8 Feb 2011

Terkejut Jumpa 3 Kepala Lembu Disembelih Pencuri

Kuantan: Seorang penternak lembu di Kampung Semangat di sini terkejut apabila menemui tiga kepala lembu miliknya yang dipercayai disembelih pencuri sebelum daging ternakan itu dilarikan awal pagi Sabtu lalu. Gambar fail

Encik Nazri Awang Ahmad, 36 tahun, berkata kejadian itu disedari adiknya, Encik Mohd Safee, 29 tahun, yang menemui satu kepala dan perut lembu dalam kandang ketika hendak menoreh getah pada 7 pagi.

'Beliau memaklumkan kejadian itu kepada saya dan kami terus melakukan pemeriksaan sebelum menemui dua lagi kepala dan perut lembu di kawasan berhampiran penemuan pertama.

'Saya percaya ia dilakukan lebih daripada lima orang dan lembu ditembak pelali terlebih dulu sebelum disembelih dan dilapah,' katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Encik Nazri berkata kumpulan pencuri terbabit juga dipercayai memanjat pintu pagar dan memunggah daging lembu yang sudah dilapah melalui bawah pintu pagar itu sebelum diisi ke dalam kenderaan mereka kerana pintu pagar tersebut masih berkunci dan tidak dipecahkan.

'Lebih mengejutkan, pencuri tersebut sanggup memikul daging berkenaan sejauh 500 meter iaitu jarak dari lokasi lembu dilapah ke pintu pagar utama sebelum melarikan diri,' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tersebut, Encik Mohd Alim Daud, berkata kejadian itu adalah yang keempat berlaku sejak tahun lalu.

'Dalam kejadian terakhir sebelum ini, enam ekor lembu milik seorang penternak di kampung ini ditembak kumpulan pencuri. Namun, mereka hanya sempat melapah dua daripadanya dan tiga ekor lagi hanya cedera.

'Kami merancang untuk membina pagar di sempadan Kampung Hijrah yang hanya akan dibuka dari 7 pagi hingga 7 malam bagi mengelak orang luar keluar masuk,' katanya - BH

Tiada ulasan: