10 Dis 2010

Jual Bayi Dalam Kandungan: Pembeli Tempah Bayi Selepas Melihat Paras Ibu

Di sini bukan tempat beli bayi'

KUALA LUMPUR: “Jika rupa paras si ibu cantik, pasti ramai datang ke rumah ini untuk mengambil bayinya sebagai anak angkat,” kata isteri pengasas Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Ruzitah Baharum, 42.

Beliau berkata, melalui pengalamannya, kebanyakan pasangan suami isteri yang datang ke rumah itu untuk mengambil anak angkat akan memilih dan menempah terlebih dulu anak dalam kandungan selepas melihat rupa paras si ibu.

“Bagaimanapun, kami tidak membenarkan cara itu (tempahan) kerana sini bukan tempat untuk membeli bayi, sebaliknya rumah amal untuk menjaga kebajikan ibu serta bayi yang baru dilahirkan,” katanya ketika ditemui di pusat itu, semalam.

Kewaja memberi perlindungan kepada gadis dan wanita bermasalah, terutama mereka yang menghadapi masalah serius akibat pergaulan terlampau atau terjebak dalam aktiviti tidak bermoral sehingga hamil di luar nikah. Penghuninya akan dilindungi, dibimbing dan dipulih sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

Mengenai kes Suzie yang dilaporkan Harian Metro semalam, Ruzitah berkata, setakat ini dia menerima lima khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan bayi dikandung gadis berkenaan.

Katanya, Suzie sudah mula menyesuaikan diri dengan pusat itu dan menjalani proses mendalami Islam dan sudah mahu bersolat.

Dua wartawan Harian Metro berjaya memujuk Suzie, 22, supaya tidak menjual bayi dikandungnya kepada satu pasangan bukan Islam, sebaliknya dihantar ke Kewaja.

Pelayan pelanggan (GRO) itu nekad mahu menjual bayinya kerana mendakwa tidak mampu menjaganya sebaik lahir kelak.

Dalam pada itu, Ruzitah berkata, hampir 500 pasangan dalam senarai menunggu untuk mengambil anak angkat dari rumah berkenaan dan jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa.

“Kami memberi keutamaan kepada pasangan yang berkahwin lima hingga enam tahun tapi masih tidak mempunyai zuriat,” katanya yang dipanggil mama di kalangan penghuni.

Pihaknya juga, katanya, tidak menggalakkan individu yang belum berkahwin untuk memohon kerana memikirkan nasib kebanyakan bayi terbabit dilahirkan tanpa bapa, jadi biarlah mereka dijaga keluarga yang dapat memberi didikan agama yang sempurna.

Menurutnya, kini terdapat 50 wanita berusia lingkungan 20-an menunggu masa di rumah itu untuk melahirkan anak masing-masing.

“Sebaik bayi dilahirkan di klinik panel terpilih, anak itu bersama ibunya akan dijaga sehingga habis tempoh berpantang. Jika si ibu mahu menjaga sendiri bayinya, kami akan meminta pihak keluarga mengambil mereka.

“Bagi yang tidak mahu menjaga bayinya pula, kami akan mengurus urusan berkaitan pengambilan anak angkat mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Ruzitah berkata, pihaknya juga akan menyaring setiap pasangan yang mahu mengambil anak angkat dari rumah itu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini pada masa depan.

“Sejak Kewaja ditubuhkan 20 tahun lalu, sudah lebih 3,000 bayi dilahirkan di sini diserahkan kepada keluarga angkat,” katanya. -hm


Bayi ditempah RM22,000

INSAF...Suzie menunggu masa untuk bersalin.

KUALA LUMPUR: “Bayi ini sudah ditempah pada harga RM22,000,” kata seorang wanita yang kini menunggu masa untuk melahirkan kandungannya itu kepada dua wartawan Harian Metro yang bertemu dengannya di sebuah restoran di Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.

Dia yang memperkenalkan diri sebagai Suzie, 22, berkata satu pasangan suami isteri bukan Islam menyatakan hasrat membeli bayi berkenaan ketika kandungannya masih berusia lima bulan.

Pertemuan tanpa dirancang itu berlaku ketika penulis menikmati makan malam apabila ternampak Suzie bersama seorang rakan sekerjanya mencari meja untuk menjamu selera di restoran sama.

Melihat keadaan Suzie yang sarat mengandung sembilan bulan itu, penulis menawarkan tempat untuk dia duduk semeja.

Dalam perkenalan singkat itu, wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) terbabit mula menyatakan hasrat untuk menjual bayinya sejurus dilahirkan kelak kepada pasangan suami isteri berkenaan.

“Saya sayangkan bayi ini, tetapi kerana kos sara hidup tinggi di ibu kota, saya terpaksa menjualnya,” katanya ketika pertemuan itu.

Menurutnya, dia nekad mahu menjual bayi dikandungnya itu kerana berasakan tidak mampu menjaganya apabila dilahirkan kelak.

Selain itu, katanya pasangan terbabit mendakwa akan menanggung segala kos bersalin termasuk pembedahan dan perubatan serta mendapatkan sijil beranak sah buat bayi yang bakal dilahirkannya itu.

Mendengar cerita itu, penulis menasihatinya tidak berbuat demikian dan memujuknya ke Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja) di Gombak, untuk bersalin dan dijaga sepanjang berpantang.

Tiga minggu selepas pertemuan pada awal November lalu itu, Suzie dibawa ke rumah berkenaan selepas dia bersetuju cadangan penulis.

Sebaik tiba di Rumah Kewaja, Suzie kelihatan keberatan untuk tinggal di pusat itu, tetapi selepas dipujuk pemilik rumah perlindungan berkenaan, dia bersetuju menginap di situ dan menjalani kehidupan baru.

Wanita terbabit mengakui terdetik rancangan untuk menjual bayi dalam kandungannya itu selepas teruja dengan jumlah wang ditawarkan pasangan berkenaan.

Menceritakan lebih lanjut, menurut Suzie, dia didatangi pasangan suami isteri itu ketika melepak di Bukit Bintang dan mereka mendakwa sudah berkahwin, tetapi tidak dikurniakan anak.

“Pasangan itu menghampiri saya kerana perasan perut saya besar. Ketika itu, usia kandungan baru lima bulan.

“Saya bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam terkemuka, namun takdir mengubah hidup saya apabila berjumpa teman lelaki yang mendakwa mahu mengahwini dan mengubah diri saya kepada kehidupan lebih baik,” katanya ketika ditemui semula di rumah perlindungan itu.

Difahamkan, dia memilih jalan hitam dengan bekerja sebagai GRO selepas terpengaruh kehidupan mewah seorang rakan.

Tambahan pula, Suzie mendakwa dia dilahirkan dalam keluarga pincang dan tidak pernah menerima perhatian serta kasih sayang ibu dan bapa menyebabkannya keluar rumah dan memulakan hidup sendirian.

Menceritakan bagaimana dia boleh mengandung anak luar nikah, Suzie berkata semuanya bermula apabila mengenali seorang lelaki berusia 30-an di kelab malam tempatnya bekerja.

Selama dua tahun hubungan Suzie dan lelaki itu tidak ubah seperti pasangan suami isteri sehingga satu hari dia mengetahui lelaki terbabit sudah berkahwin.

“Saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa isteri teman lelaki saya dan sebaik ditanyakan perkara itu, teman lelaki saya mengaku sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Hancur luluh hati ini apabila mengetahui perkara itu, namun kerana sayang kepadanya, saya bersabar sehingga satu hari saya disahkan hamil,” katanya.

Namun, apabila mengetahui perkara ‘gembira’ berkenaan, dia ditinggalkan lelaki terbabit kerana tidak percaya anak yang dikandungnya itu hasil hubungan cinta mereka.

Suzie yang pada mulanya mahu menggugurkan kandungannya ‘menyimpan’ janin terbabit kerana kononnya mahu teman lelaki bertanggungjawab, tetapi lain jadinya, sehinggalah didatangi pasangan berkenaan yang ingin membeli bayi itu.

Dia yang kini tinggal beberapa hari saja untuk bersalin, mengakui insaf dan tekad untuk membela bayinya itu sendiri selepas diberi suntikan semangat dan bimbingan agama sepanjang tempoh ditempatkan di rumah perlindungan berkenaan. -hm


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

di malaysia bukan setakat bayi, orang melayu pun kena jual dengan UMNO