10 Feb 2011

"Toyol" Separuh Bogel Pecah Masuk Rumah Jiran Dipenjara 11 Bulan

Ditangkap ketika tidur

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang memecah masuk sebuah kediaman milik seorang guru yang juga jirannya dengan menggunakan taktik ala ‘toyol’ iaitu dalam keadaan separuh bogel dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Suffian Ramli Pandian, 21, dari kampung Losong Haji Su mengaku bersalah memecah masuk rumah Hanini Hashim, 32, di Kampung Losong Haji Mohd pada 22 November tahun lalu, jam 3.45 pagi dalam keadaan separuh bogel dengan tubuh berlumuran minyak.

Tertuduh yang memakai baju penjara berwarna merah terus mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Siti Faraziana Zainuddin yang dijalankan oleh Inspektor Miky Anak Dustan Muda.

Bagaimanapun, tertuduh merayu diringankan hukuman terhadapnya kerana mengakui telah insaf dengan kesalahan yang dilakukannya sejak hari dia ditangkap lagi.

Mengikut fakta kes, tertuduh memecah masuk kediaman mangsa di Kampung Losong Haji Mohd kira-kira 3.45 pagi, 22 November tahun lalu, namun sempat disedari mangsa selepas terdengar bunyi bising sewaktu tertuduh sedang menyelongkar beg tangan mangsa yang diletakkan di ruang tamu.

Mendengar jeritan mangsa, tertuduh melarikan satu beg tangan yang mengandungi satu kamera digital jenama Canon, buku akaun Tabung Haji, kad nikad dan juga kad pengenalan serta dua bentuk cincin emas melalui pintu belakang rumah.

Tertuduh berjaya ditahan polis di depan surau Kampung Losong Haji Mohd pada hari sama, jam 6.20 pagi ketika sedang nyenyak tidur sewaktu jemaah mengerjakan solat Subuh.

Semasa tangkapan, tertuduh turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing.

Tertuduh yang berwajah bersahaja selepas hukuman dijatuhkan dihadapkan dengan dua tuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) kerana positif Methamphetamine.

Tertuduh mengaku bersalah di atas kedua-dua pertuduhan dan akan dihantar ke Penjara Penor, Kuantan untuk menjalani hukuman penjara 11 bulan yang berkuat kuasa pada tarikh tangkapan. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Soalan Cepu Mas....Toyol nie dengan anak TOYO mana bahaya???

Kalau dulu jawapan teka teki "Masa KECIL HITAM...bila BESAR PUTIH"...ialah micheal Jackson....Tapi sekarang jawapannya sudah tukar ke??? Mat Penyapu.