20 Feb 2011

Kuarters PGA Musnah Dijilat Api, Pasangan Suami Isteri Melecur

Kota Bharu – Empat daripada enam blok kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 8 di Pengkalan Chepa dekat sini hangus dijilat api dalam kebakaran awal pagi semalam menyebabkan 16 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Gambar: FATIN Hamdan, 5, (kanan) bersama rakannya, Nurulerdina Zaharoi, 4, mencari barangan yang masih selamat selepas rumah mereka di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa terbakar pagi tadi. - Foto Fathil Asri

Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, seramai 89 mangsa dikatakan sedang nyenyak tidur dan kebakaran menyebabkan 24 buah rumah papan ranap.

Walaupun tiada kemalangan jiwa, dua mangsa yang merupakan sepasang suami isteri melecur di tangan, belakang badan dan muka.

Kebakaran tersebut yang disifatkan terbesar melibatkan kuarters PGA itu diburukkan lagi dengan masalah bekalan air apabila paip bomba di situ tidak mempunyai air.

Ia diakui sendiri oleh Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Annurrul Hakim Mohny.

Katanya, 41 anggota dengan enam jentera bertungkus-lumus mengawal kebakaran daripada merebak menggunakan air dari sumber terbuka termasuk sebuah tangki air yang dibawa daripada Pangkalan Kubor.

Tiada ulasan: