10 Dis 2010

Satu Kaedah Untuk Melariskan Susu New Zealand - Gempakkan Ramai Wanita Malaysia Kena Osteoporosis

Wanita Malaysia antara tiga negara berisiko tinggi hidap osteoporosis - Kajian

SINGAPURA -- Wanita Malaysia adalah antara tiga dari negara Asia yang paling berisiko menghidap osteoporosis pada awal usia 30an, kata satu kajian syarikat nutrisi hasil susu dari New Zealand, Fonterra.

Kajian juga menunjukkan 50 peratus rakyat Malaysia berdepan risiko penyakit tersebut pada usia 50an, kata Pengurus Asas Kesihatan Fonterra Asia dan Timur Tengah, Joanne Todd.

Kajian tersebut yang menganalisis 2.1 juta imbasan tulang yang dilakukan di seluruh Asia turut menunjukkan seorang daripada tiga penduduk Asia berusia 35 tahun ke atas menghadapi risiko osteoporosis, katanya.

"Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang rapuh dan retak bukan lagi masalah yang dihadapi golongan tua semata-mata," katanya ketika membentangkan hasil kajian itu pada mesyuarat rantau Asia pertama anjuran International Osteoporosis Foundation (IOF), di sini hari ini.

Todd berkata kajian juga mendapati sejumlah besar penduduk Asia berusia lingkungan 30an tidak mempunyai tahap jisim tulang yang sepatutnya pada usia mereka.

Justeru kata beliau, risiko osteporosis yang dihadapi golongan itu semakin meningkat apabila usia bertambah, kerana jisim tulang yang terbentuk pada usia 30an mempunyai kesan besar pada kemudian hari.

Risiko juga meningkat secara drastik bagi lelaki dan wanita dalam kumpulan usia 50an, dengan 50 peratus daripada mereka diklasifikasikan dalam kumpulan ostopenia atau tulang menipis.

Pengambilan kalsium yang rendah adalah penyumbang berpotensi kepada masalah kesihatan tulang, dan kajian mendapati secara purata pengambilan makanan mengandungi kalsium bagi golongan dewasa di Asia ialah 450 mg setiap hari.

Ia jauh lebih rendah berbanding saranan Pertubuhan Makanan dan Pertanian, dan Pertubuhan Kesihatan Dunia iatu antara 1,000 dan 1,300 mg sehari.

Kajian juga menunjukkan rakyat Filipina dan Indonesia mempunyai keadaan tulang paling tidak sihat, manakala penduduk Taiwan dan Singapura mempunyai tulang paling kuat.

Ketua Pegawai Operasi IOF Judy Stenmark pula berkata osteoporosis adalah antara penyakit paling lazim di dunia, namun ia juga paling diabaikan, jarang didiagnos serta kurang mendapat rawatan.

Malah katanya, tidak ada garis panduan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana badan kerajaan mengenai penyakit itu yang dapat dikesan menerusi ukuran ketinggian individu semakin berkurang, sakit belakang dan membongkok. -- BERNAMA

Ulasan GB

Demikian caranya untuk merebut pasaran dengan memperbodohkan rakyat. Tak sudah-sudah rakyat hendak dilembukan.

Tiada ulasan: