17 Mei 2011

Ada Harapan Untuk RON95 Naik Bulan Depan

Harga petrol RON95 disemak bulan depan

Kerajaan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.

"Mengikut pelan Rasionalisasi Subsidi, satu kajian semula akan dibuat enam bulan sekali terhadap subsidi semua produk. Jadi untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember tahun lepas.

"Ini bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan tahun...saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian akan berlaku dan tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan semasa harga petrol RON95 berikutan harga petrol RON97 kini meningkat kepada RM2.90 seliter.

Harga RON97, yang diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa, naik 20 sen ke RM2.70 seliter pada 2 April lepas ekoran krisis Timur Tengah manakala kali terakhir harga RON95 naik adalah pada Disember tahun lalu iaitu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Ismail Sabri berkata walaupun sebelum ini beliau berkata harga minyak tidak dinaikkan pada masa sekarang, tetapi ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah tinggi.

"Tahun lepas, tanggungan subsidi kerajaan (bagi produk petroleum) adalah RM8 bilion apabila harga minyak dunia meningkat, dan tidak nampak trend itu akan menurun. Kalau keadaan itu berterusan, tanggungan subsidi kerajaan akan menjadi RM18 bilion tahun ini iaitu kenaikan RM10 bilion," katanya.

Beliau berkata sekiranya subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan-jalan kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih banyak bantuan pelajaran.

Katanya rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar yang ditanggung kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat. - Bernama


Najib: Subsidi ibarat candu, kos politik tak boleh dielak

Pada Mac lalu, Najib berkata beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang.
OXFORD, 17 Mei — Subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.

“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” kata beliau di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.

Pada Mac lalu, Najib berkata, beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang dan penjimatan seharusnya disasarkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Pengurusan ekonomi yang baik dan makro membolehkan anda mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat.

“Maka, anda membolehkan faktor pasaran untuk memperuntukkan sumber-sumber dengan berkesan,” katanya lagi.

Dipetik laporan Reuters, Najib berkata, keperluan untuk menarik balik subsidi secara berperingkat-peringkat perlu diseimbangkan dengan keperluan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit sehingga 5.4 peratus tahun ini berbanding 5.6 peratus sebelum ini, kemudian sehingga 2.8 peratus menjelang 2015.

“Kami perlu menaikkan harga (bahan api) secara berperingkat-peringkat, kami tidak boleh melakukannya dalam satu malam. (Jadi) ada kos politik dalam mengurangkan subsidi,” katanya lagi.

“Saya perlu menguruskannya antara urus tadbir yang baik dan dapat dipilih semula,” katanya.

Pentadbiran Najib memperkenalkan dasar pelarasan subsidi sejak tahun lalu, yang sekali gus membawa kepada kenaikan harga beberapa barang kawalan.

Semalam, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.

Pergerakan itu juga berkata pihaknya gusar dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin yang menggesa rakyat agar bersiap sedia dengan kemungkinan kenaikan harga minyak RON95.

Laporan media memetik Ismail Sabri berkata, kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Beliau berkata, kemungkinan itu ada memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

“Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga,” katanya.

Pagi semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan harga barang kemungkinan naik kerana kemungkinan kerajaan mengkaji balik subsidi ekoran peningkatan kos subsidi tahun ini berbanding tahun lalu.

Justeru, dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, usaha-usaha ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah pengurangan perbelanjaan fiskal berupa pengurangan subsidi minyak.

Harga RON97 telah mengalami kenaikan 20 sen seliter awal bulan lalu.

Harga gula pula naik 20 sen sekilogram berkuat kuasa minggu lalu. -TMI


3 ulasan:

Awanama berkata...

kalau nak naik biar naik sekarang dan sebelum PRU 13. boleh sama2 protes. kalau dah lepas PRU tak boleh buat apa. silakan naik harga minyak tu , sempat 2 @ 3 kali naik sebelum PRU.

Awanama berkata...

Semua orang tahu BN adalah pakar naikkan harga . BN go to hell!!!

Awanama berkata...

Naik jangan tak naik , rakyat didahulukan mengikat perut yang sekarang ni memang selalu ikat perut kerana BN - barang naik - Apalah yang boleh diharapkan , para pemimpin kerajaan terus menerus menikmati hidangan free dari keringat rakyat. Tunggulah pertanyaan munkar nakir di alam barzakh nanti , sebagai pemimpin adakah telah terlaksana tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan itu.