20 Feb 2011

PRK DUN Kerdau: Siapa lawan siapa?

Temerloh - Umum sudah pun mengetahui bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sudah pun diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan dilangsungkan pada 6 Mac depan serentak dengan PRK DUN Merlimau.

Melihat kepada keputusan itu, pastinya Barisan Nasional (BN) Pahang mahupun Pas Pahang sudah merangkan gerak kerja atau jentera parti masing-masing meskipun dalam tempoh yang amat singkat untuk melakukan persediaan.

Apa pun, PRK ini harus dilaksanakan sebagai satu proses demokrasi di negara ini yang mana sesuatu Kerusi DUN ataupun Parlimen perlu diisi apabila berlaku kekosongan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Menyentuh mengenai PRK ini pastinya umum tertanya-tanya siapakah calon-calon yang layak untuk diletakkan oleh BN dan Pas dan kredibiliti calon-calon ini pastinya akan menentukan kejayaan kedua-dua parti yang bertanding.

BN akan mengumumkan calon PRK DUN Kerdau mereka pada Selasa ini. Malah Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob sudah pun menyerahan empat nama kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Difahamkan empat nama yang diserahkan itu adalah Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Bekas Adun Kerdau, Datuk Redzwan Harun, Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Krau, Abdul Razak Ahmad serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau, Norahan Abu Bakar.

Manakala bagi Pas pula, tiga nama yang difahamkan dipendekkan daripada tujuh nama pada peringkat awal adalah Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Naib Presiden Pas, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasaruddin Hassan Tantawi serta Ketua Penerangan Pas Pahang, Hassanuddin Salim yang juga bekas calon DUN Kerdau Pas pada pilihan raya umum 2008 yang tewas kepada Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN.

Bagaimanapun, siapa yang bakal bertemu siapa hanya akan diketahui pada Selasa (BN) dan Khamis (Pas) ini apabila kedua-dua parti yang bertanding menentukan calon yang sesuai untuk menggalas cabaran dalam PRK kali ini.

Adalah sesuatu yang amat menarik mengenai PRK Kedau pada kali ini apabila Pas dikatakan cuba meletakkan calon popular yang boleh menggugat BN yang pastinya mahu mempertahankan Kerusi Kerdau yang mereka menangi sebanyak 13 kali pilihan raya termasuk pilihan raya kecil Sanggang (1999).

Dengan 8,999 pengundi berdaftar dengan 88.36 peratus adalah Melayu, pastinya mana-mana parti pun tidak berani mempertaruhkan calon yang bukan Melayu kerana risikonya cukup tinggi.

Malah umum juga mengetahui bahawa Kerdau merupakan tempat pertama penubuhan Pas di negeri ini dan di situ jugalah letaknya Markas Pas Negeri.

Seperti mana yang dikatakan Tuan Ibrahim sendiri, peluang di Kerdau untuk Pas adalah 50-50 kerana banyak isu-isu boleh dibangkitkan terutamanya mengenai pembangunan di Kerdau sendiri sepanjang di bawah pemerintahan BN.

Sama ada isu yang akan dibangkitkan itu relevan atau tidak hanya rakyat di Kerdau sahaja boleh menentukan sama ada pembangunan yang diharapkan itu berlaku atau tidak.

Manakala bagi BN pula, peluang untuk mereka menang dilihat agak cerah berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini.

Mereka pastinya mahukan calon yang popular dan boleh menang bagi menggalas ‘wasiat’ yang ditinggalkan oleh Zaharuddin sebelum ini.

Penting bagi BN untuk menjelaskan kepada rakyat Kerdau mengenai pembangunan di kawasan itu agar keyakinan yang tertanam sebelum ini akan terus hidup subur di terus segar.

Apa pun segala keputusan terletak di tangan para pengundi yang akan menentukan siapakah wakil rakyat mereka pada 6 Mac nanti yang pastinya memperlihatkan satu pertandingan yang sengit.

Bagi BN pula tugas mereka adalah untuk mempertahankan kerusi adalah lebih penting daripada meningkatkan jumlah majoriti yang diperoleh Zaharuddin sebelum ini.

Manakala bagi Pas pula, kemenangan pada kali ini merupakan satu kejayaan menawan kubu BN yang sudah bertahan 13 kali pilihan raya. -SH


Kerdau: PAS putus calon Selasa, naib presiden antara pilihan

KUALA LUMPUR, 20 Feb — PAS akan memuktamadkan calonnya yang bakal bertanding di kerusi Kerdau Selasa ini selepas tiga nama diperakui oleh Dewan Harian parti itu hari ini, kata Naib Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

“PAS Pahang telah mengangkat tiga nama pada hari ini di mana Dewan Harian telah memperakui ketiga-tiga nama itu. Keputusan akhir akan dicapai pada mesyuarat jawatankuasa kerja pusat Selasa ini,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengumumkan calon di Kerdau, Khamis ini.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang enggan berkongsi nama calon-calon yang diperakui oleh Dewan Harian pada mesyuarat hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan salah satu daripada tiga nama yang dipertimbangkan itu termasukla Tuan Ibrahim sendiri selaku Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Krau.

Sumber memberitahu kemungkinan PAS akan menurunkan beliau di Kerdau kali ini atas popularitinya di kawasan tersebut dan di Pahang.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan itu, Tuan Ibrahim memberitahu, “biar jawatankuasa pusat yang putuskan perkara itu dan nama calon akan diumumkan 24 Februari ini.”

Difahamkan ketiga-tiga nama yang diperakui hari ini merupakan anak tempatan kawasan Kuala Krau.

Pada 8 Mac 2008, Tuan Ibrahim bertanding di kerusi DUN Jengka.

Mesyuarat Dewan Harian PAS hari ini juga memutuskan untuk melantik Pengarah Pilihan Rayan PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman sebagai pengarah jawatankuasa induk pilihan raya kerusi DUN Merlimau.

Sebelum ini PAS melantik Tuan Ibrahim sebagai pengarahnya.

“Ada pertukaran, saya akan mengetuai jawatankuasa induk pilihan raya kecil Kerdau, Datuk Abdul Halim akan menjadi pengarah pilihan raya kecil Merlimau,” katanya lagi.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac sebagai tarikh pengundian manakala penamaan calon pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN), Selasa ini.

“Empat nama calon berkelayakan telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih bertanding, siapa saja yang dipilih akan diterima dan jentera BN akan memastikan kemenangannya,” kata Adnan.

Kata beliau, kerajaan negeri pimpinan BN akan menunaikan segala janji pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri Kerdau yang telah dibuat bekas wakil rakyat kawasan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti projek pembangunan yang dijanjikan sebelum ini mengikut keutamaan dan kepentingan rakyat.

“Kerajaan Barisan Nasional tidak berjanji kosong, setiap janji-janji itu kita akan tetap laksanakan untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jentera pilihan raya kecil BN untuk pilihan raya kecil DUN Kerdau hari ini.

Adnan berkata, semua isu setempat di kawasan berkenaan juga akan diselesaikan secepat mungkin.

“Setakat ini tiada isu besar di Kerdau melainkan isu-isu berkaitan hak milik tanah dan berkaitan tanah, isu untuk mempertingkat kemudahan jalan raya dan bekalan air,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN pada pilihan raya kecil itu berkata, semua jentera pilihan raya BN kini bersiap sepenuhnya.

“Kita akan mengambil pendekatan bersemuka dan menemui pengundi bagi mengetahui masalah mereka dan setiap masalah mereka kita akan atasi,” katanya. -TMI


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pakatan Rakyat kena ingat!!! Memang benar Allah maha berkuasa untuk menentukan siapa yang akan menang & kalah pada setiap PRU & PRK. Walau bagaimana pun Pakatan Rakyat kena pastikan isu pihak berkuasa terutamanya pihak polis yang mempunyai 2 indentiti (Kad Polis & IC Biasa)...harus dipantau??? Harap dengan kelebihan 2 ID diri pihak berkuasa tidak disalah gunakan oleh pihak tertentu untuk merampas Negeri yg diperintah Pakatan Rakyat & utk mengekalkan kuasanya di Malaysia.

bunbinban berkata...

PAS nak rampas Kerdau?. Bukan x boleh tapi bukan sekarang. Masyarakat Kerdau ni lain skit. Kalau UMNO letak beruk sekali pun sebagai calon, gerenti menang. Tak yah cerita pasal ekonomi atau liwat, dorang paham dan tau semua tu. Dorang tak caya Anwar meliwat tapi 'cinta dan kasih' dorang hanya untuk UMNO. Moral?. Apa nak kisah, sape tak kenal pimpinan UMNO?. PAS pun tak larat nak jaga ahli. Anak beranak ahli parlimen Kerdau Datuk Ismail Said, dulu semuanya ahli PAS tapi bila nama Datuk Ismail Said di calon, muka2 anak beranak ni la yg mula2 sampai kat markas UMNO. Aku cakap, pengundi Kerdau ni lain mcm sket. Kena maki hamun dek calon UMNO pun dorang boleh bagi undi lagi kat calon tu. Tapi kalau Datuk Tuan Ibrahim lawan Syed Ibrahim mesti best. Sorang bekas tok guru Tengku Mahkota, sorang penasihat ugam pada MB. Kalau UMNO calonkan Mohd Arhan Saludin pun ok gak, bapak dia PAS, dia UMNO...hahaha