10 Mac 2011

Kes Mahasiswa Hilang: Polis Tak Tolak Kemungkinan Wujud Unsur Jenayah

Kuala Lumpur: Polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur jenayah dalam kes kehilangan seorang calon Pro Mahasiswa pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya (UM) bulan lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata, siasatan kes itu masih berjalan dan telah diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Polis kini menunggu laporan perubatan berhubung status kesihatan fizikal dan dalaman pelajar terbabit, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penilaian Khidmat Pelanggan di IPD Dang Wangi, di sini Rabu.

Masturah Abu Bakar, 22, dilaporkan hilang 19 Februari lalu selepas berkempen di Projek Perumahan Rakyat Pantai Dalam di sini, sebelum ditemui semula 33 jam kemudian di Bangi.

Kehilangannya itu dikaitkan dengan empat ugutan yang diterima beliau beberapa hari sebelum dilaporkan hilang dan Masturah ditemui dalam keadaan bingung dan menangis berhampiran sebuah masjid di Kampung Teras Jernang, Bangi.

Pada pemilihan MPP UM yang berakhir pada 21 Februari itu, Masturah diumumkan sebagai antara calon Pro Mahasiswa yang menang.

Polis sebelum ini mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang dan siasatan awal juga mendapati tiada unsur jenayah, malah pelajar berkenaan tidak diculik.

Zulkifli juga meminta orang ramai supaya tidak mencampuri urusan polis dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. - BERNAMA


Tiada ulasan: