3 Jun 2011

[Video] Umno Bebalkan Rakyat Islam, Kotorkan Politik Negara

Dalam ucapan yang dianggap paling keras terhadap Umno, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan parti pemerintah itu sebagai pengotor politik negara menerusi amalan rasuah, fitnah, pembohongan dan perkauman sempit.

Penegasan beliau sekaligus menzahirkan bahawa parti Islam itu tidak “termakan” dengan pelawaan-pelawaan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mendedahkan Umno menawarkan tiga jawatan Menteri jika PAS setuju meninggalkan Pakatan Rakyat dan bersama Umno.

Namun, ucapan Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar PAS di Kuala Lumpur pagi tadi menyerlahkan pemikiran PAS mengenai pemimpin-pemimpin Umno yang membuat cadangan itu.

“Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam, tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana (mereka) dijangkiti keruntuhan moral, rasuah dan menyalah guna kuasa sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya,” kata Hadi.

“Politik seperti ini perlu dimurnikan dan sudah tentu Umno-Barisan Nasional akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri,” tambah beliau.

Hadi berkata kemurnian politik negara dicemari dengan tindakan jijik menerusi pelbagai angkara dan perkara kotor sehingga memalukan anak-anak yang menjadi penonton kepada perlakuan sedemikian.

Ahli parlimen Marang itu kesal kerana amanah besar yang diberikan kepada Umno untuk mengisi kemerdekaan negara sebaliknya digunakan sebagai peluang kebendaan untuk menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat.

“Akhirnya harta negara menjadi milik peribadi pemimpin mereka (Umno), meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” tambah beliau.

Hadi berkata cita-cita untuk membina sebuah Malaysia yang sejahtera dan aman digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang mengaut khazanah negara dan membelakangkan falsafah dan tuntutan Islam.

“Hakikatnya Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan meperbodohkan mereka,” kata beliau.

Justeru Hadi berkata adalah tanggungjawab PAS untuk terus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam.

Langkah sedemikian akan membebaskan ummah “daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah,” jelas beliau.



1 ulasan:

ketuanancukong berkata...

sokong 1000000000%%%%%%%%%%%% umno terlalu kotor dengan najis mana mungkin boleh bersatu..khianat dan fitnah amalan pemimin mereka....pergi jahanam dengan umno...