19 Mac 2011

ADUN Pembangkang Kesal Tidak Dibenarkan Berucap

Nusajaya – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr Boo Cheng Hau merangkap Presiden DAP Johor meminta Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menyiasat dalam proses penyerahan ucapan penangguhan.

Menurutnya, kemungkinan berlaku penyelewengan di Pejabat Jurutulis sewaktu penghantaran ucapan penangguhan kerana tiada seorang daripada parti pembangkang diberikan peluang untuk berucap.

“Pihak kami rasa kecewa apabila terdapat kekurangan konsistensi bilangan ucapan daripada pihak kami sewaktu sesi penangguhan dewan yang dijalankan bagi Mesyuarat Persidangan Penggal ketiga dewan ke-12.

“Keadaan tersebut seolah-olah membiarkan pihak pembangkang terpinggir dengan secara sengaja dan ditolak hak walaupun isu yang mahu dibangkitkan melibatkan kebajikan rakyat,” katanya sewaktu menemui media, semalam.

Terdahulu, Cheng Hau berkata, pada 11 Mac lalu kira-kira jam 11.23 pagi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), pihaknya telah dimaklumkan Pejabat Jurutulis terdapat enam ahli undangan yang menghantar ucapan tangguhan termasuk tiga daripada DAP.

“Jumlah tersebut melebihi kuota yang ditetapkan iaitu lima orang seperti yang termaktub dalam Peratusan Tetap Fasal 119(4) untuk memberikan ucapan penangguhan tanpa dipilih melalui undi.

“Ini bermakna, sekurang-kurangnya dua orang ahli DAP akan dapat berucap pada sidang DUN semalam, namun pada jam 2.13 petang saya dimaklumkan, ada lapan orang ahli dewan yang menyerahkan ucapan tangguhan,” katanya.

Menurutnya, jumlah yang meningkat itu disebabkan terdapat peningkatan bilangan ahli dari Barisan Nasional (BN) dan keadaan itu membuatkan ahli pembangkang tidak terpilih memberikan ucapan tangguhan.

Cheng Hau berharap, isu itu diberikan perhatian dan disiasat sewajarnya dalam mempertahankan sistem demokrasi di negeri Johor. -SH

Tiada ulasan: