini tunjukkan kesepaduan yang ada dalam PAS. Walaupun ada pertandingan semua bersatu padu.

"Pertandingan paling hangat ialah Timbalan Presiden. Tapi saya juga menang ikut pemilihan... perbezaan pendapat di kalangan ahli adalah untuk kebaikan kerana semua berlumba-lumba untuk beri sumbangan kepada parti," kata beliau.

Seorang lagi calon jawatan tersebut Mohamad Sabu menyatakan betapa ini merupakan keistimewaan PAS yang jarang dilihat pada parti lain.

Beliau turut menyatakan bahawa PAS yang mengamalkan keterbukaan dalam pemilihan calon pilihan raya mengelakkan ahli mereka dari cuba melobi dengan cara yang tidak sihat untuk menang.

"Calon pilihan raya tak semestinya yang menang. Kalau rasanya boleh menang di suatu kawasan, ahli baru pun boleh bertanding. Sebaliknya walaupun jika seseorang itu Ahli Jawatankuasa Pusat, jika tempat tidak sesuai, beliau tidak dibenarkan bertanding," kata beliau.

Calon Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan betapa ahli parti itu jauh lebih matang dalam politik berbanding BN.

"Ini buktikan PAS ada kematangan. Soal pemilihan mesti diteruskan, Muktamar mesti diteruskan, pilihan raya mesti bersedia.

"PAS tidak takut berhadapan risiko seperti Umno dan parti BN lain. Setiap mereka yang bertanding, menang atau kalah tetap setia kepada parti," kata Mahfuz.

Hal ini turut dikagumi oleh mereka yang baru menyertai dan mengenali PAS dengan lebih mendalam.

Bekas pelawak Bob Lokman ketika ditemui TV Selangor menyatakan beliau melihat Muktamar PAS ibarat pertemuan keluarga yang besar.

"Banyak perhimpunan yang saya sertai tapi perhimpunan PAS paling 'cool'. Semua berpegang pada satu perkara. Walaupun ada pertandingan. Kita nampak semua bersatu, macam dalam keluarga yang besar," ulas beliau yang pertama kali menghadiri Muktamar PAS selepas menyertai parti itu beberapa bulan lalu. -tvsnews


Pemilihan PAS: Keputusan Diketahui 10 Pagi Sabtu

KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi pemilihan jawatan bagi pucuk pimpinan PAS pusat hanya akan diketahui pada pukul 10 pagi esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Datuk Abdul Halim Rahman.

Dalam taklimatnya kepada para pemberita, beliau berkata pemilihan akan dilakukan bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota jawatankuasa kerja PAS pusat bagi sesi 2011-2013.

Bagi jawatan Presiden, penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding bagi penggal kelima berturut-turut.

Abdul Halim berkata, proses pengundian yang berlangsung dari pukul 4 petang hingga 7 petang ini, melibatkan 1,077 perwakilan yang berdaftar dan layak mengundi.

Beliau berkata, buat julung kalinya juga, proses penjumlahan undi akan dicatat dalam borang 14 seperti yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita telus (dalam pemilihan kali ini). Pemerhati dan wakil calon bagi Timbalan Presiden dan Naib Presiden akan hadir masa pengiraan dan penjumlahan undi dicatat dalam borang 14 macam SPR, dan ditandatangani pemerhati calon yang hadir," katanya.

Abdul Halim berkata, mengikut Fasal 18(2) perlembagaan parti, anggota muktamar yang layak mengundi terdiri daripada pengerusi dan timbalan pengerusi tetap (2), anggota majlis syura, anggota jawatankuasa PAS Pusat dan Pesuruhjaya Negeri (52), wakil daripada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat (masing-masing 20) dan Yang Dipertua Dewan kawasan yang dilantik semasa mesyuarat agung (963).

"Semua perwakilan yang layak mengundi diminta menunjukkan kad perwakilan muktamar yang ada foto mereka di kad itu sebagai bukti kelayakan mengundi di meja pendaftaran.

"Kita juga telah pamerkan nama-nama calon lebih kurang seminggu yang lalu sejak 26 haribulan (Mei) dan harap tidak lagi ada yang tercari-cari nama dan nombor calon. Kita amat berharap proses pemilihan kali ini berjalan lancar," katanya.

Jawatan Timbalan Presiden akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan anggota jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu.

Tiga jawatan Naib Presiden pula membabitkan exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah; Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad; dua Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; serta pemimpin PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sebanyak 53 calon pula telah mengesahkan bertanding bagi merebut 18 jawatan anggota jawatankuasa PAS pusat.-mstar





2 ulasan:

steadu berkata...

PKR tak jealous ke? :)

zuraimi berkata...

steadu...

fahamilah... soalan dari seorang manusia itu memperlihatkan wajah didalm dirinyer yg sebenar..