27 Dis 2010

[Bergambar] 4 Sepupu Maut Sewaktu Ke Kelas Tuisyen

Hasrat empat sepupu termasuk dua beradik untuk menghadiri kelas tuisyen tidak kesampaian apabila kesemua mereka maut selepas kereta jenis Peugoet 406 yang dinaiki terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Kilometer 7, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah dekat sini kelmarin.

Gambar: KERETA dinaiki mangsa remuk teruk selepas terbabas sebelum melanggar pokok di Kilometer 7, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, malam kelmarin.

Kejadian pukul 7.45 malam itu mengakibatkan Afik Izzuddin Abdul Aziz, 17; adiknya, Mohd. Irshaduddin, 13; dua sepupu mereka, Mohd. Ishraf Ibrahim, 11; dan Nurul Qistina Hanafi, 11, mati selepas mengalami kecederaan parah.

Nurul Qistina meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM). Pemandu kereta itu, Amir Ashraf Abdul Aziz, 22, kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPM.

Akibat rempuhan tersebut Afik Izzuddin, Mohd. Irshaduddin dan Mohd. Ishraf tercampak keluar sebelum terhumban ke dalam parit sedalam 0.3 meter menyebabkan mereka lemas.

Difahamkan, sebelum kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Simpang Empat Tok Uban di sini ke bandar Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, akibat rempuhan kuat itu, kesemua mangsa termasuk pemandu terpelanting keluar sebelum terjatuh ke dalam parit.

“Selain lemas, mangsa-mangsa yang meninggal dunia mengalami kecederaan parah di kepala dan dada. Kita masih menyiasat punca kejadian,” katanya yang meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan. -kosmo


‘Mana anak aku...’

PASIR MAS: “Mana anak aku...mana anak aku!“ jerit Abdul Aziz Abdullah, 42, sebaik tiba di lokasi kemalangan yang mengorbankan empat nyawa termasuk dua anaknya selepas sebuah kereta dinaiki lima sepupu terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Kenjong, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, lima sepupu terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Cabang Tiga Chetok, Jalan Tok Uban, dekat sini, untuk ke pusat tuisyen di bandar ini menaiki kereta Peugeot 406 dipandu Amir Asyraf Abd Aziz, 22.

Saksi, Asyrizulkifli Che Hasan, 22, berkata sejurus kemalangan hanya Amir Asyraf ditemui penduduk kampung dalam keadaan cedera parah selepas tercampak tidak jauh daripada kenderaan dipandunya dan tidak lama kemudian Abd Aziz tiba di lokasi kejadian. Menurutnya, selepas menyertai penduduk kampung mencari empat penumpang kereta itu, bapa terbabit hanya mampu meraung sebaik melihat anak sulungnya, Afiq Izwan 17, ditemui sudah meninggal dunia di bawah kereta dinaikinya.

Katanya, lebih memilukan, anak kedua Abdul Aziz, Irsyanudin, 13, meninggal dunia dalam parit di tempat kejadian bersama sepupunya, Isyraf Ibrahim, 11. “Sebaik melihat mayat kedua-dua anaknya, saya lihat dia (Abdul Aziz) tidak dapat mengawal perasaan lalu meraung sebelum ditenangkan orang ramai yang membantu mengeluarkan mangsa,” kata Asyrizulkifli.

Seorang lagi mangsa, Nur Qistina Hanafi, 11, yang parah di kepala, ditemui dalam jarak kira-kira dua meter daripada Irsyanudin dan Isyraf, namun dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas. Asyrizulkifli berkata, sebelum kejadian, kenderaan dinaiki lima bersaudara itu memotong Proton Iswara dipandunya ketika dia dalam perjalanan ke majlis kenduri saudaranya di pekan ini.

“Dalam tempoh hanya beberapa saat kemudian, saya melihat kereta Peugeot berwarna merah itu terbabas dan merempuh sebatang pokok sebelum terjunam ke kawasan parit di kawasan itu.

“Ketika itu saya lihat kereta itu cuba memotong kenderaan lain, namun gagal disebabkan ada kenderaan lain di depan sebelum ia melencong jauh sehingga terbabas dan melanggar pokok,” katanya.

Pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu berkata, dia kemudian memberhentikan kenderaannya di bahu jalan dan beberapa penduduk kampung berhampiran juga tiba di tempat kejadian memberi pertolongan. -hm







Tiada ulasan: