27 Dis 2010

Safee Sali Penjaring Terbanyak Piala AFF Suzuki Setakat Ini

Safee calon penjaring terbanyak

PENYERANG kebangsaan, Mohd Safee Sali kini boleh berkira-kira untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF pada tahun ini selepas menjaringkan dua lagi gol pada perlawanan akhir pertama semalam.

Dua jaringannya itu membolehkan dia mengumpul empat gol keseluruhan mengatasi ayam tambatan Indonesia, Cristian Gonzales yang gagal menembusi gawang penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat sekali gus kekal dengan tiga gol setakat ini.

Namun bukan itu yang menjadi buruannya sebaliknya Piala Suzuki AFF yang pertama untuk negara sejak ia mula di pertandingkan pada 1996.

“Saya secara peribadi tidak mensasarkan gelaran penjaring terbanyak sebaliknya kejayaan pasukan adalah lebih penting,” katanya yang membuka jaringan Malaysia m-62 dan menoktahkan malam gemilang bola sepak negara dengan jaringan ketiga m-72.

Pemain berusia 26 tahun itu juga tidak menyembunyikan hasrat untuk beraksi di Liga Indonesia beradasarkan persembahannya di kejohanan bola sepak terbesar di Asia Tenggara selepas ini.

“Kemenangan ini sudah pasti memberikan kami keyakinan kerana ia bekalan yang amat selesa apabila sekali lagi bertarung di Jakarta pada Rabu ini,” katanya. -metro


Safee enggan dabik dada

'Ia kemenangan pasukan, bukan untuk saya kejar anugerah Kasut Emas'

MALAM tadi, dia meledak dua gol lagi - mengulangi angka sama ketika menewaskan Vietnam dalam separuh akhir di gelanggang sama - Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun, Safee Sali tetap merendahkan diri selepas mengumpul empat jaringan penting untuk skuad negara, sebaliknya membicarakan kejayaan menewaskan Indonesia, malam tadi adalah kerana kerjasama dan semangat sepasukan.
“Ini adalah kemenangan pasukan dan bukannya untuk saya mengejar anugerah Kasut Emas. Tanpa bantuan rakan sepasukan sudah pasti saya takkan mampu menjaringkan gol,” katanya selepas membantu pasukan negara menang selesa 3-0.

Safee, 26, yang berasal dari Kajang, Selangor itu menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang Vietnam - sekali gus membantu negara buat pertama kalinya layak ke pusingan final selepas 14 tahun dan malam tadi dia menjaringkan gol pertama dan ketiga bagi memberi kelebihan agregat 3-0 untuk bekalan ke Jakarta bagi perlawanan timbal balik kedua, Rabu ini.

Dia juga bersedia beraksi pada mana-mana kelab luar negara yang berminat menggunakan khidmatnya.

“Saya harap dengan prestasi saya pada kejohanan ini akan membuka mata mana-mana kelab luar negara,” katanya yang kini mewakili pasukan Selangor. -BH




Tiada ulasan: