7 Mei 2011

Jururawat Rentung Selepas Selamatkan 3 Anaknya

Wanita rentung selepas selamatkan tiga anak

KUALA KRAI: Sehari menjelang sambutan Hari Ibu, seorang ibu berkorban nyawa bagi menyelamatkan tiga anaknya daripada api yang marak membakar rumah mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, tengah hari semalam.

Sebelum ditemui rentung, Rafidah Ismail, 36, terpaksa membengkokkan besi tingkap rumah untuk mengeluarkan anakanaknya bagi disambut jiran.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, tiga anaknya, Rashidah Iliana Zamri, 7; Zaim Shahrul, 6; dan Zaim Iqbal, 2, selamat, bagaimanapun Rafidah terperangkap di dalam rumah dipercayai gagal membuka jeriji pintu.

Mayat mangsa yang berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai ditemui dekat pintu utama rumah berkenaan.

Namun bagi bapa mangsa, Ismail Husin, 63, yang masih terkejut dengan kejadian itu, jeritan meminta tolong anak sulungnya akan menghantuinya sepanjang hayat.

“Masih terngiang-ngiang suaranya meminta tolong ketika api marak tapi saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya sebak.

Suami mangsa, Zamri Hamat, 38, tentera di Kem Sri Banding Grik, Perak, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada bapa mentuanya, kira-kira jam 2 petang selepas solat Jumaat.

“Bapa mentua minta saya bertenang ketika memberitahu rumah saya terbakar dan isteri terperangkap di dalam rumah,” katanya yang tiba di Kuala Krai jam 5.45 petang.

Katanya, kejadian itu memberi tamparan hebat baginya sekeluarga terutama anak sulung mereka Rashidah Ilyana yang masih terkejut dengan peristiwa yang menimpa ibunya.

“Anak sulung saya hanya mendiamkan diri bila ditanya kerana benar-benar terkejut dengan kejadian yang menimpa ibunya,” katanya. -BH


Jeritan sayu ibu sebelum rentung

KUALA KRAI - Sambutan Hari Ibu pada Ahad ini tidak bermakna buat tiga beradik apabila ibu yang disayangi rentung selepas rumah teres yang didiami mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai di sini terbakar semalam.

Kejadian menyayat hati pukul 1.30 petang itu menyebabkan seorang jururawat, Rafidah Ismail, 36, menemui ajal dalam keadaan tragis apabila ditemui rentung dekat pintu utama rumahnya selepas gagal menyelamatkan diri sebaik dapat mengeluarkan tiga anaknya melalui tingkap.

Tiga anaknya yang terselamat ialah Rashidah Illyana Zamri, 7; Zaim Shahrul Zamri, 6, dan Zaim Iqbal, 2. Mereka dapat dikeluarkan selepas Rafidah bertindak nekad memecahkan cermin sebelum membengkokkan besi tingkap lalu menyerahkan kanak-kanak itu kepada jiran yang datang membantu.

Difahamkan, ketika kejadian, empat beranak itu berada di ruang tamu. Mereka panik apabila api besar tiba-tiba menyambar dari arah dapur menyebabkan Rafidah gagal mencari kunci pintu jeriji.

Rafidah kemudian menjerit meminta tolong dalam keadaan api marak dan asap tebal sebelum jeritannya didengari oleh jiran.

Suami Rafidah, Zamri Ahmad, 38, yang merupakan seorang anggota tentera tiada di rumah semasa kejadian kerana bertugas menghantar bekalan makanan di Perak. Rafidah pula bekerja di Hospital Kuala Krai di sini.

Bapa Rafidah, Ismail Hussin, 63, yang tinggal berdekatan dengan rumah mangsa memberitahu, dia terkilan kerana hanya sempat mendengar teriakan sayu anaknya meminta tolong tanpa dapat membantu.

Katanya, dia cuba berjalan laju tetapi gagal ekoran masalah kesihatan yang dialaminya dan dalam keadaan termengah-mengah dan semput, dia gagahkan juga ke rumah anaknya.

"Ketika saya sampai, saya lihat api sudah marak dan jeritan anak saya sudah tiada lagi. Namun, tiga cucu saya dapat diselamatkan.

"Memang sedih apabila mengenangkan keadaan itu apatah lagi teriakan sayu Rafidah masih terngiang-ngiang di telinga saya," ceritanya sambil menangis semalam.

Bapa saudara mangsa, Abdullah Mohamed, 58, pula berkata, daripada cerita jiran yang didengarinya, ketika kejadian, empat beranak itu berada di ruang tamu manakala pintu jeriji berkenaan berkunci.

"Api itu datang dari arah dapur dan terus menyambar ruang tamu. Rafidah yang panik gagal mencari kunci menyebabkan dia memecahkan cermin dan membengkok besi tingkap untuk mengeluarkan anak-anaknya," ceritanya yang tidak mengetahui bagaimana mangsa membengkokkan besi tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azhar Abdul Rahman memberitahu, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira 20 minit kemudian namun gagal menyelamatkan mangsa kerana api marak.

Selepas memadamkan api dan memotong besi jeriji, pasukannya menemui mayat Rafidah dalam keadaan rentung lebih 50 peratus dekat pintu tersebut.

"Pada tingkap itu terdapat kesan dipecah manakala besinya pula telah dibengkokkan dipercayai dilakukan oleh mangsa untuk mengeluarkan anak-anaknya," katanya yang memberitahu pihaknya masih menyiasat jumlah kerugian dan punca kejadian. -kosmo


3 ulasan:

Hyuuga berkata...

berita sayu di hari ibu..
al-fatihah utk arwah..

Tanpa Nama berkata...

al fatihah semuga roh arwah
di tempatkan bersama orang orang yang soleh


Kasihnya ibu
Membawa ke syurga
Kasihnya saudara
Masa berada

Berkorban raga
Rela binasa
Berkorban nyawa
Tanda kasihnya

Kasihnya ayah
Sanggupkah berpisah
Dan kasih anaknya
Berkorban nyawa

Biar pun jiwa
Akan tersiksa
Ikhlas dan rela
Asal kau bahagia

HAFIZAL berkata...

alfatihah....