19 Mac 2011

Dua Beradik Mati Saling Berpelukan Dalam Kebakaran

Kuching: Dua beradik ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dengan saling berpelukan, selepas bilik utama di tingkat dua kediaman mereka di Pangsapuri Tabuan Park dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Dua beradik terbabit, Natasja Harun, 6, serta adiknya, Mohd Nurrzwan Syah, 5, dipercayai lemas akibat terhidu asap, ditemui di belakang pintu bilik ibu bapa mereka oleh anggota bomba dan penyelamat, sebaik berjaya memadam kebakaran kira-kira jam 7 malam.

Ketika kejadian, dua beradik malang itu berada di rumah ketika bapa mereka berusia 28 tahun keluar bekerja, sementara ibunya berusia 20-an keluar membeli barang tidak jauh dari kediaman mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Ismail Awang Adin berkata, ketika operasi menyelamat, pihaknya menemui dua kanak-kanak berpelukan dalam bilik utama.

Siasatan awal menunjukkan kejadian mungkin bermula di bilik utama menyebabkan adik lelakinya terperangkap sebelum kakaknya berusaha menyelamatkan Mohd Nurrzwan.

“Bomba percaya, kakaknya cuba membalut adik lelakinya dengan sehelai kain bagi mengelakkan terkena percikan api ketika kebakaran berlaku.

“Ada kesan melecur pada leher kanak-kanak malang terbabit sebaik operasi memadamkan kebakaran dihentikan kira-kira empat minit,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.01 malam sebelum mengerahkan sebuah jentera bersama 12 anggota ke tempat kejadian.

Setakat ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa dilakukan semalam, dengan polis akan merekod keterangan daripada kedua-dua ibu bapa mangsa secepat mungkin untuk membantu siasatan.

“Polis tidak dapat merekodkan keterangan pada hari kejadian berikutan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit masih trauma,” katanya. -BH

Tiada ulasan: