7 Mei 2011

Kristian Agama Rasmi, Utusan Penyebar Fitnah Blogger UMNO

Blog Anwar: Utusan Melampau, pendirian Pakatan Islam tetap agama rasmi

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Pakatan Rakyat (PR) tetap berpendirian Islam akan kekal sebagai agama rasmi negara ini dan oleh itu tidak timbul soal perikatan tersebut akan mengambil langkah mengubah statusnya jika menawan Putrajaya, kata blog Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Pandangan itu juga mendakwa laporan Utusan Malaysia bersifat melampau dan mengelirukan rakyat memandangkan status Islam sebagai agama rasmi sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini di bawah tajuk “Kristian agama rasmi?”

Laporan itu juga memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister, George Town sebagai tetamu.

Akhbar milik Umno itu mendakwa majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog.

Nota pentadbir dalam blog rasmi Anwar (gambar), Ketua Umum PR itu berkata, Utusan Malaysia sekali lagi bertindak melampaui batas dan kini telah menghempas tanggungjawab selaku pengamal media demi tunduknya mereka kepada adikuasa.

“Amat malang bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan apabila saban hari disogok dengan berita fitnah dan hasutan,” katanya.

Tulisan itu menambah, isu agama rasmi bagi Malaysia menjadi sasaran terbaru “aparat pemerintah manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat.”

“Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan,” katanya.

Entri itu turut menyiarkan kenyataan rasmi tiga pemimpin kanan PR yang ditandatangani bersama pada 8 September 2008.

Kenyataan tiga tahun lalu itu, antara lain menyebut, “kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.”

“Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan,” katanya lagi.

Ia juga menggariskan, berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini “kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar Umno-BN.” “Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” kata kenyataan tersebut.

Entri blog Anwar hari ini menambah, jelaslah bahawa Utusan Malaysia tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, sbealiknya ia hanya layak menyandang gelaran ‘tabloid Umno’ sesuai dengan kenyataan bahawa parti tersebut merupakan pemegang saham sekali gus merupakan majikan mereka.

“Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan oleh para pejuang pembebasan tanah air dahulu telah dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini,” katanya lagi. -TMI


M'sia negara Kristian? Utusan bakar 1Malaysia

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berang dengan laporan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dengan tajuk utamanya 'Malaysia Negara Kristian?'

Katanya, dengan hanya berdasarkan pendedahan dua blog blog pro-Umno, Utusan sanggup “membakar 1Malaysia” dengan mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

"Utusan mahu membakar 1Malaysia... ini amat jahat dan elemen bahaya ini sedang berlaku di negara kita sekarang,” kata Lim pada sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.

"Saya telah minta pemimpin parti saya membuat laporan polis mengenai perkara itu. Bagaimana finah dan penipuan boleh dijadikan tajuk utama sebuah akhbar?”

Lim, yang juga adalah setiausaha agung DAP mengulas laporan di dua blog dan dipetik oleh Utusan yang mendakwa pemimpin parti itu bekerjasama dengan paderi-paderi seluruh negara yang berikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan.

Selain itu, penulis blog Bigdog menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku juga melaporkan paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik dari kalangan penganut agama itu

Nama ahli parlimen Jelutong Jeff Ooi juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Utusan Malaysia pada halaman cetaknya hari ini bukan sahaja menyemak kesahihan berita tersebut sebaliknya mengapi-apikan perkara itu dengan melaporkan “selain menjamu selera (Jeff Ooi) turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.”

Penulis blog Bigdog.com, adalah pengkritik lantang mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi penyokong taksub Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam laporannya itu juga disiarkan sekeping gambar yang kononnya menunjukkan seramai 35 orang paderi tersebut dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Utusan yang memetik blog itu melaporkan "Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi."

Manakala blog Marahku, pula memilih tajuk 'Kedudukan agong terancam? DAP mahu jadikan Kristian agama rasmi? Menurut penulisnya parti berkenaan akan cuba meminda perlembagaan persekutuan bagi membolehkan mereka yang bearagama Kristian menjadi perdana menteri.

Menurut Lim tidak ada sesiapa yang akan mempercayai dakwaan yang dibuat oleh penulis blog berkenaan kerana DAP tidak pernah terlintas untuk mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Tambahnya lagi, DAP juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa agama rasmi Malaysia iaitu Islam ditukar kepada Buddha, Kristian, Hindhu ataupun mana-mana agama lain.

“Ini permainan politik orang yang terdesak,” kata Lim sambil menambah, “dalam usaha memancing undi mereka sanggup melakukan apa sahaja”.

Sementara itu, penganjur mesyuarat tersebut, National Evangelical Christian Fellowship, bersama rakan-rakannya yang lain, Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship, juga menafikan dakwaan berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang semalam, pertubuhan itu menganggap tulisan tersebut sebagai “tidak berasas dan tidak bertanggungjawab serta bertujuan memecah-belahkan dan menimbulkan huru-hara di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.”

Mereka juga menganggap tulisan berkenaan berbaur fitnah.

Menurut kumpulan itu, mesyuarat dan seminar yang diadakan itu bagi membincangkan isu rasuah dan sumbangan masyarakat Kristian bagi memeranginya.

"Ia tidak ada kena mengena dengan politik atau menukar agama rasmi negara,” kata mereka. -mk



Malaysia negara Kristian?

PULAU PINANG 6 Mei - Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu.

Majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog hari ini iaitu 'bigdog' di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com.

Jeff yang ditanya mengenai ikrar itu mendakwa, ketika majlis berlangsung, beliau sibuk 'melayan' iPad selain menjamu selera walaupun turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.

"Bukankah berdoa itu suruhan tuhan. Apa yang saya tahu, 'bigdog' (penulis blog) tidak sebut nama saya, dia tidak tuduh saya. Kalau mahu tahu lebih lanjut, sila tanya polis Cawangan Khas dan dengar rakaman yang dibuat mereka,"
katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, majlis makan malam yang dihadiri lebih 100 paderi Kristian itu diadakan di sebuah hotel di sini semalam yang kemudiannya disusuli dengan beberapa konvensyen hari ini.

Malam ini pula akan diadakan satu majlis di Pusat Kristian (Katolik) Pulau Pinang di sini dan satu ceramah perdana pula dianjurkan esok. Pertemuan itu dikatakan dianjurkan setiap tahun.

Dalam majlis makan malam itu, seramai 35 orang paderi dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mahu Perdana Menteri juga dalam kalangan penganut agama itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di hotel yang terletak di Jalan Burmah mendapati persidangan sehari itu yang bermula pukul 8.30 pagi berlangsung di Bilik 2 dan 3, tingkat 7 hotel itu.

Kira-kira 10 meja dan kerusi disusun di luar bilik persidangan yang dikatakan diadakan setiap tahun dengan beberapa rahib dilihat berbual-bual sebelum masing-masing masuk ke dalam bilik persidangan.

Kenyataan Jeff itu bagaimanapun berbeza dengan laporan blog 'bigdog' yang mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti.

"Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi," dakwa blog berkenaan.

Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti.

"Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya," dakwa blog itu.-um




Ulasan GB

Apabila isu video seks dan gagasan 1Melayu, 1Bumi yang diwarwarkan oleh Utusan Malaysia gagal untuk mendapat sokongan pemimpin dan ahli UMNO sendiri, kini Utusan tampil dengan fitnah baru: Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Seperti biasa, fitnah dan kenyataan-kenyataan hasutan ini dibiarkan saja oleh pihak Keselamatan Dalam Negeri dimana sudah sepatutnya blogger berkenaan, wartawan dan editor Utusan tersebut diISAkan.

Justeru itu, kita desak supaya 2 blogger berkenaan dan wartawan serta editorny perlu ditahan dan disiasat setidak-tidaknya di bawah Akta Hasutan.

4 ulasan:

anti-zul noording alghuyub berkata...

utusan meloya, tv3/4,shafie afdal, hishamudin auwww,Brahim "oinkkk" perkasa semua satu kapal yg nak tenggelam.....statement bodoh nak perbodohkan rakyat....sapa berani nak tukar agama rasmi Malaysia??yg 2 blogger tu pun pun bodoh piangggg..sama macam zul noording

Tanpa Nama berkata...

gue pun tak heran klu berita tu dijaja oleh utusan meloya.. tu keputusan no ekor ada lagi ke?

Tanpa Nama berkata...

utusan syaitan?

Tanpa Nama berkata...

utusan, keputusan magnum empat angka melambangkan utusan adalah anti islam dengan membudayakan orang melayu dengan perjudian dan meletakkan dimuka depan dengan hiasan kemelayuan dan bedak islam oleh itu memang patut utusan ini dihukumkan haram membacanya.