14 Apr 2011

Kajian Zentrum: BN Diramal Tumbang Di Sarawak

Petaling Jaya: Barisan Nasional (BN) diramal kalah apabila hanya memenangi 21 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Ahad ini, menurut satu kaji selidik.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga diramalkan tumbang di DUN N51 Balingian, yang telah disandangnya selama tiga penggal itu.

Kaji selidik dikeluarkan oleh Zentrum PRN Sarawak dan diselia oleh Zentrum Future Studies Malaysia yang diasaskan oleh Dr Hassan Hayastani.

Dalam pertandingan tiga penjuru, calon bebas yang juga sepupu kepada Ketua Menteri itu, Datuk Salleh Jafaruddin menerima sokongan tertinggi apabila memperolehi 38 peratus sokongan dan Taib dengan 36 peratus.

Dalam perebutan kerusi yang sama juga menyaksikan calon PKR, Suriati Abdullah pula menerima 28 peratus.

Menurut kajian tersebut, Pakatan Rakyat yang membariskan calon PKR, DAP dan PAS mendapat 31 kerusi.

Keputusan daripada persepsi sokongan pengundi Sarawak itu juga menunjukkan sebuah lagi parti yang menentang BN, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menerima sokongan tertinggi di 15 kerusi dan empat DUN pula didominasi oleh calon bebas.

Bagaimanapun keputusan kaji selidik yang dinamakan ‘PRN Sarawak prediksi period 1′ tersebut merupakan keputusan bagi kajian persepsi semasa dan tidak mustahil berlaku perubahan data dalam jangka masa terdekat.

Persepsi kepercayaan politik mengikut kaum

Bagi persepsi untuk perbandingan persepsi kepercayaan politik mengikut kaum pula, BN mendahului parti-parti lain dalam meraih sokongan dari kaum Melayu dan Melanau dengan meraih 48 peratus sokongan.

Manakala PR pula mengekori BN di tempat kedua apabila meraih sokongan sebanyak 40 peratus, SNAP dengan 10 peratus dan masing-masing Parti Cinta Malaysia (PCM) dan bebas satu peratus.

Bagaimanapun data dari statistik itu juga menunjukkan BN ditinggalkan jauh di tempat kedua oleh PR yang memperolehi 46 peratus sokongan masyarakat cina dan BN dengan 34 peratus.

Turut meraih sokongan dari masyarakat Cina yang umumnya mendiami di kawasan bandar ialah parti SNAP dengan 18 peratus diikuti PCM dan bebas dengan masing-masing juga satu peratus.

SNAP sebuah parti kaum Dayak di Sarawak pula mengungguli sokongan kaum Iban apabila dijangkakan mampu meraih sokongan sebanyak 38 peratus berbanding PR di tempat kedua dengan 32 peratus.

BN yang mengekori di tempat ke tiga bagi persepsi sokongan kaum yang sama pada ketika ini meraih sebanyak 23 peratus sokongan dan bebas dengan tujuh peratus.

PR sekali lagi meraih populariti tinggi apabila diramalkan menerima sokongan terbanyak di kalangan pengundi kaum Bidayuh dengan 40 peratus manakala SNAP mengekori rapat di tempat ke dua dengan 38 peratus.

Ketika hanya mampu meraih 20 peratus sokongan masyarakat Bidayuh, BN meninggalkan jauh pesaingnya apabila dijangka meraih 51 peratus sokongan di kalangan masyarakat Orang Ulu.

Menurut hasil kajian PRN Sarawak prediksi period 1 itu lagi, PR pula memperolehi 36 peratus dan SNAP pula sebanyak 10 peratus juga bagi masyarakat Orang Ulu.

Bagi lain-lain kaum pula, BN memperolehi 53 peratus, PR dengan 21 peratus dan SNAP pula dengan 17 peratus. -FMT


Zentrum ramal BN Sarawak akan jatuh

KUCHING, 14 April: Jika betullah kajian yang dibuat oleh Zentrum Future Studies, kerajaan BN Sarawak bakal jatuh dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini apabila Zentrum meramalkan, BN hanya akan mendapat 24 kerusi Dun.

Pakatan Rakyat pula, Zentrum meramalkan akan mendapat 27 kerusi, Snap 13 kerusi manakala selebihnya calon bebas iaitu tujuh kerusi.

Hasil ini diperolehi berdasarkan kajian Zentrum melalui projek Sarawak Election (SELECT 2011) - iaitu Prediksi Period 2 oleh badan yang dipimpin oleh Dr Abu Hassan Hasbullah itu.

(Rajah: Sarawak Election (SELECT 2011) - Prediksi Period 2: Kedudukan parti)

Kajian itu meramalkan, PAS akan menang di tiga dari lima kerusinya iaitu N24 Beting Maro (PAS 53%, BN 47%), N22 Sebuyau (PAS43%, BN 40%, Bebas 17%) dan N3 Tanjong Datu (PAS47%, BN 35% dan Bebas 18%).

Dua lagi kerusi PAS adalah N20 Sadong Jaya (PAS 41%, BN 43% dan Bebas 16%) dan N15 Muara Tuang (PAS48% dan BN 52%).

Kajian itu juga meramalkan, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud akan kalah di Balingian di tangan sepupunya, Datuk Salleh Jafarudin (BN 33%, PR 30% dan Bebas 37%).

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pula diramalkan kajian ini akan menang di Ba'kelalan (PR64% dan BN46%).

Keputusan ini berdasarkan laporan prediksi period 2 yang dibuat oleh Zentrum PRN Sarawak 2011 yang disiarkan dalam lamannya di facebook hari ini.

Ia akan berubah bila-bila masa berdasarkan maklumat terbaru yang diterima oleh petugas kajian ini.

Namun begitu, ketepatan kajian ini agak meragukan untuk dibuat keputusan muktamad kerana semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, ramalan yang dibuat oleh Zentrum tersasar apabila didapati calon Pakatan Rakyat dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim kalah kepada calon BN Kamalanathan.

Padahal keputusan akhir kajian Zentrum menunjukkan calon PKR itu akan menang dengan majoriti tipis.


(Graf: Sarawak Election (SELECT 2011) - Prediksi Period 2: Bandingan Kaum)


Bagaimanapun, kajian ini bakal menjadi antara petunjuk awal ke manakah arah tuju pilihan raya Sarawak kali ini.

Sebelum ini, pengkaji PAS meramalkan, sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Menurut Malaysiakini pula, kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan. -HD


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

insyaallah, alhamdulillah