25 Feb 2011

Dia Yang Kebas Bila Pinangan Untuk Anaknya Ditolak ...

Bapa dakwa pernah tolak pinangan artis untuk satukan anak

SHAH ALAM: Seorang bapa memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, kelmarin, bahawa beliau pernah menolak pinangan artis popular '80-an, Raisuddin Hamzah, yang mahu menyatukan anak lelaki penyanyi itu dengan anaknya.

Encik Suberi Abdullah, 51 tahun, berkata hasrat Raisuddin ditolak memandangkan anaknya, Cik Siti Fatimah, 24 tahun, ketika itu masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Batang Berjuntai, dekat sini.

Lelaki yang mengusahakan perniagaan restoran itu mendakwa Raisuddin melahirkan hasrat itu ketika mereka bertemu dalam jamuan makan di kediamannya di Hulu Klang, sempena Aidiladha, beberapa tahun lalu.

Ketika itu, Encik Raisuddin hadir bersama anaknya yang juga penyanyi, Cik Sarah.

'Dia (Raisuddin) kata, Pak Lang, kalau boleh saya mahu pinang anak Pak Lang untuk anak (lelaki) saya.

'Saya kata anak saya masih belajar lagi. Saya tidak bersetuju,'
katanya ketika disoal balas peguam, Encik Norazmi Mohd Arif pada perbicaraan permohonannya memfaraqkan (membubarkan) pernikahan Encik Raisuddin dan Cik Siti Fatimah, kelmarin.

Encik Raisuddin, 55 tahun, menikahi Cik Siti Fatimah sebagai isteri keduanya di negara jiran pada malam sambutan tahun baru 2007.

Bapa Cik Siti Fatimah, Encik Suberi, kemudian memfailkan permohonan faraq nikah pasangan itu pada 26 Oktober 2007.

Beliau membuat permohonan itu atas alasan Cik Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan beliau sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan mengenai pernikahan itu.

Encik Suberi berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai pernikahan pasangan itu selepas Cik Siti Fatimah pulang ke rumahnya sempena cuti Tahun Baru Cina pada 2007.

Terdahulu, Encik Suberi berkata, beliau masih tidak bersetuju dengan pernikahan pasangan itu.

Pasangan itu dikatakan tidak sepadan dari segi umur dan hal itu membabitkan maruah keluarganya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Hakim Syarie Zainor Rahid Hassin, Encik Suberi menafikan beliau bermusuhan atau pernah bergaduh dengan Raisuddin.

Perbicaraan bersambung 13 April ini. -hm

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau dah jodohnya... apa pun halangannya dia tetap bertemu dan bersama.

Nak buat apa dipisahkan... benda dah pecah.