10 Dis 2010

Barang Naik: Rakyat Bakal Demo Lagi

Kenaikan 4-dalam-1: PROTES sedia berdemo

Pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat bersedia turun ke jalanan bagi menuntut kerajaan menarik balik kenaikan harga barangan 4-dalam-1 yang diumumkan minggu lalu.

Bagaimanapun, setakat hari ini, pihak-pihak berkenaan masih memantau kesan kenaikan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Minggu lalu, harga petrol RON95 naik 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

Setiausaha agung PSM, S Artuchelvan ketika dihubungi berkata parti itu bersedia menggerakkan ahlinya menyertai demonstrasi membantah kenaikan yang sedang diteliti oleh Gabungan Anti-Inflasi (PROTES).

Katanya, bantahan itu adalah hak bagi setiap individu tetapi demonstrasi itu perlu diadakan dengan aman.

“Kita kena mengadakan perbincangan dengan gabungan PROTES terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dihubungi Malaysiakini.
Mungkir janji

Sementara itu, Penyelaras PROTES Dr Hatta Ramli berkata gabungan itu kecewa kerana kerajaan telah memungkiri janjinya untuk tidak menaikkan harga barangan utama keperluan rakyat tahun ini.

Beliau yang sedang bercuti di luar negara berkata, kerajaan tidak prihatin masalah rakyat di hujung tahun yang memerlukan perbelanjaan bagi menyediakan keperluan untuk anak-anak bersekolah.

“PROTES akan bincangkan langkah seterusnya kemudian,” katanya kepada Malaysiakini menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Di Pulau Pinang, setiausaha PAS negeri, Mohd Fadzil Kemi berkata parti itu sedang memantau kesan kenaikan harga 4-dalam-1 itu sebelum bertindak.

Katanya, sebagai langkah awal, pihaknya menyokong cadangan ketua penerangan PAS, Idris Ahmad yang meminta supaya semua cawangan PAS di seluruh negara menggantung kain rentang membantah kenaikan itu.

"Yang penting, orang nak tahu, orang nak tengok kesan daripada kenaikan harga itu," katanya sambil menambah ia lebih berkesan daripada demontrasi.

Ini kerana, katanya, demonstrasi hanya diadakan "di tempat tertentu, fokus tidak sampai dan memerlukan ramai orang supaya ada kesannya".

Menurut Mohd Fadzil, kos bagi menyediakan kain rentang tersebut murah dan ia boleh diletakkan di tempat tumpuan orang ramai seperti di masjid, pasar awam atau jalan yang menjadi tumpuan rakyat.

"Kain rentang diletakkan di kawasan strategik kerana ia lebih berkesan kepada masyarakat terutama bagi mereka yang tidak sedar atau tidak mengetahui kesan kenaikan tersebut," katanya.

Secepat mungkin

Beliau bagaimanapun menyerahkan perkara tersebut kepada ketua penerangan negeri supaya mengarahkan kawasan dan cawangan menaikkan kain rentang itu.

Sementara itu, setiausaha PAS Perak Misbahul Munir Masduki berkata cadangan tersebut "baik dan lebih berkesan" sebagai menimbulkan kesedaran kepada rakyat berhubung kenaikan harga 4-dalam-1 itu.

'Ia mudah dibuat dan menaikkan sepanduk di kawasan strategik di kawasan tertentu di negeri ini... Kita akan laksanakan secepat mungkin kerana isu ini masih baru," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan menggantung kain rentang, bukan satu perkara baru kerana sebelum ini, PAS negeri itu pernah berbuat demikian mendesak DUN Perak dibubarkan.

Beliau akan menyelaras cadangan Idris itu kepada seluruh kawasan di negeri itu yang mempunyai kira-kira 800 cawangan.

Bagaimanapun, pihaknya juga akan berbincang untuk mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga tersebut sekiranya perlu.

Manakala setiausaha PKR Perak Datuk Abdul Halim Husin berkata bersetuju dengan kempen tersebut kerana mendakwa media arus perdana "tidak membuat hebahan berhubung kenaikan harga bahan api dan makanan tersebut".

"Saya menyokong sebarang usaha untuk menghebahkan perkara ini. Kerajaan sebut rakyat didahulukan, tetapi pelaksanaannya berlaku sebaliknya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

"Hebahan bantahan itu melalui kain rentang (perlu) kerana kesan (kenaikan) diterima oleh orang ramai".

Konvensyen Pakatan

Abdul Halim menjangkakan kenaikkan harga itu akan dibicangkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember ini, yang mana beliau merupakan salah seorang ahli jawatankuasanya.

Beliau juga setuju supaya diadakan demontrasi membantah kenaikan tersebut bagaimanapun, perkara tersebut perlu kepada perbincangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, bantahan tersbut sebagai cara "untuk menunjukkan kerajaan tidak efisen dalam pengurusan penradbiran negara".

Bagi DAP Perak pula, naib pengerusinya A Sivanesan berkata beliau menyokong demontrasi diadakan bagi membantah kenaikan harga itu, sekiranya kerajaan tidak mendengar rintihan rakyat.

'Kita tidak ada opsyen. Kita bukan demonstrasi suka-suka. Selama ini kita buat demonstrasi, satu pasu bunga pun tak pernah pecah.

Apa salah berdemo?

"Apa salahnya (berdemonstrasi). Kita bukan berada di Kashmir. Kita berhimpun dengan satu tujuan untuk mendapatkan perhatian kerajaan," katanya.

Sivanesan yang juga ADUN Sungkai berkata beliau akan menggantung sendiri kain rentang di kawasannya dan akan membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat DAP negeri dua minggu lagi.

"Bukan sahaja murah malah ia untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kerana rakyat tidak ada saluran (untuk membantah). Hanya melalui gantung kain rentang.

"Saya mahu mengajak Melayu dalam Umno atau India dalam MIC mengambil bahagian (dalam usaha ini)," katanya ketika dihubungi.

Ini kerana, kata Sivanesan (kanan), rakyat berpendapatan sederhana menerima kesan daripada kenaikkan itu lebih-lebih lagi menjelang sesi persekolahan di buka awal tahun depan.

Sementara itu, Penyelaras Suara Anak Malaysia (Suaram), E Nalini berkata beliau bersama tujuh orang ahlinya bersiap sedia untuk memantau keadaan di lokasi jika demonstrasi itu diadakan.

Menurutnya Suaram menyokong sebarang langkah sama ada menaikan kain rentang, poster atau demonstrasi untuk menyedarkan rakyat berhubung kenaikan harga barangan.

"Kita akan pantau anggota polis dan meminta bantuan daripada wakil NGO lain untuk berada di lokasi demonstrasi serta balai polis sekiranya ada orang awam ditahan dalam demonstrasi tersebut,” katanya kepada Malaysiakini. -mk


Barang naik: Jangan percaya janji pemimpin BN

Janji-janji pemimpin kerajaan BN ternyata tidak boleh dipegang kerana mereka hanya sekadar tahu berjanji tetapi tidak pula jujur dan tahu menunaikannya sejak dulu, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh.

Menurut Harkahdaily, Nuridah dilaporkan sebagai berkata BN hanya sekadar mahu menggula-gulakan rakyat untuk meraih undi bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Katanya, realiti itu terserlah apabila kerajaan BN sejak 3 Disember lalu telah mengambil keputusan menaikkan harga barangan keperluan utama rakyat seperti petrol, diesel, gas dan gula, sehingga menyebabkan rakyat semakin terhimpit walaupun telah diberi jaminan bahawa perkara seumpama itu tidak akan berlaku.
Janji palsu?

"Pada hal, 2 November 2010 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka,” katanya.

"Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat. Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," kata Ismail Sabri seperti yang dilaporkan media tempatan.

Malangnya, menurut Nuridah, pada 3 Disember lalu harga petrol RON95 dinaikkan 5 sen menjadikan harganya RM1.90 seliter. Selain itu, harga diesel juga dinaikkan 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter, manakala gas LPG pula naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram. Harga gula dinaikkan 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Pada hari yang sama, Bernama melaporkan menteri yang sama juga telah berkata sekali lagi bahawa harga barang seperti gandum, beras dan minyak masak dijangka tidak akan dinaikkan buat masa ini. Kononnya kerajaan juga masih mengekalkan subsidi ke atas barangan berkenaan memandangkan ia adalah barangan keperluan semua rakyat di negara ini.

Pentingkan diri sendiri

"Percayakah anda akan kata-kata beliau itu? Ternyata segala janji pemimpin BN tidak boleh dipegang. Itu semua samalah dengan slogan yang diwar-warkan oleh (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) itu sendiri yang juga tidak boleh dipegang. Sebaliknya, tindak-tanduk para pemimpin BN ternyata tidak pernah mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, tetapi hanya menekan dan menzalimi rakyat dalam segala aspek.

"Mereka ternyata hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja, bukannya mementingkan rakyat. Jadi, rakyat mesti sedar perkara ini. Jika rakyat tidak sedar dan terus tertipu dengan janji-janji pemimpin BN, para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat yang mesti menyedarkan rakyat agar tidak terus tertipu dengan permainan politik kotor mereka itu," kata Nuridah ketika dihubungi.

Katanya, kenaikan harga petrol, disel, gas dan gula, sememangnya amat menyusahkan rakyat pada semua peringkat, termasuk para penganut Kristian yang akan merayakan sambutan perayaan mereka tidak lama lagi, tetapi para pemimpin BN tidak pernah memikirkan masalah rakyat.

Selain itu, Nuridah juga kesal kerana kerajaan pusat turut menzalimi rakyat dalam aspek air, apabila sanggup bertindak untuk menaikkan harga air di Selangor, sehingga memaksa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil tindakan tegas untuk membantu rakyat yang dizalimi.

Sehubungan itu, katanya, Wanita Pakatan Rakyat dalam mesyuaratnya di bangunan Parlimen semalam antara lain telah memutuskan untuk mengambil tindakan aktif berhubung perkara itu.

Antara lain, mereka akan berjumpa dengan orang ramai untuk mengedarkan risalah untuk menyedarkan orang ramai agar tidak lagi terus tertipu dengan para pemimpin BN dan memberi undi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Selain berjumpa orang ramai di kampung-kampung, mereka juga akan mengedarkan risalah itu kepada orang ramai yang akan pulang bercuti di kampung di plaza-plaza tol, bagi membolehkan rakyat faham tentang realiti sebenar para pemimpin BN yang tidak pernah mementingkan rakyat, tetapi hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja.

"Jadi rakyat mesti disedarkan agar tidak lagi memberi undi kepada BN, tetapi kepada Pakatan Rakyat kerana hanya dengan cara itu barulah kehidupan rakyat akan terbela," katanya lagi.


8 ulasan:

adf55650 berkata...

Apakah langkah yg akan diambil oleh kerajaan PR jika memerintah negara ini dalam menghadapi kenaikan harga barang?
Selama ini cuma yg ada hanya demonstrasi. Cuba senaraikan langkah2 yg akan diambil. Barulah rakyat boleh percaya.

Tanpa Nama berkata...

kalau langkah tanpa kuasa akan jadi langkah sumbang, jatuhkan BN dulu baru melangkah

Tanpa Nama berkata...

kalau tunjuk langkah macam sambutan hari malaysia nanti BN akan tiru, tumbangkan BN!!!

Tanpa Nama berkata...

selama pakatan rakyat bijak mengambil langkah menentang kenaikan harga barang dan minyak, TAHNIAH!!!!

Tanpa Nama berkata...

minyak injin 2T dan 4T naik
tayar motor naik
insuran 3th party naik. beza 1st dgn 3th party sekarang beberapa puluh RM saja.
bateri naik

gula melaka asli (gula kelapa) naik tak ada siapa pun peduli. Buatan asli dari indonesia RM5 sekilo. Gula melaka tiruan buatan malaysia campuran gula merah dgn gula pasir tak boleh pakai.

gula merah pun naik.

Tanpa Nama berkata...

langkah pertama perangi rasuah perengkat tertinggi,langkah kedua kurangkan pembaziran dalam berbelanja,dan langkah ketiga jangan ada ketirisan.

Tanpa Nama berkata...

Langkah keempat ialah mencelikkan mata hati manusia seperti adf55650 supayaa dapat menilai kebejatan yang banyak diperlakukan oleh kerajaan BN.

Tanpa Nama berkata...

langkah kelima....berilah peluang kpd PR utk mentadbir negara barulah kita tahu apa beza antara Barang Naik dgn Panglima Rakyat....