22 Jun 2011

Hospital Buang Jari Dalam Mangkuk Tandas, Remaja Dapat Ganti Rugi RM27,500

Alor Setar: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM27,500 terhadap seorang pelajar tingkatan tiga di atas kecuaian anggota jabatan itu menjalankan tugas sehingga menyebabkan sebahagian jari telunjuk kiri remaja itu yang terputus gagal disambung semula, empat tahun lalu.

Muhammad Shaeidil Amir, 15, yang masih di bawah umur ketika kejadian, diwakili ibunya Zuraiza Omar, 39, memfailkan tuntutan saman pada Mac tahun lalu dengan menamakan Ketua Pengarah JPAM sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Hakim Maznah Abdul Aziz memerintahkan JPAM dan Kerajaan Malaysia membayar RM25,000 sebagai gantirugi am dan khas di atas kecuaian berkenaan dan RM2,500 kos prosiding terhadap Muhammad Shaeidil yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, Pendang.

Keputusan penghakiman itu dipersetujui Peguam Persekutuan, Adliana Nujumudin yang mewakili JPAM dan Kerajaan Malaysia. Muhammad Shaeidil diwakili Simon Murali.

Mengikut fakta kes, pada 2 November 2007 plaintif mengalami kecederaan apabila sebahagian jari telunjuk kirinya terputus ketika dia memotong kelapa menggunakan parang di rumahnya di Kampung Batu Menunggul, Air Putih, dekat Pendang.

Plaintif kemudian dibawa ibunya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, bersama-sama dengan sebahagian jari telunjuk yang terputus itu yang diletakkan dalam plastik berisi ais bertujuan untuk disambungkan semula.

Namun, bekas plastik berkenaan yang diberikan kepada seorang anggota JPAM yang bertugas di unit kecemasan HSB yang kemudian bertindak membuang sebahagian jari itu ke dalam mangkuk tandas menyebabkan doktor gagal menyambung semula jari berkenaan. -BH


Berita Berkaitan, Harian Metro November 4, 2007
Buang jari dalam tandas

SUNGAI PETANI: Seorang ibu kesal dengan tindakan kakitangan Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Star yang didakwanya membuang hujung jari telunjuk tangan kiri anaknya yang terputus ke dalam mangkuk tandas, kelmarin.

Zuraiza Omar, 35, berkata kira-kira jam 11 pagi dia membawa anaknya Muhamad Shaeidil Amir, 11, ke jabatan itu untuk menyambung semula jari telunjuk yang putus akibat terkena parang ketika mengopek kelapa di rumah.

Zuraiza Omar, 35, dari Kampung Batu Menunggul, Air Putih, Pendang, di sini, berkata sebaik tiba di jabatan itu, beberapa kakitangan merawat kecederaan jari anaknya, tetapi seorang daripada mereka meminta untuk melihat bahagian yang terputus.

Katanya, dia kemudian menyerahkan hujung jari yang disimpan dalam bekas plastik berisi ais.

“Kakitangan itu mengambil jari berkenaan dan mendakwa ia tidak boleh disambung lagi. Dia kemudian membawa hujung jari itu keluar dari bilik rawatan tanpa disedari rakannya yang merawat jari anak saya.

“Selepas kakitangan itu masuk semula tidak lama selepas itu, rakannya meminta hujung jari yang terputus itu, tapi dia memberitahu ia dibuang ke dalam mangkuk tandas.

“Rakan kakitangan itu terkejut dengan tindakan lelaki terbabit kerana dia tidak merujuk kes berkenaan kepada doktor bertugas,” katanya ketika ditemui di Taman Delima, di sini, semalam.

Zuraiza berkata, dia kemudian bertanya mengenai tindakan kakitangan itu, tetapi lelaki terbabit hanya menjawab hujung jari berkenaan dibuang kerana tidak boleh digunakan lagi.

“Anak saya kemudian dibawa berjumpa doktor dan saya memberitahunya hujung jari anak saya yang terputus itu dibuang ke dalam mangkuk tandas oleh seorang kakitangannya.

“Biarpun terkejut dengan jawapan saya, doktor terbabit hanya memberitahu dia tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyambung semula jari anaknya kerana hujung jari yang putus itu sudah tiada.

“Saya kecewa dengan tindakan kakitangan itu dan hairan mengapa dia mengambil keputusan sendiri tanpa merujuk kepada doktor. Apakah kakitangan kecemasan boleh membuat keputusan tanpa merujuk kepada doktor?” katanya.

Menurut Zuraiza, dia boleh menerima hakikat jika hujung jari yang terputus itu tidak dapat disambung kembali, tetapi kakitangan itu sepatutnya memulangkan semula bahagian berkenaan, bukan dibuang ke dalam mangkuk tandas.

Disebabkan tidak puas hati dengan tindakan kakitangan itu, Zuraiza membuat laporan di Balai Polis Kota Star.


Tiada ulasan: